KUALA LUMPUR : Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pendekatan strategi lautan biru
membantu kerajaan mencari idea baru dan kreatif dalam memberi keselesaan dan
kesejahteraan kepada rakyat.
Beliau berkata pendekatan
itu meliputi dua cabang utama iaitu penambahan kadar pendapatan per kapita dan
kesejahteraan kepada rakyat.
Di samping itu, pendekatan
ini meliputi aspek pembinaan negara bangsa yang menuntut ketamadunan yang
tinggi dengan memenuhi nilai keintelektualan, kesenian, kesusasteraan dan
kemampuan untuk berinovasi.
"Kalau pasca
kemerdekaan lebih 70 peratus bilangan penduduk masyarakat berada di desa dan
luar bandar, kini lebih 70 peratus merupakan mereka yang tinggal di kawasan
bandar.
"Urbanisasi berjalan
pesat sekali. Kita perlu mengimbangkan kemampuan kerajaan supaya selain
menekankan agenda luar bandar kita perlu tingkatkan lagi usaha membela
masyarakat bandar supaya kesejahteraan bandar diperjuangkan oleh kita.
"Walaupun kita
berbangga dengan cerita Malaysia sebuah negara berjaya tetapi cabaran
menguruskan kejayaan ini menuntut kita melihat semula, mengorientasikan semula
pemikiran kita supaya apa yang dilakukan oleh kerajaan menepati dengan
perubahan landskap negara," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran
Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bangunan UTC di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Najib
berkata pendekatan lautan biru itu mempunyai beberapa ciri yang memastikan
objektif, peningkatan keberhasilan dan mampu mencapai objektif dengan kadar
pelaksanaan pantas serta perbelanjaan paling minimum.
Kewujudan UTC di tengah
bandar raya Kuala Lumpur itu menepati dua cabang utama dalam penambahan
pendapatan per kapita dan memberi keselesaan serta kesejahteraan, katanya.
Perdana Menteri berkata
Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang menyediakan perkhidmatan
dalam satu pusat sehenti di bawah satu bumbung dan ia juga mencatat rekod yang
sama dibina dalam masa enam minggu, seperti UTC di Melaka.
Bangunan empat tingkat itu
menempatkan 39 jabatan kerajaan dan swasta serta pusat pembangunan dan aktiviti
belia, ruang perniagaan produk tempatan dan pusat kegiatan badan bukan kerajaan
(NGO) yang akan beroperasi setiap hari, termasuk Ahad bermula pukul 8.30 pagi
hingga 10 malam.
Sementara itu, Menteri
Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal
Abidin berkata UTC memberi keselesaan dan kemudahan kepada warga kota untuk
membuat urusan.
Nong Chik berkata penghuni
kota selalu berdepan masalah lalu lintas dan tempat meletak kenderaan dan
kewujudan UTC ini dapat menjimatkan masa selain membuktikan semua janji
kerajaan kepada rakyat ditepati.
Seorang pengunjung, Mohd
Arif Sulaiman, 45, berkata lokasi UTC, di tengah-tengah bandar raya Kuala
Lumpur dan dibuka setiap hari itu memudahkan rakyat untuk membuat urusan dengan
cepat.
Katanya dengan penambahan
penduduk kota, pusat seumpama itu sememangnya amat diperlukan.
"Kita tahu Kuala Lumpur
ni selalu ada trafik yang teruk. Untuk buat satu urusan contohnya perbaharui
pasport sudah ambil masa satu hari," katanya.
San Tin Sant, 54, turut
gembira kerana beliau tidak berkunjung ke Pusat Bandar Damansara untuk
berurusan dengan Jabatan Pendaftaran dan Imigresen.
"Dulu saya kena pergi
sana...jauh untuk selesaikan urusan pasport dan kad pengenalan anak saya,"
katanya.
Pelajar kolej swasta, K.
Shalini, 23, berkata beliau tidak lagi berasa takut untuk mengunjungi stesen
bas di Jalan Pudu selepas kerajaan menambah baik stesen itu sehingga menjadi
sebuah bangunan eksklusif.
"Stesen bas Puduraya
yang dulunya sangat tidak selamat tetapi sekarang bertukar sekelip mata menjadi
bangunan eksklusif," katanya.
Selain menempatkan jabatan
dan agensi kerajaan serta swasta, UTC juga memberi kemudahan kepada pengguna
menerusi Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan
Kedai Buku 1Malaysia.
UTC juga menyediakan
kemudahan rekeasi seperti gelanggang Futsal, 'Wall Climbing', Pusat Kecergasan
dan studio Aerobik. (Bernama)
No comments:
Post a Comment