KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa
keselamatan Berjaya mengesan sekumpulan lelaki warga asing berpakaian ala
tentera dan bersenjata api menceroboh masuk ke Lahad Datu, Sabah, Selasa.
Ketua Polis Negara Tan Sri
Ismail Omar malam Rabu berkata kumpulan tersebut menceroboh masuk disebabkan
masalah yang berlaku di selatan Filipina.
Beliau berkata pihak
keselamatan telah mengambil tindakan mengepung kawasan tersebut dan mengarahkan
kumpulan tersebut meletak senjata serta menyerah diri.
“Keadaan ini adalah terkawal
dan orang ramai tidak perlu bimbang,” kata Ismail dalam kenyataan tiga
perenggan yang dikeluarkan pada pukul 8.30 malam ini.
Menurut sumber polis, lebih
100 anggota kumpulan, disyaki kumpulan militant dari selatan Filipina,
bersenjata lengkap dan berpakaian celoreng tentera telah mendarat di persisiran
pantai Lahad Datu dengan menaiki bot pancung.
Bagaimanapun setakat 10
malam ini, pihak berkuasa keselamatan tidak dapat mengesahkan tujuan kumpulan
itu sama ada merancang untuk melakukan aktiviti keganasan di bandar berkenaan.
Pihak berkuasa juga tidak
dapat memastikan sama ada kumpulan berkenaan mempunyai kaitan dengan penahanan
tiga lelaki termasuk bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid
Sufaat di sini, minggu lepas dan kematian seorang rakyat Malaysia Mohd Noor
Fikrie Abd Kahar, 26, yang ditembak oleh pasukan keselamatan Filipina di Davao,
selatan Filipina, 14 Dis lepas.
Sementara itu, Panglima ATM
Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika dihubungi Bernama enggan mengulas lanjut
mengenai insiden itu dan hanya berkata “tunggu kenyataan daripada Ketua Polis
Negara”.
Manakala Pengarah Jabatan
Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun, berkata
polis Sabah masih menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut.
Beliau berkata adalah
terlalu awal untuk mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Saya belum terima apa-apa
maklumat…ia di bawah siasatan polis Sabah. Jika warga asing itu telah ditahan
pasukan tentera maka kesemua mereka akan diserahkan kepada pihak polis untuk disoal
siasat,” katanya.
Pesuruhjaya Polis Sabah
Datuk Hamza Taib ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai insiden
tersebut dan kemungkinan satu sidang media akan diadakan esok berhubung perkara
itu.
Pada November lepas, seorang
pengurus ladang kelapa sawit dan penolongnya dilaporkan diculik sekumpulan lima
lelaki bersenjata dari sebuah ladang di kawasan pedalaman di bahagian pantai
timur Sabah.
Selain insiden itu, pada
September 1985, sebuah bank dan pejabat Malaysia Airlines (MAS) di Lahad Datu pernah
dirompak oleh 26 lelaki dan seorang wanita, yang bersenjatakan M-16, pelancar
grenade dengan kumpulan itu berpakaian ala tentera.
Dalam rompakan itu 11 orang
awam terbunuh manakala seorang pengawal dan tiga orang awam cedera. (Bernama)
No comments:
Post a Comment