Oleh : VAT 69
INI MERUPAKAN kali pertama
dalam sejarah, operasi penuh getir angkatan tentera kita yg tidak diketahui
umum diceritakan penuh detail oleh Shahpaskal. (Tiada dalam Google).
Saya fikir sudah sampai
masanya artikel ini ditulis, tambah pula, saya lihat elemen-elemen untuk
menghasut rakyat Sabah dan Sarawak semakin kencang bertiup dalam internet
termasuk Facebook. Saya kesal kerana petualang ini masih berleluasa dan saya
harap kerajaan bertindak sekeras-kerasnya terhadap elemen ini.
Artikel ini juga ditulis
untuk menyedarkan generasi muda Sabah punca kepada suara hasutan ini berarak
dalam dunia siber dan banyak lagi pendedahan akan menyusul selepas ini, Insya
Allah.
1. Apabila Persekutuan Tanah
Melayu merdeka pada tahun 1957, dunia antarabangsa berkata sesama sendiri
bahawa negara ini akan musnah dan terjerumus dalam konflik berdarah akibat
rasnya terbahagi kepada tiga iaitu Melayu, Cina, India serta bumiputra yang
lain.
2. Tidak ada negara dalam
dunia yg akan kekal aman apabila kaum minoriti ini dari segi bilangan menghampiri
jumlah kaum majoriti dan kuasa ekonomi pula dikuasai oleh bukan anak bangsa.
3. Sri Lanka juga merdeka
dalam tempoh yang sama, negara pulau ini akan berjaya kerana masyarakatnya
Sinhalese dan Tamil berkongsi jurai keturunan yang sama – itulah kata mereka
(Sri Langka kemudian terjerumus dalam kancah perang perkauman selama berpuluh
tahun).
4. Di Selatan Filipina,
bangsa Melayu yang dikenali sebagai orang Moro tersepit dan dijarah dengan
penjajahan budaya serta agama.
5. Dihimpit dari pelbagai
arah, akhirnya orang Melayu Moro ini bangkit dengan kekuatan senjata, menentang
ketidakadilan dan berjuang dengan titisan air mata dan darah untuk 'survival'
bangsa, budaya dan agama.
6. Pelbagai doktrin kejam
dikenakan ke atas mereka tetapi akhirnya impian mereka menjadi nyata apabila
kerajaan Filiphina dan MILF digandingkan oleh para pemimpin kita seperti
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr
Zahid Hamidi bertemu untuk berdamai.
7. Berbalik kepada
Persekutuan Tanah Melayu, akhirnya catur yang mereka (kuasa besar) mainkan
gagal, dengan izin Allah, Persekutuan Tanah Melayu terus wujud aman dan negeri
jiran yang berada di bawah naungan British, mahu masuk ke dalam persekutuan itu
apabila dikhabarkan sebuah negara baru akan terbentuk iaitu MALAYSIA.
8. Minat Singapura, Brunei,
Sarawak dan Sabah yang mahu memasuki Malaysia seolah-olah tidak dapat
dipercayai oleh negara jiran lain seperti Filipina dan Indonesia.
9. Sarawak, Sabah dan Brunei
yang berada jauh dari kuasa pusat iaitu Kuala Lumpur seharusnya berada di bawah
Indonesia ataupun Filipina.
10. Sekarang dunia menggosok
mata apabila akan muncul sebuah lagi negara baru, Filipina dan Indonesia yang
merupakan 'Key Player' di rantau ini menjadi kelam kabut, laungan peperangan
dan permusuhan mula dipalu dan menuduh bahawa Malaysia ini merupakan sebahagian
dari permainan imperialis penjajah.
11. Indonesia yang mana
presidennya sedang dipengaruhi komunis mula melancarkan konfrontasi.
12. Konfrontasi perang yang
kononnya dibuat untuk menghalau penjajah Inggeris dari bumi Sarawak dan Sabah
akhirnya ditumpukan pula ke atas orang Melayu sendiri di Semenanjung Malaysia
melalui pendaratan askar payung terjung Indonesia ke Labis, Johor tetapi mereka
kesemua habis ditangkap atau dibunuh oleh askar-askar Melayu ketika itu.
13.Askar-askar Melayu yang
sedang berkhidmat di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Kongo,
Afrika terpaksa dipanggil balik ke tanahair untuk mempertahankan ibu pertiwi.
14. Secara amnya, kuasa
tentera termasuk askar Melayu dan pasukan tentera British, Australia yang
berada di Sarawak dan Sabah tidak mencukupi untuk mempertahankan negara baru
ini dari serangan Indonesia yang ketika itu merupakan satu kuasa yang cukup
besar di Asia Tenggara.
15. Dengan izin Allah sekali
lagi, askar-askar Melayu ini berjaya menghalau kebanyakan tentera Indonesia dan
gerilanya, sejarah dunia mengiktiraf kejayaan askar-askar Melayu ini menewaskan
Indonesia.
16. Presiden Soekarno
akhirnya diguling dan Indonesia kemudian bergolak pada peringkat dalaman,
pertumpahan darah terjadi di antara mereka, jutaan rakyat pro komunis kemudian
diburu dan disembelih oleh pihak tentera dan rakyat yang pro kepada ABRI.
Sabah Dengan Cinta Tiga
Seginya?
17. Indonesia sudah cedera
parah dan hampir K.O.
18. Kini Filipina mencuba
nasib, apabila Indonesia melancarkan perang, Filipina tidak mengangkat muncung
senjatanya ke arah Malaysia, Filipina hanya berani memutuskan hubungan
diplomatik.
19. Menjelang hujung 60-an,
askar Inggeris yang berada di Sarawak dan Sabah juga sudah beransur kurang dan
negara baru Malaysia pula sedang bergelut dengan ancaman komunis termasuk di
kawasan sempadan Kalimantan.
20. Filipina tahu bahawa
sejarah Sabah mempunyai kaitan dengan Kesultanan Sulu.
21. Negara itu berada di bawah
seorang presiden yang berkaliber dan bercita-cita tinggi iaitu Ferdinand
Marcos.
22. Beliau mahu mendapatkan
Sabah yang kaya dengan pembalakan tetapi kekurangan kekuatan angkatan
tenteranya merupakan faktor penghalang.
23. Dengan mengambil kira
kelemahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta kedudukan Kuala Lumpur yang
agak jauh, pihak presiden merangka satu operasi sulit yang paling rahsia dalam
sejarah Filihina.
Operasi Merdeka : Sabah
Harus Dirampas!
24. Misi rahsia ini diberi
gelar kod sebagai 'Operasi Merdeka'.
25. Marcos kemudian memujuk
seramai 300 pemuda dari anak bangsa Melayu Moro untuk dilatih sebagai pasukan
khas dan akan melaksanakan tugas-tugas sabotaj serta 'clandestine' (penuh
rahsia) di Sabah termasuk dengan tujuan untuk menyemarakkan api permusuhan di
antara rakyat Sabah ke atas Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur.
26. Mereka semua dilatih di
sebuah kem khas di Pulau Corregidor, Filihina dan Marcos menyangka para anak
bangsa Melayu Moro ini akan gelap mata dengan kisah-kisah dogeng bahawa
kegemilangan kesultanan bangsa mereka akan berjaya ditegakkan di Sabah.
27. Siang malam para pemuda
ini dilatih dan pemikiran mereka didoktrinkan dengan kebencian ke atas Malaysia
serta kegemilangan bangsa Melayu Moro jika Sabah berjaya ditawan.
28. Sehinggalah pada satu
malam…………
29. Segalanya terjadi dengan
izin Allah, yang mengasihani kita semua dan mahu memelihara negara ini dari
segala api kebencian kerana sudah tertulis, negara ini akan muncul untuk
membantu banyak bangsa dan umat Islam yang teranianya dari Bosnia sampailah ke
Rohingya, sudah tertulis bahawa tanah-tanah milik Melayu ini akan memberi
perlindungan kepada mereka yang dizalimi.
30. Para pejuang ini
menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena apabila memikirkan tidak ada satu
titis noda dosa pun yang ditimpakan oleh para saudara mereka di Sabah,
khususnya Malaysia ke atas orang Melayu Moro ini.
31. Mengapa perlu sebab mereka
menentang dan membunuh saudara Islam dan sebangsa mereka di negara baru ini
iaitu Malaysia.
32. Mereka kemudian nekad
untuk balik ke kampung halaman masing-masing di Mindanao walaupun mendapat
tentangan dari jurulatih dan komander Filipina mereka.
33. Pasukan komando dan
tentera Filipina kemudian memburu mereka, dengan senjata terhunus, peluru-peluru
tidak bermata ini menembusi tubuh-tubuh pejuang bangsa Moro tadi, gugurlah
mereka syahid di tanah air sendiri.
34. Hujan turun lebat pada
malam itu, membawa aliran darah yang tersimbah untuk mencuci bumi dan
menghilangkan tangisan air mata dari para pejuang yang tidak putus-putus
menyebut kalimah “La Ilah Ha illal Allah” di saat-saat menahan perit
penderitaan dan kesakitan akibat tubuh dan nyawa yang sedang nazak untuk
ditarik Malaikat Maut.
35. Akhirnya 299 pejuang yang
berani itu gugur syahid dalam peristiwa hitam yang dikenali sebagai 'Pembunuhan
beramai-ramai Jabidah' yang berlaku pada tahun 1968.
Pejuang Moro, adakah anda
tahu bahawa sayap pertempuran dan politik mereka ditubuhkan di bumi Malaysia?
36. Musuh-musuh dan para
pembunuh ini fikir mereka mungkin mampu menyembunyikan dosa hitam mereka tetapi
mereka tidak menyedari, seorang dari mangsa pembunuhan beramai-ramai ini
berjaya menyelamatkan diri dalam keadaan cedera parah untuk balik ke kampungnya.
37. Habis dipanggil seluruh
kampung dan masyarakat serta orang tua, para ustaz dan ulamak bangsa Melayu
Moro berkenaan untuk mengetahui pembunuhan dan sembelihan beramai-ramai 299
pejuang mereka yg ditipu oleh tentera Marcos.
38. Akibat dari kejadian ini,
masyarakat Islam dan Melayu Moro bangkit dengan sejata dan pada zaman itu, Moro
National Liberation Front (MNLF) ditubuhkan di lokasi yang dirahsiakan di
Malaysia.
39. MNLF kemudian diganti
dengan Moro National Liberation Front (MILF).
Malaysia Strikes Back
40. Tahun 1981, Tun Mahathir
Mohamad mula berkuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia menggantikan Allahyarham
Tun Hussein yang meletakkan jawatan.
41. Tun tahu bahawa para
pejuang Moro ini sudah lama meminta bantuan Malaysia dan Tun tahu, Tun Abdul
Razak (ayah Najib) sudah menjalinkan hubungan yang istimewa dengan para pejuang
Moro ini.
42. Tidak ada tempat lain
untuk para pejuang yang teranianya ini untuk mengadu nasib dan meminta
perlindungan, latihan serta senjata kecuali kepada saudara mereka yang berada di
Malaysia ini.
43. Bantuan yang dihulurkan
oleh kerajaan Malaysia terus diberi tetapi harus dirahsiakan kerana ini akan
menjejaskan hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dengan Manila; malah
jika ia bocor, ia akan memberikan imej yang kurang menyenangkan mengenai negara
ini di mata dunia.
44. Rakyat tidak ramai yang
mengetahui kisah ini dan saya seringkali merasa sedih kerana ramai rakyat mudah
memperlekehkan pemimpin sendiri, negara sendiri dan angkatan tentera kita.
45. Di bawah Mahathir,
hubungan kerajaan Malaysia diteruskan untuk membantu para pejuang Moro dan pada
malam dingin, bot-bot laju milik komando Malaysia bergerak membelah ombak dan
mengharungi pekat malam dengan berpandukan bintang di langit untuk menghantar
bekalan senjata dan peluru kepada saudara mereka di Mindanao dan pulau-pulau di
sekitarnya.
46. Para pejuang dan para
komander mereka dibawa balik ke Semenanjung Malaysia untuk dilatih di kem-kem
rahsia milik tentera dengan taktik peperangan gerila yang baru sahaja membantu
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menundukkan ancaman pengganas komunis.
47. Amerika Syarikat (AS),
Peranchis dan banyak lagi negara tersungkur di bawah kaki komunis, tetapi
Malaysia, kita menjadi satu-satunya negara yang berjaya menewaskan para
petualang tanahair ini.
48. Anak isteri tidak tahu
ke mana suami-suami mereka bermalam, ayah dan ibu tidak tahu ke mana anak-anak
mereka ini bermain sebagai anggota tentera.
49. Para komando ini tahu,
jika tertangkap, mayat mereka akan berkubur di laut atau ditanam di tanah bumi
asing tanpa sebarang kibaran bendera, tanpa sebarang tanda kecuali tangisan
isteri dan anak-anak yang bakal kehilangan suami serta bapa-bapa mereka dengan
alasan yang mampu diterima akal.
50. Amanah negara harus
dipegang. Saudara Islam yang teranianya harus dibantu.
51. Tun juga tahu dari maklumat
yang disampaikan oleh para pejuang Islam Melayu Moro ini, bahawa Filiphina
masih mahu menuntut Sabah dan mempunyai bukti serta dokumen yang kukuh untuk
mendapatkan Sabah hasil dokumentasi yang diperolehi apabila Kesultanan Sulu mengikat
perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur dulu.
Operasi Sabah Selamanya
52. Tun Mahathir kemudian
memanggil komander komando ini untuk memberikan amanat penting demi untuk
menyelamat negara dari terjebak ke dalam satu kancah yang akan memberikan impak
besar kepada penubuhan Malaysia.
51. Perdana Menteri itu
sudah mendapat tahu dokumen mengenai Sabah dari Kesultanan Sulu wujud dan ia
perlu diambil, apa sekali pun, operasi itu dikenali sebagai 'Operasi Sabah
Selamanya'.
52. Operatif dan agen rahsia
Malaysia sudah pun berada di Manila untuk mencari dokumen tersebut dan melalui
tawaran rasuah ratusan ribu dollar AS, dokumen tersebut yang tersimpan rapi
dalam Istana Presiden iaitu Istana Malacanang, Manila berjaya dibawa keluar
oleh para pengkhianat Filipina.
53. Sekarang Tun Mahathir
mengarahkan komando-komando ini untuk berjumpa dengan kontak dan membawa keluar
dokumen tersebut dengan selamat.
54. Maka pasukan komando
menghantar 7 orang anggota terbaik pada zaman itu ke Manila untuk membuat
hubungan dan menyelamatkan dokumen tersebut, mereka semua sudah berlatih dalam
model istana tiruan Malacanang yang dibina khas untuk tujuan penetrasi di
Pahang.
55. Kehadiran komando ini
dibuat melalui jalan laut dengan bantuan para pejuang Moro kerana kedatangan
secara rasmi sebagai pelawat akan mendedahkan komplot tersebut.
56. Dokumen bertukar tangan
tetapi tanpa disedari, malangnya, pasukan khas Filipina sebenarnya sudah mula
menghidu rancangan rahsia ini.
57. Para komando Malaysia
itu terperangkap.
58. Tujuh lelaki Melayu yang
gagah berani terpaksa lawan puluhan mungkin ratusan komando dan para pengawal
Istana Presiden.
59. Peluru silih berganti. Tembakan
bertalu-talu dilepaskan. Jerit pekik dan kekalutan berlaku, trafik dari saluran
keselamatan tentera Filipina tiba-tiba menjadi kelam-kabut dan penuh aktiviti.
60. Pihak perisikan ATM yang
memantau saluran radio tentera Filipina mula berasa tidak kena, jantung mereka
berdengup kencang kerana nasib negara bergantung kepada tujuh lelaki Melayu
tadi.
61. Segala-galanya menjadi
sengal, tiba-tiba keadaan yang pada mulanya berpihak kepada negara kita kini
hampir berpusing 360 darjah apabila para komando Malaysia yang gagah berani ini
terkepung.
62. Masa hadapan negara kita
benar-benar 'TERGANTUNG' dalam keadaan yang sangat bahaya dan kritikal jika
para komando ini tertangkap.
63. Bekalan peluru yang
sangat sedikit tidak memungkinkan para komando Melayu ini membuat perhitungan yang
lebih jauh.
64. Dengan segenap tenaga yang
ada dan dengan izin Allah juga, para komando kita berjaya menyelamat diri dan
seterusnya membawa pulang dokumen yang sangat-sangat penting untuk kestabilan
Malaysia.
65. Sebelas orang yang
terdiri dari pengawal Istana Presiden dan komando Filipina terkorban dalam
insiden yang berlaku sekitar tahun 1980-an itu.
Sengketa Yang Lama Akhirnya
Pudar
66. Kejayaan ini Malaysia
menyelamatkan dirinya dari malu besar disambut secara kecil-kecilan di kalangan
orang kepercayaan pihak tentera dan Perdana Menteri.
67. Filipina berterusan
menuntut Sabah sehingga ke hari ini tetapi ibarat ayam berkokok, kokoknya
dipandang sinis, sehingga sekarang negara itu tetap menjalankan perang sarafnya
tetapi ini episod lain yang akan saya cerita kemudian hari.
68. Ferdinand Marcos
kemudian diguling rakyat selepas beliau terlibat dalam pembunuhan seorang ahli
politik Filipina iaitu Benigno Aquino dan beliau serta isterinya melarikan diri
ke AS.
69. Presiden yang kejam itu
akhirnya mati dalam buangan pada 28 September 1989 di Hawai, AS.
70. Segalanya hampir
selesai, kini masalah Sabah sudah diselesaikan dan Filipina pula terus dihantui
oleh serangan siang malam para pejuang Islam Moro Filiphina.
71. Kerajaan Melayu Islam di
Kuala Lumpur pula tidak pernah melupakan penderitaan saudara-saudara mereka di
Mindanao, usaha damai terus dirintis; malahan kerajaan Malaysia tidak lokek
untuk menghantar askar-askar ke Selatan Filipina untuk memastikan kedamaian
wujud, walaupun penghantaran ini tidak mendapat tajaan dari PBB.
72. Perdana Menteri kita
Datuk Seri Najib Tun Razak pula, beberapa kali mengarahkan Zahid Hamidi untuk
bertemu dengan para pejuang dan juga kerajaan Filiphina untuk mengukir damai.
73. Sudah terlalu lama, umat
Islam Moro ini menderita api peperangan dan penderitaan, beratus tahun mereka
berjuang menentang penjajahan Sepanyol, kemudian AS dan pada sejarah moden,
terpaksa menentang kerajaan sendiri yang menzalimi mereka dengan penganiayaan
dan pembunuhan beramai-ramai.
74. Akhirnya, melalui usaha
kerajaan dan para pemimpin Melayu Malaysia, kedua-dua pihak yang sudah
bertelagah lebih dari 30 tahun itu akhirnya duduk semeja menandatangani rangka
perjanjian yang akan membawa pemerintahan berautonomi di Selatan Filipina.
75. Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak bersama Presiden Filiphina Benigno Aquino III melihat
perjanjian bersejarah itu termeterai pada 15 Okt 2012 di Manila.
76.Benigno Aquino III pula
adalah anak kepada ahli politik yang telah dibunuh oleh Marcos yang saya
ceritakan pada para ke 66 tadi.
77. Najib tersenyum
kesyukuran kerana bantuan yang mulakan oleh ayahnya dengan membenarkan para
pejuang Moro membentuk MNLF di bumi Malaysia akhirnya terhasil.
78. Wilayah autonomi itu
akan dikenali sebagai tanah BANGSAMORO.
79. Akhirnya ayat ini, marilah
kita sedekahkan Al Fatihah kepada 299 pejuang Islam Moro yang syahid itu tadi
serta kepada tujuh komando kita itu, syabas, kalian benar-benar pejuang negara.
(NOTA PENULIS : Artikel ini
ditulis untuk bangsa saya, untuk saudara-saudara kita di Sabah yang sedang
hebat diracun dengan perpecahan ia juga ditulis untuk para pejuang Islam Melayu
Moro dan pasukan komando kita yang sentiasa mendapat tempat di hati saya.)
No comments:
Post a Comment