Oleh : NEWMOND TIBIN
KOTA BELUD : Lawatan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kota Belud Ahad lepas untuk menghadiri
majlis Aidilfitri dianggap sebagai perangsang untuk gabungan parti pemerintah
dan penghargaan kepada rakyat di kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.
Presiden Pertubuhan Bajau
Bersatu Sabah (Usbo), Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata mesej yang
disampaikan Najib pada perhimpunan raksaksa itu telah menaikkan semangat rakyat
tempatan yang hadir pada majlis itu.
Najib dan isteri, Datin Seri
Rosmah Mansor, telah menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran bersama
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Usbo, di mana Pandikar
adalah Timbalan Pengerusinya.
"Perdana menteri
melawat tempat kelahiran Umno Sabah dan beliau memberi penghargaan kepada
penduduk Kota Belud yang mengundi calon Umno pada pilihan raya kecil 1991 yang
menyaksikan parti itu bertapak di negeri ini," kata Salleh kepada Bernama,
di sini pada Selasa.
Salleh, yang juga Timbalan
Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, berkata lawatan itu juga akan memberi
semangat kepada parti-parti komponen BN untuk berjuang habis-habisan bagi
memastikan BN kekal di semua empat kerusi di sana selepas pilihan raya umum
akan datang.
Tiga kerusi negeri di
kawasan parlimen Kota Belud ialah Usukan, Tempasuk dan Kadamaian. Pada pilihan
raya umum lepas, pada 2008, semua kerusi negeri dan kerusi parlimen Kota Belud
dimenangi calon BN
Mengenai laporan bahawa
pilihan raya umum mungkin diadakan pada November, beliau berkata adalah lebih
baik perkara itu diserah kepada kebijaksanaan Najib dan kepimpinan BN tetapi
pada masa sama anggota parti perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi pengundi
apabila tiba masanya.
Salleh turut bersetuju
dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengenai perlunya rakyat
mengekalkan BN terus berkuasa, bukan hanya di Sabah, tetapi juga di Putrajaya.
Musa, dalam ucapannya pada
persidangan perwakilan Umno bahagian Libaran, Kinabatangan, Sandakan, Batu Sapi
dan Beluran yang dirasmikan Najib pada Ahad, berkata rakyat memerlukan
pembangunan, kemakmuran, kemanan dan keharmonian.
"Beliau (Najib) telah
membantu nelayan, petani dan pesawah. Beliau juga telah membantu rakyat di
kampung-kampung dan di bandar, kanak-kanak, orang tua, orang pencen, malah pemandu
teksi," kata Musa dalam ucapannya.
Salleh berkata ketika
pembangkang terus membohongi pengundi dengan membuat pelbagai janji, Najib
sibuk melaksanakan pelbagai projek dan program yang memberi manfaat sebenar
kepada rakyat.
Beliau juga berkata bahawa Sabah
di bawah kepimpinan Musa turut mendapat faedah hasil inisiatif kerajaan negeri,
terutama dalam program-program untuk meningkatkan ekonomi dan taraf kehidupan
rakyat.
"Saya bersetuju dengan
(Datuk) Musa bahawa Sabah dan rakyatnya akan menderita jika mereka memilih
parti dan pemimpin yang salah untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya
umum," katanya.
Mengenai majlis bersama
rumah terbuka Aidilfitri itu, Salleh dengan rendah hati memohon maaf atas
segala kekurangan memandangkan penganjur tidak menjangka kehadiran yang amat
besar. (Bernama)
No comments:
Post a Comment