KUALA LUMPUR : Dalam usaha
untuk memendekkan masa respons operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(APMM) dari dua jam kepada satu jam, agensi itu berhasrat menambah
sekurang-kurangnya 12 lagi pangkalan di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah
(Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata kini
terdapat 18 pangkalan APMM di seluruh negara dan ia berhasrat meningkatkannya
kepada 30 pangkalan.
"Hasrat kita untuk
meletakkan tiap-tiap 60 batu nautika sebuah pangkalan atau pos supaya jika ada
maklumat, aduan akan terus diberikan," katanya kepada Bernama dalam satu
temubual di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
APMM yang baru beroperasi
selama lapan tahun dan merupakan agensi penguatkuasaan maritim termuda di
dunia, berjaya menurunkan kira-kira 45 peratus kadar jenayah di perairan negara
dalam tempoh itu.
Kadar jenayah maritim pada
2006 adalah sebanyak 48.06 peratus dan ia menurun setiap tahun hingga ke paras
hanya tiga peratus pada 31 Disember tahun lepas.
Beliau berkata pusat
pangkalan tambahan itu disasarkan untuk diletakkan di pulau-pulau di luar
perairan seperti Pulau Jarak di Perak.
"Pangkalan-pangkalan
tersebut akan dilengkapi pejabat yang mempunyai bilik kawalan 24 jam untuk
menerima maklumat jenayah sebelum kapal-kapal rondaan akan dikerahkan,"
katanya.
Selain itu, bagi
meningkatkan rondaan serta menangani jenayah lautan, APMM mempunyai 12 radar
beserta kamera yang diletakkan di seluruh Malaysia di mana sembilan di pantai
barat Semenanjung dan tiga lagi di kawasan timur Sabah.
Ahmad Puzi berkata
radar-radar yang dilengkapi kamera tersebut mampu mengesan pergerakan bot serta
kapal-kapal di perairan negara yang melakukan kegiatan jenayah terutama dalam
aktiviti penyeludupan.
"Mana yang kita dapat
kesan dan syaki (bot dan kapal), kita akan pintas dan buat pemeriksaan, banyak
juga kapal yang kita pintas.
"Sebagai contoh
pelakuan jenayah di perairan Tanjung Piai, Johor pada pukul 1.50 pagi di mana
usaha penjenayah hendak menaiki dari satu kapal ke kapal yang lain dapat
direkodkan melalui radar dan kamera yang kita pasang," katanya.
Terdapat juga di sesetengah
kawasan yang tidak dipasang radar berkamera tetapi menggunakan 'mobile radar'
seperti di Pulau Pinang serta pesisiran pantai Perak.
"Setakat ini kita
mempunyai dua mobile radar yang digunakan dari semasa ke semasa mengikut
kawasan panas atau hotspot yang telah dikenal pasti," katanya.
Mobile radar ialah radar
yang menggunakan sistem pengesan bunyi untuk mengesan objek berdasarkan kepada
kelajuan tanpa menggunakan rakaman visual. (Bernama)
No comments:
Post a Comment