Oleh CLARA CHOOI
KUALA LUMPUR : Pembangkang
di Sabah kelihatan berada diambang perpecahan terbesar dengan Parti Maju Sabah
(SAPP) dan dua sekutu baru Pakatan Rakyat (PR) dalam peperangan mulut yang
boleh menggagalkan impian mereka merampas negeri itu pada Pilihan Raya 2013.
Dengan Datuk Yong Teck Lee
dari SAPP di satu pihak, dan bekas orang kuat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri
Wilfred Mojilip Bumburing dan Datuk Seri Lajim Ukin di pihak yang lain,
kedua-dua puak secara terbuka berperang mulut dan salah menyalahkan, dengan
setiap pihak menuduh yang lain tamak politik dan enggan bersatu menentang BN.
Bumburing dan Lajim,
kedua-dua ahli parlimen, kini masing-masing memimpin Angkatan Perubahan Sabah
(APS) dan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS), dua pergerakan politik
mesra PR- dibentuk tahun lalu selepas meninggalkan jawatan dalam BN.
Yong (gambar) telah
menyamakan Bumburing dan Lajim seperti kerbau yang dicucuk hidung, mendakwa
kedua-duanya melobi kawan baru PR mereka di Semenanjung untuk bertanding dalam
pilihan raya.
“Mereka tidak mempunyai
pilihan selain dari ‘kowtow’ kepada Kuala Lumpur. Mereka terpaksa ke Kuala
Lumpur untuk melobi menjadi calon,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada The
Malaysian Insider semalam.
Bekas ketua menteri Sabah
itu juga menuduh kedua-dua lelaki tersebut memberikan hadiah mahal seperti
udang galah, udang harimau dan sarang burung kepada pemimpin PR di ibu kota
“semata-mata untuk terpilih sebagai calon”.
Yong juga menambah mereka
tidak berupaya untuk mempertahankan Perjanjian Malaysia 1963 dan memperjuangkan
autonomi Sabah — kunci perjuangan bagi kempen politik SAPP.
Pengarah Informasi dan
Komunikasi APS Lesaya Lopog Sorudim tidak menyerah kalah dengan mengatakan Yong
dan SAPP “rabun politik” dan “melucutkan” isu.
“Bolehkah sesiapa yang
berfikiran waras cuba membayangkan Bumburing dan Lajim turun dari kapal terbang
di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL) dengan berbaldi-baldi udang harimau
atau udang galah atau ikatan sarang burung di bawah ketiak mereka yang kononnya
diberikan kepada beberapa pemimpin di Kuala Lumpur dalam usaha untuk dipilih sebagai
calon?” katanya dalam satu kenyataan melalui emel.
Sorudim juga mengadu
kenyataan Yong adalah sama seperti menuduh Bumburing dan Lakim memberi rasuah,
memberi satu peringatan bahawa kedua-dua lelaki itu telah meninggalkan
kedudukan enak mereka dalam BN untuk menyokong perjuangan pembangkang di Sabah.
Ahli Parlimen Tuaran
Bumburing merupakan bekas timbalan presiden Pertubuhan Pasokmomogun
Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) manakala ahli parlimen Beaufort Lajim
dahulunya ketua bahagian Umno dan anggota majlis tertinggi.
“Biar saya ingatkan Yong
Teck Lee sudah beberapa kali dalam ucapan Bumburing yang didengari oleh ribuan
orang mengatakan jika beliau dapat membantu penubuhan kerajaan baru
menggantikan BN tanpa perlu menjadi calon, beliau akan menjadi lelaki paling
gembira di dunia,” tulis Sorudim dalam emelnya.
Beliau mengatakan Yong bukan
sahaja menghina kedua-dua Bumburing dan Lajim, tetapi Sabah secara umum, dan
sebahagian besarnya orang-orang Kadazandusun dan Murut (KDM), dan masyarakat
Melayu, yang beliau melihat kedua-duanya sebagai “pembawa bendera”.
The Malaysian Insider
difahamkan, Bumburing telah ditugaskan untuk menguruskan kerusi KDM di Sabah
untuk memastikan sokong komuniti tersebut beralih kepada pembangkang, walaupun
parti PR berasakan Semenanjung yang menggepalai pertempuran. Lajim pula
ditugaskan untuk mendapatkan sokongan Melayu.
Terdapat ramai pembangkang
di Sabah, dan menjelang pilihan raya umum ke-13 ini , mereka berebut jumlah
kerusi dari 60 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan.
PR, pakatan pembangkang yang
ditubuhkan di Semenanjung selepas kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya 2008,
melihat ini adalah peluang untuk menjatuhkan gabungan pemerintah itu dari kubu
mereka di Sabah.
Tetapi penduduk Sabah mula
bersifat kenegerian apabila pembangkang di negeri itu mula menggunakan slogan
“Sabah untuk Sabah”, yang menyebabkan rasa benci ke atas Malaya oleh penduduk
tempatan.
Seperti SAPP, Parti
Pembaharuan Negeri (STAR), yang diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata
pentadbiran negeri harus dikuasai parti Sabah.
Kedua-dua PR dan SAPP masih
belum berbincang dengan Jeffrey yang mahu meletakkan calon di majoriti kerusi
atau semua 60 kerusi negeri.
Tetapi dengan SAPP yang
masih mahu bertanding di sebahagian besar kerusi, dan PR masih tidak mahu
berganjak, ia dilihat bakal menjadi pembangkang yang rapuh dalam menghadapi
gergasi BN untuk merebut Sabah pada pilihan raya akan datang.
The Malaysian Insider
melaporkan Selasa lepas perbincangan kerusi antara PR dan SAPP dihentikan buat
sementara waktu, menurut Bumburing.
Yong tidak menolak bahawa
partinya menunggu PR membuat keputusan bagi menentukan formula kerusinya untuk
tiga parti, Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang diketuai Bumburing dan
Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) yang diketuai Lajim.
Tetapi, dengan SAPP sudah
bertembung dengan PR dalam rundingan kerusi untuk pilihan raya, peperangan
mulut terbaru parti itu dengan Bumburing dan Lajim boleh membawa kepada
kebuntuan dan boleh menyebabkan pertandingan tiga atau empat penjuru semasa
pilihan raya.
Memberi respon tentang ini,
Sorudim merasa terkejut Yong dilihat menghalakan serangannya kepada rakan
pembangkang di Sabah berbanding BN.
“Sepatutnya mereka menyerang
BN dan Umno, menghairankan SAPP memilih untuk menyerang rakan-rakan pemimpin
pembangkang Sabah.
“Ini hanya membuktikan
bahawa matlamat utama SAPP dan objektif adalah untuk mendapatkan kuasa politik
untuk diri mereka sendiri.
“Ini juga menunjukkan mereka
tidak lagi berminat dalam apa-apa bentuk persefahaman pilihanraya dan pakatan
dengan kumpulan pembangkang lain di Sabah pada PRU 13 akan datang,” katanya.
Terdapat 60 kerusi dewan
undangan negeri dan 25 kerusi parlimen di negeri Sabah, yang sering dikatakan
sebagai deposit tetap BN bersama jirannya Sarawak. (TMI)
No comments:
Post a Comment