Oleh : NIGEL AW
PENDUDUK kampung lari
meninggalkan kampung mereka ekoran pertempuran antara pasukan keselamatan dan
militan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, merayu supaya lebih banyak
bekalan makanan dihantar ke pusat-pusat bantuan.
Sebuah daripada pusat tersebut
terletak di Embara Budi, kira-kira 5km dari Tanjung Labian.
"Kerajaan telah
menghantar beras dan peralatan memasak tetapi ia tidak mencukupi," kata
Abdul Mukram (kanan), 32, yang melarikan diri dari Tanjung Labian empat hari
lalu.
Beliau dan penduduk kampung
yang lain meninggalkan rumah mereka selepas mendengar khabar angin bahawa
beberapa penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo telah menyusup ke kampung
Tanjung Batu yang berhampiran.
Abdul berkata, kekurangan
makanan bermakna mereka perlu mendapatkan apa yang mereka perlukan dari bandar.
"Mereka yang tidak ada
wang terpaksa berpuasa," katanya, sambil menambah bahawa makanan bungkus
hanya dihantar sekali sahaja sejak empat hari lepas.
Aishah Idris, 40, ibu kepada
empat orang anak, berkata terdapat bayi di situ tetapi tidak ada susu untuk
mereka.
"Kita tidak ada
pilihan, kita beri mereka makan Nestum," katanya.
Beliau juga berkata penduduk
terbabit memerlukan selimut kerana mereka tidur di atas lantai simen,
menggunakan kepingan kadbod dan alas dari katil.
Malaysiakini terpaksa
bercakap kepada penduduk terbabit dari luar pagar, sebagai pihak polis
menghalang media masuk ke dewan tersebut.
Ketua komuniti tersebut,
Assaffal Alian (kanan), 48, berkata, terdapat sekurang-kurangnya 1,500 orang yang
meninggalkan rumah mereka sehingga ini - 650 ditempatkan di Embara Budi dan 850
yang lain di Fajar Harapan, sebuah bandar kecil kira-kira 10km di hujung jalan.
"Bekalan makanan ok
kerana kita dapat bantuan dari penduduk kampung dan pekedai di sini, serta dari
individu dan Umno bahagian. Tetapi jika ini berterusan, ia tidak akan bertahan
lama dan kami akan memerlukan lebih banyak makanan," katanya.
Terdapat juga keperluan
untuk ambulans dan pasukan perubatan
bersiap sedia, tambahnya,
kerana ada beberapa wanita yang baru bersalin dan ada kanak-kanak yang demam
dan cirit-birit.
Penduduk tersebut antaranya
adalah dari Kampung Tandou, Tanjung Batu, Tanjung Labian, Sungai bilis, Lok
Sembuang, Lok Buani dan Kampung Ubian.
Kekurangan air
Tinjauan ke Fajar Harapan
mendapati penduduk terbabit ditempatkan di tiga pusat Sekolah Kebangsaan Fajar
Harapan, yang berfungsi sebagai pusat, mengalami kekurangan bekalan air.
"Hanya sebuah tangki
ada air, jadi kita terpaksa membeli air mineral. Untuk mandi, kita pergi ke
sungai," kata Nur Malik, 30 (kiri).
Seorang anak kecil kelihatan
sedang membasuh pinggan mangkuk dengan air sungai yang diisi dalam botol
mineral, manakala kaum wanita pula memasang buaian di sepanjang koridor untuk
bayi.
"Kita semua tidur di
atas lantai di sepanjang koridor dan di dalam dewan sekolah," kata Nur.
Malaysiakini telah bertemu
dengan kira-kira 300 penduduk yang melarikan diri dari Kampung Sungai Merah
semalam, tetapi tidak dapat mengesan mereka di mana-mana pusat-pusat tersebut.
Menurut sumber yang boleh
dipercayai, mereka telah diiringi pasukan keselamatan ke lokasi yang tidak
didedahkan melalui sebuah ladang kelapa sawit. (MKINI)
No comments:
Post a Comment