Oleh : RIZAL ABD RAHMAN
MENJADI norma seorang
manusia biasa, apabila terlalu lama berada dalam satu-satu keadaan ia akan
menyebabkan seorang itu mudah berasa bosan dan akhirnya hilang harapan. Selain
bosan, perasaan ingin tahu jika ada sesuatu perubahan boleh atau tidak
menyebabkan kebaikan untuk dirinya juga merupakan sebahagian daripada naluri
biasa ini.
Norma yang sama berlaku
dalam politik. Perubahan mestilah sentiasa berlaku kerana ia memperbaharui
harapan pengundi yang memilih agar ‘mood’ mereka terhadap satu-satu parti akan
tetap tinggi.
Hakikat ini juga merupakan
sebab kenapa pembangkang yang ditunjangi oleh Pakatan Rakyat kelihatan gah
mendapat sokongan pada pilihanraya yang lalu. Berani mempamerkan calon-calon
baru dengan slogan dan manifesto yang memberi harapan telah memberi keyakinan
kepada ramai orang sehinggakan pada pilihanraya di tahun 2008 tersebut,
sebahagian besar orang ramai membuat keputusan memilih Pakatan Rakyat. Namun
hanya selepas beberapa waktu memimpin, Pakatan Rakyat juga gagal menepati janji
manifesto mereka dengan pelbagai alasan.
Datuk Seri Najib Razak, Pengerusi
Barisan Nasional (BN) baru-baru ini mengumumkan bahawa beliau telahpun
menyenarai pendek nama-nama ‘Winnable Candidate’ BN yang bakal dipilih
bertanding mewakili parti tersebut dalam pilihanraya umum ke 13 kelak. Dalam
ucapannya, beliau mengingatkan supaya sesiapapun yang terpilih nanti wajib
diberi sokongan penuh oleh akar umbi parti.
Sudah tentu calon yang
terpilih merupakan calon yang terbaik dari nama-nama yang ada dan jika
penyokong BN mengamalkan semangat sayangkan parti, setia kawan, tidak
mensabotaj, calon-calon ini pasti menang di kawasan masing-masing.
Berani namakan calon baru BN
Bila tiba waktunya nanti,
sebagai Pengerusi BN, Najib mestilah juga berani untuk mengambil keputusan
menterjemah barisan calon baru yang benar-benar ‘winnable’ tanpa mengira faktor
orang parti atau senioriti dalam parti.
Jika sahutan ini berani
dibuat oleh beliau demi memastikan calon terpilih merupakan calon yang terbaik
dan paling ideal mewakili rakyat di satu-satu kawasan, ini sudah tentu bakal
membuka mata ramai pihak untuk memberi sokongan kepada calon BN.
Sepanjang BN memerintah
negara, antara sebab mengapa pengundi mula berasa tidak selesa dengan BN adalah
hakikat muka-muka pemimpin yang tidak banyak berubah.
Pemimpin yang ada kekal
terlalu lama dan ada di antara mereka walaupun berdepan dengan pelbagai
kontroversi serta gagal mentadbir kawasan dengan baik, namun kerana faktor
senioriti dalam parti mereka tetap dipertahankan berdekad-dekad lamanya.
Muka-muka baru jarang diberi
peluang untuk mewakili BN dan jika mereka ini merupakan orang parti sekalipun,
mereka dikatakan dicantas pada peringkat awal ingin menawarkan diri. Pemimpin
yang pernah terpilih pula akan melakukan apa sahaja bagi mengekalkan kedudukan
selesa mereka termasuk jika ia bermakna mensabotaj calon dari parti sendiri.
Budaya ini hendaklah dibuang
jauh-jauh dari BN. Ini penting bagi menarik sokongan orang-orang baru terutama
anak-anak muda yang berkebolehan bagi mendekati parti seterusnya ia bakal
memastikan kesinambungan kepimpinan baik terjamin.
Statistik dari Suruhanjaya
Pilihanraya Malaysia menunjukkan pengundi muda meliputi sejumlah 38.21 peratus
dari daftar pemilih iaitu seramai 4,519,509 orang dari 11,825,053 orang jumlah
pemilih.
Selain itu, survei yang
dijalankan oleh Merdeka Center, mendapati kira-kira 13 peratus pengundi muda
ini merupakan golongan non-partisan yang tidak cenderung memilih kerana
mana-mana parti politik.
Golongan ini dikatakan akan
mengundi calon berdasarkan keyakinan terhadap kewibawaan dari setiap calon yang
bertanding. Justeru, sekiranya BN komited ingin mencapai kemenangan besar dalam
pilihanraya ke 13 kelak, hal ini perlu diambil perhatian dan tidak sepatutnya
diendahkan.
Diharap Najib bakal
memandang serius terhadap perkara ini. Jika beliau konsisten dengan slogan
‘rakyat didahulukan’, tidak hanya mementingkan kepentingan satu-satu parti atau
senioriti dalam parti serta berani menamakan muka-muka baru yang mempunyai
rekod dan potensi baik sebagai calon pimpinan BN kelak, ia tentu akan menambat
hati pengundi secara keseluruhan dan memberi keyakinan penuh kepada mereka
untuk memilih calon BN.
(NOTA : Dr Rizal Abd Rahman
adalah seorang doktor perubatan dan pengamat politik tanah air.)
No comments:
Post a Comment