KUALA LUMPUR : Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menganjurkan satu lagi sesi #TanyaNajib
pada 3 Okt untuk membolehkan rakyat bertanya mengenai Belanjawan 2013, yang
akan dibentangnya di Parlimen Jumaat depan.
"Saya menjemput rakyat Malaysia
dari pelbagai lapisan masyarakat sama ada dari kawasan bandar mahupun luar
bandar, pakar dalam bidang tertentu, para atlet, artis serta warga asing yang
tinggal di negara ini untuk sama-sama menyertai sesi #TanyaNajib itu
nanti," katanya.
Sesi itu akan bermula pada
pukul 9 malam. Dalam entri terbaru blog 1Malaysia, Najib yang juga Menteri
Kewangan berkata pembentangan Belanjawan 2013 dibuat selepas mengambil kira
pandangan rakyat mengenainya.
"Atas kesempatan itu,
saya ucapkan terima kasih kepada anda semua di atas input yang diberikan dan
ini sekali gus membuktikan bajet kali ini dibuat dari rakyat untuk rakyat.
"Oleh sebab itulah,
saya mahu terus berinteraksi dengan anda semua bagi mendapatkan maklum balas
mengenai bajet itu selepas ia dibentangkan," katanya.
Najib berkata Belanjawan
2013 dijangka memberi impak positif kepada ekonomi negara selain membawa impak
yang baik kepada masyarakat.
Menyedari hakikat bahawa
Belanjawan kali ini akan memberi inisiatif yang sangat besar kepada negara,
Perdana Menteri berkata beliau melihat penganjuran sesi #TanyaNajib kali kedua
itu memberi manfaat sangat baik kepada semua.
"Untuk penganjuran sesi
#TanyaNajib: Bajet 2013, saya merancang untuk menggunakan platform komunikasi
dalam talian secara maksimum.
"Ah Jib Gor, Twitter,
Facebook, Google+ dan banyak lagi. Saya akan mengadakannya menerusi akaun
Google+ saya selain akan menerima setiap soalan melalui laman media sosial yang
lain.
"Sesi kali ini juga
boleh ditonton secara langsung menerusi laman YouTube saya. Ikuti saya di
Twitter dan Facebook untuk maklumat lanjut tentang bagaimana untuk menyertai
sesi berkenaan," katanya.
Najib juga berkata pada sesi
#TanyaNajib yang diadakan pada 11 Jan tahun lepas, beliau menerima reaksi
memberangsangkan menerusi Twitter.
"Saya telah menjawab
sebahagian daripada soalan anda semua itu menerusi laman YouTube dan ia
melibatkan beberapa soalan santai seperti peribadi saya sehinggalah ke soalan
serius seperti hal ehwal ekonomi negara," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment