SOKONGAN ... Faisal (berdiri
barisan belakang tiga dari kanan) bersama-sama sebahagian masyarakat Sekong
yang memberikan sokongan padu kepadanya untuk diketengahkan sebagai calon pada
PRU-13 nanti. Gambar sisipan, Abdul Sakur (kiri) dan Abu Bakar (kanan)
Oleh : SAIMON S JUMADI
SANDAKAN : Pilihan Raya Umum
(PRU) Ke-13 untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong dalam Parlimen
P.185 Batu Sapi dijangka sengit apabila calon-calon yang bakal bertanding terpaksa
melalui penilaian rakyat sebelum mendapat mandat sepenuhnya.
Ini kerana, rakyat tidak
lagi bersandarkan daripada mana seseorang calon itu datang, sama ada mewakili
Barisan Nasional (BN) mahu pun kumpulan pembangkang; tetapi menurut rakyat di
Sekong, rata-ratanya mahukan calon yang benar-benar layak, sekali gus menepati
citarasa mereka.
Tidak dinafikan, senario
politik Sekong ketika ini bertiup kencang apabila penduduk di situ berpendapat
bahawa sudah tiba masanya pimpinan parti menampilkan calon yang merupakan anak
jati Sekong sendiri.
"Sepatutnya penduduk
kawasan ini berfikiran matang kerana sudah tiba masanya untuk memilih calon
yang benar-benar layak. Tidak kiralah sama ada dari BN atau pun pembangkang. Asalkan
memiliki kriteria yang menepati citarasa rakyat, tidak salah untuk
pengundi-pengundi Sekong memilihnya sebagai wakil rakyat pada PRU-13
nanti," kata seorang penduduk Batu Sapi, Salman Razak.
Berdasarkan ciri-ciri
khusus, Salman mencadangkan agar Datu Mohd Faisal Datu Bachtiyal diketengahkan
sebagai calon untuk bertanding pada PRU-13.
Faisal, 38, adalah seorang
usahawan muda merupakan Penasihat 1 kepada Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah
(PPPS) yang baru sahaja menubuhkan Jawatankuasa Penaja bagi Cawangan Sandakan.
Jawatankuasa penaja kepada
badan NGO itu dikatakan mendapat sambutan baik orang ramai, memandangkan bukan
sahaja mengambil kira prinsip perjuangannya yang memperjuangkan nasib rakyat
negeri ini, tetapi menunjukkan sokongan moral kepada Faisal.
Faisal sepatutnya layak
untuk diketengahkan sebagai calon memandangkan beliau daripada suku kaum Bajau
dan Suluk; tambahan lagi persepsi penduduk Sekong selama ini inginkan calon
sebegini, lebih-lebih anak muda.
Pada minggu lepas, bertempat
di sebuah hotel terkemuka di bandar Sandakan, PPPS Cawangan di sini yang
diketuai oleh Shamsuddin Chino telah mengadakan satu perjumpaan dengan
penduduk-penduduk Sekong.
Perjumpaan tersebut dihadiri
pemimpin masyarakat setempat termasuk beberapa orang ketua cawangan mewakili
Umno dan SAPP.
Ia bertujuan bagi
mendapatkan pandangan dan reaksi selain bertukar-tukar fikiran mengenai
halatuju kepimpinan Sekong pada masa hadapan.
Nampaknya, Faisal sudah pun
mendapat bayangan awal akan sokongan masyarakat kepadanya untuk diketengahkan
sebagai calon yang akan bertanding di Sekong dalam PRU-13 nanti.
Ini kerana, rata-rata yang
hadir menyatakan sokongan padu sekiranya Faisal dapat diketengahkan
memandangkan dia benar-benar layak untuk dipilih sebagai calon.
Mereka berpendapat meski pun
Sekong adalah kuat BN, tetapi tidak bermakna Faisal tidak boleh mendapat
peluang memandangkan dia amat berkelayakan selain seorang usahawan yang berjaya
tetapi memiliki karisma kepimpinan tersendiri.
Tidak mustahil sekiranya
beliau diberikan peluang untuk bertanding memungkinkan menang besar berikutan
persepsi pengundi-pengundi di kawasan ini mulai meneliti latarbelakang calon di
mana kononnya ternanti-nanti anak muda berpotensi.
Bagi Ketua SAPP Cawangan
Simunul 1 di Sekong, Haji Abdul Sakur Jaafar berpendapat bahawa selayaknya
Faisal diberikan peluang untuk bertanding sebagai calon menjelang PRU-13 nanti.
Beliau berkata, Faisal
mempunyai latarbelakang yang menepati citarasa masyarakat Sekong dan sudah
pasti sokongan tidak berbelah bahagi rakyat kepadanya apabila dipilih sebagai
calon.
"Saya yakin dia akan
mendapat sokongan penuh sekiranya ada peluang untuk menjadi calon ... walaupun
saya berada di dalam Parti SAPP tetapi saya menyokongnya untuk bertanding
sebagai calon nanti," katanya.
Manakala Ketua Umno Cawangan
Kampung Tronglit iaitu Abu Bakar Zakariah pula menegaskan sepatutnya Faisal
diberikan peluang untuk bertanding sebagai calon memandangkan dia adalah calon
paling layak sekali.
Katanya, jika dipantau atau
diteliti memang Faisal memiliki kriteria tersendiri yang melayakkan beliau
untuk di tempatkan di Sekong sebagai pewaris kepimpinan masyarakat suku kaum
Bajau dan Suluk.
"Dia memang layak
kerana karisma kepimpinannya terserlah selain seorang usahawan, tetapi dia juga
sentiasa membantu masyarakat susah. Saya mengajak anak-anak muda di kawasan
Sekong agar tidak berkira-kira lagi, berilah sokongan anda kepada Faisal ...
dia adalah pemimpin yang layak kita ketengahkan," jelas Abu Bakar.
Sementara itu, jawatankuasa
penaja PPPS di sini telah mendapat sambutan menggalakan daripada masyarakat
apabila saban hari terus mendapat sambutan menggalakkan.
Maklumbalas positif daripada
masyarakat Sandakan amat baik kerana mereka tertarik untuk menyertai PPPS yang
memperjuangkan nasib rakyat di negeri Sabah.
Berikutan itu, pejabat
sementara PPPS terpaksa menyediakan lebih banyak borang permohonan memandangkan
akan lebih ramai masyarakat terutamanya golongan anak-anak muda bakal menyertai
badan NGO tersebut.
No comments:
Post a Comment