Oleh : FATMAWATTY YUSOF
PUSAT Aduan Rakyat Tanjong
Batu, Tawau pada hari ini mengeluarkan kenyataan media berhubung isu perumahan
terbengkalai di Taman Apas Permai di bawah kendalian Syarikat Perumahan Negara
Berhad (SPNB).
Pusat Aduan Rakyat Tanjong
Batu, menyatakan kekesalan terhadap SPNB di atas kegagalan pihak SPNB
menyiapkan rumah tersebut pada tarikh
sepatutnya seperti mana yang termaktub di dalam perjanjian jual beli rumah.
Banyak sekali janji pihak SPNB mengecewakan pembeli.
Lebih malang lagi, Pusat
Aduan Rakyat Tanjong Batu, melihat
masalah rakyat ini hanya dipandang sepi tanpa sebarang solusi yang konkrit
daripada pihak berwajib.
Malah, umum mengetahui
bahawa kontraktor utama untuk projek ini iaitu syarikat Supernesa Sdn Bhd,
sebuah GLC Kerajaan yang dipengerusikan oleh Datuk Hamisa Samad, Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu.
Ganjilnya Hamisa tidak
pernah turun padang membela nasib rakyat tertindas ini sehingga para pembeli
mengambil inisiatif sendiri untuk membentuk jawatankuasa bertindak demi membela
nasib mereka.
Aduan demi aduan telah
diajukan menerusi laman-laman aduan kerajaan. Demikian juga cadangan mengadakan
perhimpunan aman menuntut pembelaan dan termasuk juga cadangan untuk menghantar
surat kepada Perdana Menteri telah dilakukan.
Sumber daripada pembeli
sendiri memaklumkan mereka menandatangani perjanjian pada 14 Mei 2008 yang
menyatakan bahawa projek tersebut akan siap dalam tempoh 2 tahun 6 bulan.
Bagaimanapun, selepas tamat
tempoh tersebut, rumah yang dijanjikan masih tidak boleh diduduk. Oleh itu,
pembeli mendapatkan pampasan daripada pemaju. Kesabaran pembeli mula tercabar
apabila tarikh demi tarikh diumumkan, masih juga belum menampakan tanda-tanda
yang rumah mereka akan siap untuk diduduki.
Perkara ini adalah satu
penganiayaan terhadap rakyat. Akhirnya, sebagai gula-gula kepada pembeli, satu
sesi penyerahan kunci berserta permit menduduki (OC) sementara selama 3 bulan
telah diadakan pada 28 januari yang lalu.
Seperti yang dijangka, tidak
ada seorang pun pembeli yang sanggup menerima kunci tersebut, sebaliknya berang
terhadap tindakan pihak SPNB.
Hal ini berlaku kerana rumah
yang diberikan OC masih belum selamat untuk diduduki. Kerosakan seperti siling
yang retak, tanah mendap, atap bocor, sistem pemparitan tiada, malah keperluan
asas seperti sumber air juga belum ada.
Pusat Aduan Rakyat Tanjong
Batu, melihat perkara menganggap ia
penafian hak rakyat untuk menikmati kehidupan yang selesa. Tambahan lagi, rumah
tersebut sebenarnya tidak mendapat sijil menduduki (CF) dan pastinya tidak
selamat untuk diduduki.
SPNB sepatutnya memastikan
keadaan rumah tersebut, benar-benar selamat untuk diduduki sebelum membuat
majlis penyerahan kunci. Namun perkara sebaliknya dilakukan oleh pihak pemaju.
Hal ini turut menimbulkan
keraguan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena apabila projek perumahan
Negara ini terbengkalai sekian lama. Pada hemat Pusat Aduan Rakyat Tanjong
Batu, tindakan pembeli yang enggan menerima kunci tersebut adalah tindakan yang
tepat.
Justeru, di peringkat Pusat
Aduan Rakyat Tanjong Batu, melihat perlu
tindakan segera perlu diambil sebagai pembelaan kepada pembeli. Pusat Aduan
Rakyat Tanjong Batu, akan membawa aduan ini kepada Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat isu ini.
Selain itu, Pusat Aduan
Rakyat Tanjong Batu, akan membantu para pembeli dalam menyediakan khidmat
guaman sekiranya para pembeli berhadapan dengan masalah selepas ini dengan
SPNB. Diharap dengan beberapa tindakan awal ini, dapat membantu pembeli
perumahan Taman Apas Permai. (Media PAS)
No comments:
Post a Comment