Sunday 3 March 2013

IGP NAFI 10 PENCEROBOH SERAH DIRI







LAHAD DATU : Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menafikan laporan media asing yang mendakwa 10 daripada anggota kumpulan yang menceroboh Lahad Datu awal bulan lalu telah menyerah diri kepada pihak keselamatan semalam.

Kata Ismail, kumpulan penceroboh berkenaan sememangnya cuba keluar daripada kawasan Kampung Tanduo tetapi terserempak dengan pasukan keselamatan Malaysia lalu melepaskan tembakan sehingga mencetuskan pertempuran.

Dipetik Bernama, beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pangkalan PGA, Sahabat 16, di sini, semalam.

Dalam kejadian tersebut, dua anggota komando polis Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46, terkorban setelah terkena tembakan daripada kumpulan penceroboh itu di kampung tersebut yang terletak kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.

Dalam insiden itu, tiga lagi anggota keselamatan negara cedera dan 12 anggota kumpulan itu maut.

Semalam, agensi berita asing ABS-CBN news online memetik sumber jurucakap Kementerian Luar Filipina, Raul Hernadez, yang menyebut bahawa dia dimaklumkan oleh Duta Malaysia ke Filipina Mohammad Zamri Mohammad Kassim kononnya 10 anggota kumpulan penceroboh telah menyerah diri.

Ismail turut memuji dan gembira dengan semangat tinggi yang ditunjukkan anggota pasukan polis yang terus berusaha untuk menyelesaikan insiden pencerobohan kira-kira 150 rakyat Filipina yang mengaku sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu.

Turut berada di Pangkalan PGA berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dan Komander Briged Sabah PGA, SAC Datuk Ahmad Marzuki Mohd Saad.

Tengah hari semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kumpulan penceroboh bersenjata telah menggunakan taktik mengibarkan bendera putih, sebagai tanda menyerah diri, untuk memerangkap anggota polis komando VAT 69 dalam insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, semalam.

Najib berkata, perkara itu disahkan oleh salah seorang anggota VAT 69 yang terbabit dalam pertempuran di kubu kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu dari selatan Filipina.

No comments:

Post a Comment