Saturday, 9 March 2013

SAIFUL DAKWA AYAH JADI MANGSA POLITIK ANWAR





        
Oleh :  AHMAD FADLI KC
          
SAIFUL BUKHARI Azlan meminta ayahnya, Azlan Mohd Lazim kembali ke pangkal jalan kerana didakwanya "telah menjadi mangsa kerakusan politik makhluk bernama Anwar bin Ibrahim".

Beliau membuat kenyataan itu dalam satu sidang media sebentar tadi selepas bapanya pagi tadi memohon maaf kepada Anwar dan mendakwa tuduhan liwat terhadap Ketua Umum PKR itu selama ini satu konspirasi politik.

"Demi Allah, agama, bangsa dan negara tercinta, saya ingin tegaskan bahawa saya tidak sama sekali akan berganjak dengan dakwaan saya," kata Saiful.

"Saya akan terus istiqamah dan berpegang teguh pada dakwaan saya, segala keterangan saya di mahkamah, juga sumpah laknat yang telah saya lafazkan hingga akhir hayat," katanya sambil menambah beliau telah memaafkan bapanya.

Menurutnya, beliau tidak tahu sebab ayahnya membuat dakwaan itu pagi tadi.

Katanya, beliau sendiri sebelum ini langsung tiada masalah dengan ayahnya itu dan kali terakhir berbual dengan beliau menerusi telefon semalam.

Saiful yang memberitahu dia akan berkahwin dua minggu lagi, berkata, dia dan bapanya turut bercuti ke Kelantan baru-baru ini dan ada bertemu lagi dengan bapanya Isnin lalu.

Namun, cubaan untuk menghubungi bapanya tengah hari tadi gagal kerana bapanya dipercayai mematikan telefonnya, kata saiful lagi.

Menurut Saiful, beliau yakin ayahnya "menjadi mangsa politik Anwar" kerana sidang media ayahnya pagi tadi diaturkan seorang ahli parlimen Pakatan Rakyat, dan dilakukan untuk "mengalih perhatian isu pengkhianat negara".


"Sebagai seorang anak, kasih sayang dan hormat saya kepada seorang ayah akan kekal hingga ke akhir hayat.

"Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya menyeru agar tidak terpedaya dengan permainan jijik Anwar Ibrahim," katanya yang turut ditemani peguam pemerhati kesnya sebelum ini, Zamri Idrus.

Dalam sidang media pagi tadi, Azlan turut mendakwa segala kenyataan Saiful dalam perbicaraan liwatnya sebelum ini diaturkan oleh Zamri.

Menjawab soalan wartawan, Zamri menafikan perkara itu dan mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Azlan berhubung dakwaan tersebut. (MKINI)

No comments:

Post a Comment