BAGAN SERAI : Bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat sudah tiba masanya kerajaan
mengambil tindakan keras terhadap pihak penceroboh selepas insiden pertumpahan
darah di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
Beliau berkata walaupun
kerajaan berhati-hati dalam menangani isu itu pada peringkat awal dan berharap
ia dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah, malangnya ia tidak dihargai oleh
mereka sehingga sanggup membunuh anggota pasukan keselamatan negara.
“Sekarang ini saya fikir
tidak ada jalan lain melainkan kerajaan melancarkan serangan balas supaya dapat
dihapuskan sama sekali pasukan Sulu ini walaupun dengan (tindakan) ini ramai
mereka terbunuh, tapi ini tidak dapat dielakkan kerana mereka yang menyerang
Sabah, bukan kita yang menyerang mereka,” katanya kepada pemberita selepas
memberi ucapan pada Himpunan Rakyat Perak anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa
Malaysia (Perkasa) di sini, hari ini.
Kata Dr Mahathir, tindakan keras yang diambil mungkin akan
menyebabkan ramai daripada penceroboh itu mati serta anggota keselamatan negara
akan menjadi mangsa.
Pada pendapatnya, insiden
yang berlaku itu tidak akan tamat begitu sahaja kerana pihak penceroboh boleh
melakukan serangan-serangan hendap pada masa depan.
Kerajaan diharap mengadakan
persediaan awal menghadapi serangan berturut-turut pada masa akan datang,
terutama keperluan terhadap pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk
mengawal dan menyekat bot-bot yang datang dari kepulauan Tawi-Tawi yang mungkin
membawa pasukan penceroboh atau menyeludup senjata, katanya.
“Perkara ini tidak boleh
dipandang ringan walaupun pada mulanya kita ingat percubaan mereka itu untuk
menawan Sabah sebagai percubaan yang sia-sia tetapi kita tahu mereka akan
menjadi gerila dan akan melancarkan serangan pada masa depan,” katanya.
Mengenai ada pihak yang
mempertikai tindakan kerajaan yang memberi kuasa kepada pasukan Polis Diraja
Malaysia (PDRM) untuk bertindak terlebih dahulu berbanding pasukan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) berhubung pencerobohan tersebut, Dr Mahathir berkata
negara mempunyai dua bahagian keselamatan.
“Kita bahagi keselamatan
kepada dua bahagian iaitu yang datang dari luar yang biasanya tindakan diambil
oleh tentera manakala yang berada di dalam negara adalah tanggungjawab polis.
“Pada mulanya kita tidak
anggap pencerobohan itu sebagai serangan luar kerana mereka ini berada dalam
wilayah kita,” katanya.
Bagaimanapun, apabila
pencerobohan dan serangan kini jelas datang dari luar maka difahamkan pihak
tentera diarahkan untuk memgambil bahagian dalam tanggungjawab itu, katanya.
Mengenai dakwaan sesetengah
pihak bahawa kerajaan dilihat “berlembut” dengan pihak penceroboh terbabit,
beliau berkata sememangnya kerajaan tidak mahu mengambil tindakan sehingga
membunuh kerana mereka juga mempunyai keluarga dan rakan sebagai warganegara di
Sabah.
“Sebab itu kita berhati-hati
bertindak begitu pada awalnya, lagipun mereka ini orang Islam, kita orang
Islam, kita tidak mahu tergesa-gesa, tetapi mereka tunjukkan niat jahat dengan
menembak dua anggota polis kita.
“Sekarang ini peristiwa ini
tidak boleh dianggap boleh diselesaikan dengan rundingan,” katanya.
Mengenai laporan media asing
bahawa kedatangan penceroboh terbabit ke Lahad Datu adalah atas “jemputan”
seorang ahli politik pembangkang, Dr Mahathir berkata ahli politik itu
menjanjikan banyak perkara bagi Sabah termasuk memberikan kuasa autonomi jika
pembangkang menang pilihan raya. (Bernama)
Bapa ic perojek pati dah berkokok . Angkara kamu lah kebanjiran pendatang sukar di kawal di sabah . Kini merebak ke semenanjung .
ReplyDelete