TAWAU: Polis sentiasa
memantau kegiatan judi tanpa lesen termasuk perjudian mesin slot di daerah ini
bagi memastikan kegiatan itu tidak berleluasa, kata Ketua Polis Tawau ACP Awang
Besar Dullah.
Katanya pada tahun ini
sahaja pihaknya sudah melakukan tiga serbuan dan tiga tangkapan melibatkan
rampasan 69 unit mesin judi, manakala sepanjang tahun lepas 79 serbuan
dilakukan dengan 39 tangkapan selain merampas 311 mesin judi.
“Kita tidak menafikan
wujudnya kegiatan perjudian mesin judi di Tawau secara senyap-senyap (haram).
Walaupun dilakukan secara curi-curi, pihak polissentiasa memantau dan membuat
serbuan sekiranya premis yang dikenal pasti terlibat dengan perjudian haram.
“Saya minta kepada orang
ramai yang tahu lokasi-lokasi kegiatan mesin perjudian haram ini supaya
memaklumkan kepada polis atau terus kepada saya supaya tindakan segera dapat
diambil. Maklumat hendaklah lengkap dengan alamat lokasi (kegiatan judi) itu,”
katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan
Anggota Parlimen Kalabakan datuk Seri Abdul Ghapur Salleh yang mendakwa
kegiatan premis judi tanpa lesen berleluasa di Tawau dan meminta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia membuat siasatan.
Mengulas lanjut, Awang Besar
berkata orang ramai yang mempunyai maklumat kegiatan judi tanpa lesen boleh
menghubungi talian 089- 752222 atau terus kepada beliau di talian 019-8706251.
Menurut Awang Besar setakat
ini hanya enam sahaja lesen perjudian mesin slot dikeluarkan di Tawau dan
setiap lesen berkenaan cuma dibenar memiliki 10 mesin.
“Saya juga ingin
mengingatkan pemilik premis supaya jangan membenarkan premis mereka dijadikan
premis perjudian haram kerana mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 4 (B) (a)
Akta Rumah Judi Terbuka yang jika sabit kesalahan bolehdidenda sehingga
RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan,” katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment