KUMPULAN penceroboh dari
selatan Filipina yang dikepung di Kampung Tanduo di Lahad Datu bersetuju dengan
proses pengusiran mereka tetapi terlebih dahulu ingin berjumpa personaliti
tertentu.
Pesuruhjaya Polis Sabah
Datuk Hamza Taib berkata pihaknya sedang berusaha untuk mereka (kumpulan
penceroboh) berjumpa dengan individu berkenaan.
"Pada dasarnya mereka
bersetuju dengan proses pengusiran itu tetapi sebelum itu mereka ingin berjumpa
dengan personaliti itu. Sebab itu kita tidak dapat tentukan bila mereka akan
diusir tetapi mereka sudah bersetuju untuk dihantar pulang," katanya
sambil enggan mengulas identiti individu tersebut.
Beliau ditemui pemberita di
Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Felda Sahabat kira-kira 100 kilometer
dari Lahad Datu, kelmarin.
Pada Selasa lepas, kumpulan
penceroboh yang menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu
tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu di Sabah dihantar pulang ke negara
asal.
Hamza berkata buat masa ini
keadaan masih sama lagi dan pihaknya masih lagi menguruskan usaha untuk
memastikan mereka dihantar pulang ke Filipina.
Katanya, seperti mana yang
beliau katakan semalam, masih banyak perkara perlu diselaraskan.
"Kadang-kadang kita
sebagai manusia ada perkara yang dalam jangkauan kita dan ada yang di luar
jangkauan kita.
"Apa yang pasti kita
tidak ada perundingan dengan mereka sebab apa yang mereka tuntut di landasan
yang salah dan meminta mereka mengemukakannya dalam forum tertentu,"
katanya.
Hamza mengulangi jaminan
bahawa keadaan keselamatan di negeri ini terutama di daerah ini adalah terkawal
dengan pasukan keselamatan melakukan kawalan yang ketat.
Katanya kawasan tempat
mereka melakukan pencerobohan (Kampung Tanduo) dikepung pasukan keselamatan.
"Laluan masuk dan
keluar di kawasan itu dikawal rapi. Kita tahu jumlah mereka dan di mana mereka
berada," katanya.
Ditanya mengenai ada pihak
tidak berpuas hati pendekatan pasukan keselamatan menangani isu ini melalui
perundingan, Hamza berkata ia selari dengan pendekatan kerajaan yang dikenali
menyelesaikan sesuatu isu melalui perundingan.
"Kita kena lihat banyak
perspektif sebab kita berunding dengan manusia. Kita juga kena ingat,
kebanyakan mereka sama ada mereka datang dari Selatan Filipina termasuk di
Sabah, mereka berkaitan.
"Apa perasaan mereka
jika kita mengambil tindakan menentang orang mereka. Kita kena lihat kedua-dua
perspektif," kata Hamza. (Bernama)
No comments:
Post a Comment