Monday 18 February 2013

AMK SABAH SANGKAL DAKWAAN HARDCORE





Saudara Pengarang,

SAYA bagi pihak AMK PKR Negeri Sabah menyangkal dakwaan individu yang menggelarkan dirinya sebagai 'HARDCORE AMK' dalam surat kepada pengarang bertajuk 'Ketua AMK Sabah Semakin Sombong' yang lansung tidak mencerminkan sikap profesional beliau kerana membuat tuduhan secara membabi buta serta fakta yang palsu.

AMK juga menafikan dakwaan kononnya Ketua-Ketua AMK Cabang tidak memberi sokongan terhadap Mohd Serman selaku Ketua AMK negeri; begitu juga dengan tuduhan yang mengatakan bahawa Bengkel AMK Negeri Sabah yang diadakan di Sandakan hanya dihadiri tiga cabang sahaja.

Dakwaan tersebut merupakan tuduhan yang tidak berasas sama sekali kerana hakikatnya mendapat sokongan daripada pelbagai cabang; antaranya Batu Sapi, Kalabakan, Silam, Keningau, Kota Marudu, Pensiangan, Beluran, Kinabatangan dan Semporna.

Saya memahami tuduhan-tuduhan seperti ini hanya untuk melemahkan semangat AMK dan menghilangkan fokus kami terhadap PRU-13.

Sebelum saya menulis surat ini, saya juga telah dihubungi oleh beberapa Ketua AMK dari Zon Pantai Barat yang turut kesal dengan wujudnya provokasi seperti ini dan menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Mohd serman selaku peneraju AMK Negeri dalam menghadapi PRU13 dan menyarankan agar surat tersebut dibakul sampahkan.

Tindakan proaktif AMK dan mengembalikan keyakinan semua AMK amat penting kerana AMK mempunyai agenda besar untuk merubah landskap politik negeri Sabah serta memastikan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru selepas PRU nanti.

Salam Hormat,

CITRA MASADI
Ketua Penerangan AMK Negeri Sabah

No comments:

Post a Comment