PENCEROBOHAN pengganas Sulu
di Lahad Datu bermula 12 Februari lalu membangkitkan kemarahan rakyat di
seluruh negara. Tidak terkecuali ialah masyarakat Suluk Sabah yang menerima
tempias daripada insiden itu kerana pengganas ialah sebangsa dengan mereka walaupun
dikenali sebagai Tausug di Filipina.
Setiausaha Persatuan Rumpun
Etnik Suluk Sabah (PRESS), MOHD. ZAKI HARRY SUSANTO ketika diwawancara wartawan
Mingguan Malaysia, SAIFUL HAIZAN HASAM di Tawau kelmarin, menegaskan seluruh
masyarakat Suluk Sabah berasa amat terhina dengan pencerobohan itu yang
dianggapnya suatu tindakan bodoh dan tidak bertamadun.
"Kita dalam era moden
ada undang-undang dan tahu sempadan negara," kata bekas Asisten
Supritendan Polis (ASP) ini yang pernah mengetuai pasukan pengawal peribadi
Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmao sewaktu menyertai Misi Bersepadu PBB
(UNMIT) pada 2009.
MINGGUAN: Boleh ceritakan
sepintas lalu sejarah orang Suluk di Sabah?
MOHD. ZAKI: Kami sudah lama
bertapak di sini. Macam keluarga saya sendiri, saya generasi ketiga di Sabah.
Arwah datuk datang ke sini pada awal 1930-an dari Pulau Parang di selatan
Filipina. Kehadiran orang Suluk ke sini adalah untuk berniaga, namun ada yang
berkahwin dengan orang tempatan dan terus menetap sehingga pembentukan Malaysia
sekaligus menjadi warganegara secara automatik. Berbalik pada kisah datuk saya,
dia mendarat di kawasan Semporna dan pada masa itu sudah ada perkampungan Suluk
di situ. Kemudian mereka berhijrah ke kawasan Haji Mat Tahir, Tawau. Pada masa
itu juga sudah ada perkampungan Suluk di situ. Saya tidak berani cakap bila
sebenarnya kali pertama orang Suluk mula berhijrah ke sini, apa yang saya faham
mereka telah terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan daripada British.
MINGGUAN
: Berapakah jumlah orang Suluk di Sabah dan kawasan tumpuannya?
MOHD. ZAKI: Daripada
statistik yang pernah saya terima, terdapat lebih 300,000 yang berdaftar dengan
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Yang tidak berdaftar seperti pemegang dokumen
IMM (dokumen pelarian selatan Filipina), yang masuk dengan pasport dan
pendatang haram, sukar untuk kita dapat angkanya. Orang Suluk ini bertumpu di
Pantai Timur Sabah bermula dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan
dan membawa ke Kudat. Ini adalah kawasan berpantai kerana orang Suluk ini orang
laut, pelayar dan pedagang yang baik.
MINGGUAN : Mengambil kira
sejarah orang Suluk yang panjang di Sabah, siapakah tokoh Suluk yang jasanya
boleh kita banggakan?
MOHD. ZAKI: Orang yang kami
banggakan ialah Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun kerana beliau ialah
anak Suluk yang menjadi bapa kemerdekaan kami. Dalam pada itu, beliau ialah
Bapa Malaysia kerana bersama-sama Allahyarham Tun Mohammad Fuad Stephens
menggabungkan Sabah yang pada masa itu dikenali sebagai North Borneo dengan
Sarawak dan Tanah Melayu untuk menubuhkan Malaysia. Inilah orang yang paling
kami hormati dan kalau disebut orang Suluk bersatu kerana jasa Tun Datu
Mustapha, itu kami terima. Kami bukanlah fanatik tetapi beliau ialah tokoh
agung orang Suluk yang membawa rahmat kepada kami, barangkali kalau bukan
kerana beliau, kami tidak berada di tempat kami sekarang. Orang Suluk
bertempiaran dan tiada tempat.
MINGGUAN : Masih relevankah
Kesultanan Sulu kepada orang Suluk di Sabah?
MOHD. ZAKI: Yang Dipertua
Negeri Sabah sekarang, Tun Juhar Mahiruddin berketurunan Suluk, sebab itu kami
kata apa lagi yang mahu dikejar bangsa Suluk dari selatan Filipina? Kami pun
ada 'sultan' kami walaupun jawatan beliau ialah Yang Dipertua Negeri. Benar
beliau bukan sultan tetapi kedudukannya adalah yang tertinggi dalam
Perlembagaan negeri. Secara simbolik kami sudah ada 'sultan', kenapa kami mahu
bersultan dengan mereka lagi. Perlu dijelaskan bahawa masyarakat Suluk di Sabah
terbahagi kepada beberapa kategori iaitu: warganegara Malaysia, bukan
warganegara (pakai pasport), pelarian dan pendatang haram Bagi warganegara,
saya berani cakap segelintir masih ada yang taat setianya boleh diragui.
Walaupun warganegara, mereka ini masih ramai berulang alik ke selatan Filipina
bertemu saudara mara. Saya pun ada keluarga di sana, saya hormati mereka tapi
kesetiaan itu tidak berubah. Apapun, majoritinya tetap setia kepada Yang
di-Pertuan Agong, Kesultanan Sulu pada mereka sudah tidak relevan, cuma dalam
setandan pisang tidak pelik kalau ada sebiji dua yang rosak. Yang rosak inilah
yang memburukkan keadaan, mereka inilah jadi musuh dalam selimut. Kita tidak
kenal kerana mereka juga orang kita dan untuk tahu isi hati manusia adalah
sukar.
MINGGUAN : Mereka ini turut
membantu dalam isu pencerobohan berdarah di Lahad Datu?
MOHD. ZAKI: Saya boleh jamin
ada orang tempatan, warganegara Malaysia berbangsa Suluk yang memainkan
peranan. Tapi segelintir kecil sahaja, mereka ini sama ada terpaksa kerana
diugut atau rela hati. Bagi yang rela hati mungkin mereka terpengaruh dengan
janji pihak tertentu.
MINGGUAN
: Bagaimana dengan Suluk warga asing, pelarian dan pendatang haram di Sabah?
MOHD. ZAKI: Untuk keadilan,
begini saya katakan, keadaan itu terbalik. Ada segelintir daripada mereka mula
tunjukkan taat setia kerana sudah lama di sini walaupun bukan warganegara. Saya
pasti ada yang menyebelahi kita sebab mereka rasa sudah hidup senang di sini
dan rasa adalah lebih baik jadi orang Malaysia. Itulah yang kami selalu
beritahu kepada masyarakat, Suluk tempatan jangan disamakan dengan Suluk bukan
tempatan. Majoriti Suluk tempatan tidak perlu diragui kesetiaannya.
MINGGUAN : Sentimen bahawa
Sabah ini milik Kesultanan Sulu masih wujud?
MOHD. ZAKI : Saya berikan
contoh seorang saudara saya, dia orang Suluk warganegara Malaysia. Seorang
anaknya berkahwin dengan keluarga Kiram. Apabila peristiwa Lahad Datu berlaku,
dia kata itu okey, bagus kalau Sabah diambil balik oleh Sultan Sulu. Saya tanya
kenapa? Dia cakap baguslah sebab kita kan Suluk. Ini negeri kita punya, kalau
Sultan Sulu ambil senanglah kita, bangsa kita memerintah. Saya cakap negeri ini
bukan kita punya, bukan milik mana-mana kaum, ini milik bersama. Kalau mahu
hidup bersama, buang persepsi itu. Inilah yang saya cakap ada warganegara yang
hati kecilnya masih ada kesetiaan kepada Sultan Sulu, apatah lagi salah seorang
anaknya kahwin dengan keluarga Kiram, kalau Sabah jadi milik Kiram maka dia
fikir akan jadi orang penting dalam masyarakat.
MINGGUAN : Masalahnya ramai
sangat yang mengaku jadi Sultan Sulu, adik beradik Kiram pun dua orang yang
mengaku.
MOHD. ZAKI: Mentaliti orang
Suluk ini tidak ramai orang tahu. Dia tidak suka dipegang, tak suka dikawal,
sebaliknya dia mahu memegang, kawal dan jadi ketua. Ini mentaliti secara
turun-temurun mengalir. Semangat ini bagus jika digunakan ke arah kebaikan
kerana dia boleh jadi pemimpin bagus. Dalam kalangan kita sendiri pun ramai
yang jadi Menteri Kabinet Sabah dan wakil rakyat. Mereka ada karisma dan
ketokohan tetapi ada sesetengahnya tersalah aliran menyebabkan mereka mahu jadi
ketua dengan cara yang salah. Maka timbullah satu keadaan, mereka yang salah
aliran ini mahu mendapat perhatian dan kuasa sehingga menabalkan diri sendiri
jadi sultan. Pada dasarnya memang ada ada susur galur Kiram tetapi ada satu
susunan keluarga sultan ini yang terputus kerana tiada anak lelaki. Kalau Kiram
yang betul sudah habis, yang dakwa dirinya sultan sekarang bukannya daripada
zuriat waris lelaki tetapi perempuan dan ia sudah terlalu jauh bercampur aduk.
Dari sudut lain, mungkin sesetengah pihak anggap bangsa Suluk tidak diberi
perhatian, dipinggir dan terabai. Jadi ada yang cuba menaikkan balik nama Suluk
walaupun dengan cara yang tidak betul. Mereka anggap kalau jadi sultan, ada hak
menuntut sesuatu termasuk bayaran pajak RM5,300 setahun yang kerajaan kita
bayar Tidak mustahil inilah yang menarik perhatian sehingga ada mengaku sultan.
MINGGUAN
: Bagi kita RM5,300 setahun tidaklah besar tetapi di selatan Filipina, jumlah
itu besar. Ramai beranggapan mereka ini dipergunakan?
MOHD. ZAKI: Saya berani kata
elemen dipergunakan itu wujud berdasarkan pengalaman sendiri. Saya ada pakcik
yang merupakan anggota polis di selatan Filipina. Pada November tahun lepas,
dia datang menziarahi orang tua saya di Tawau. Bila ditanya, dia bilang datang
bersama sultan yang mahu berjumpa seseorang di Kota Kinabalu. Sultan yang mana
satu jadi tandatanya kerana tidak didedahkan. Katanya sultan itu ada
perbincangan dengan seseorang di Keningau, tetapi saya tidak pasti siapa
personaliti di Keningau itu. Mereka masuk melalui Semporna dan ambil
penerbangan ke Kota Kinabalu dari Tawau. Bila terjadi peristiwa pencerobohan
Lahad Datu, saya fikir perkara ini sudah lama, sudah terancang dan ada pihak
tertentu mainkan peranan baik di Sabah dan di sebelah sana. Saya tidak boleh
tuduh sesiapa tetapi dalam laman blog tersebar laporan pertemuan antara
individu tertentu. Pada peringkat awal rundingan pun, pengganas Sulu di Lahad
Datu ada sebut mahu bertemu personaliti tertentu. Sampai sekarang nama itu
belum timbul.
MINGGUAN : Siapa personaliti
ini, rakyat nak tahu. Apabila berlaku pendaratan pengganas Sulu pada 12
Februari lalu, apa reaksi masyarakat Suluk di Sabah?
MOHD. ZAKI: Segelintir orang
Suluk warganegara Malaysia menyokong tetapi majoriti kami tidak suka, menolak
dan kami tidak mahu. Di pihak Suluk yang bukan warganegara, segelintir menolak
tetapi ramai yang suka. Mereka yang suka ini bangga kerana fikir Suluk kini
berani, sekarang orang kenal bangsa kita. Ini jelas menunjukkan mereka minta
perhatian.
MINGGUAN : Bagi warganegara
yang setia?
MOHD. ZAKI: Kami malu sebab
bagi kita ia tindakan tidak bertamadun. Kita dalam era moden ada undang-undang
dan tahu sempadan negara. Dia main redah sahaja. Rumah kita kalau orang masuk
sebarangan pun kita marah. Ini rumah kita tetapi dia datang bawa senjata.
Terang-terangan ia tindakan bodoh. Ini sikap orang tidak cukup pelajaran. Kami
orang Suluk warganegara Malaysia rasa amat terhina kerana perbuatan orang lain.
Terhina itu kerana walaupun mereka bukan warganegara, mereka juga satu galur
keturunan dengan kami. Mereka tidak fikir tentang kami di sini, bagaimana
pandangan masyarakat terhadap kami. Sudahlah selama ini orang Suluk selalu
diperlekeh, digelar PTI (pendatang tanpa izin), Patai (pendatang asing tetapi
ada IC) dan pilak (hingusan, berpeleseran) . Dengan apa yang berlaku,
masyarakat akan kata, inilah Suluk, tak boleh diberi muka. Jadi kita rasa
terpanggil untuk tunjukkan taat setia kerana kita sayang negara ini. Malah
kalau boleh mengangkat senjata memerangi pengganas Sulu pun kami sanggup. Kami
mahu berjuang untuk negara walaupun yang ditentang adalah orang yang sebangsa
dengan kami.
MINGGUAN
: Tetapi mereka ini berani walaupun tahu risiko tindakan pihak keselamatan.
MOHD. ZAKI: Saya bekas
pegawai kanan polis dan pernah bertugas di Cawangan Khas. Walaupun sudah
berhenti saya terus bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Saya terima
maklumat ada di antara penceroboh ini jadi berani dan terlalu berani kerana
berada di bawah pengaruh syabu. Syabu ini yang buat mereka berani dan lupa
diri. Saya berani cakap benda ini. Tiada manusia yang waras boleh lakukan
tindakan sedemikian rupa kalau tiada pengaruh benda lain, dalam kes ini, syabu.
Dadah jenis ini boleh didapati dengan mudah di sana.
MINGGUAN
: Ada beranggapan isu pencerobohan di Lahad Datu tidak akan terhenti kerana
sikap dendam orang Suluk.
MOHD. ZAKI: Kelemahan orang
Suluk adalah dendamnya. Saya difahamkan oleh keluarga di selatan Filipina,
kalau berlaku satu pembunuhan, dendamnya membara dan mereka bertindak balas.
Katakan anggota keluarga A bunuh ahli keluarga B, keluarga B akan balas dengan
bunuh anggota keluarga A balik dan keluarga A akan balas. Tidak berkesudahan
kalau begini. Sepatutnya kita belajar melupakan dendam dengan memberi kemaafan.
Ini pegangan saya dan inilah pesanan paling berguna yang saya pernah terima
daripada Xanana Gusmao sepanjang menjadi pengawal peribadinya. Gusmao seorang
pejuang di Timor Leste, ahli keluarganya dibunuh dan dirogol di depan mata
tetapi dia ketepikan soal dendam sebaliknya memberikan kemaafan.
MINGGUAN
: Apa pandangan saudara mengenai Kawasan Keselamatan Khas (SSA) yang diumumkan
Perdana Menteri?
MOHD. ZAKI: Sangat baik,
inilah yang kami nantikan sejak sekian lama. Saya anak Tawau. Lahir, membesar,
bersekolah dan kahwin di sini. Kawalan Pantai Timur Sabah agak longgar. Kita
akui geografi Sabah mencabar dengan pantai lebih 1,440 km, sempadan darat lebih
300 km, pulau 180 lebih dengan lebih 70 berpenghuni. Jadi saya harap
pembangkang jangan pertikai tindakan kerajaan membeli aset pertahanan kerana
ini untuk kebaikan kami di Sabah. Sebab di sini kita bukan hanya bersempadan
dengan Filipina bahkan dengan Indonesia. Kita kena ingat bahawa pencerobohan
pertama selepas pembentukan Malaysia ialah di Kalabakan. Indonesia melancarkan
Ganyang Malaysia.
MINGGUAN : Apa reaksi orang
Suluk Sabah apabila kerajaan melancarkan operasi ketenteraan terhadap pengganas
Sulu?
MOHD. ZAKI: Kita bersyukur
kerana ia buktikan kerajaan mengutamakan keselamatan kami. Kita
tertunggu-tunggu sebab bagi kami, pendekatan diplomasi itu ada hadnya, jangan
terlampau lama. Tawaran supaya balik dengan aman telah dibuat. Kita telah bagi
peluang, bukannya mereka mendarat terus diserang. Jadi tindakan kerajaan adalah
tepat supaya mereka nyah dari bumi kita.
MINGGUAN
: Tetapi ada bantahan kumpulan tertentu di Filipina kononnya kita kejam?
MOHD. ZAKI: Mereka ini
barangkali tidak baca berita. Mereka tidak tahukah kekejaman pengganas Sulu
kepada pasukan keselamatan kita. Mereka yang memulakannya dahulu. Siapa yang
mencari pasal di tempat kita. Itupun mereka dikira bernasib baik kerana Perdana
Menteri kita sabar dan teliti dalam tindakannya, baik hati kerana memikirkan
pihak di sebelah sana juga orang Islam.
MINGGUAN
: Apa usaha masyarakat Suluk Sabah dalam menyelesaikan isu Lahad Datu?
MOHD. ZAKI: Sebenarnya kami
berbahagi tugas, ada yang dihantar jumpa penceroboh malah ada yang bertemu
Jamalul Kiram sendiri di Filipina. Datuk Amir Kahar Tun Datu Mustapha dan
isteri sudah ke sana untuk berunding di Manila, minta pengganas keluar cara
baik tetapi mereka enggan terima.
MINGGUAN
: Ada desas-desus nama Op Sulu melukakan hati masyarakat Suluk Sabah?
MOHD. ZAKI: Kita tidak ambil
kisah nama itu, kami Suluk bukannya Sulu. Kami tahu operasi itu fokusnya kepada
pengganas daripada kepulauan Sulu. Penukaran nama kepada Op Daulat itu juga
kita faham kerana ia untuk mendaulatkan undang-undang dan negara kita.
MINGGUAN : Kita lihat ada
ahli politik yang celupar apabila mengulas mengenai pencerobohan berdarah di
Lahad Datu?
MOHD. ZAKI: Bila Tian Chua
cakap ini sandiwara, saya fikir pemikirannya jauh terpesong. Segalanya-galanya
kerana ideologi politik berbeza. Inikah contoh untuk generasi muda Malaysia?
Janganlah dihina pengorbanan pasukan keselamatan, kalau ini berlaku kepada saudara
sendiri, barulah kena batang hidung. Di kala kita tidur nyenyak dengan anak
bini di depan mata, makan pun bagus, mereka tidur di mana? Mandi, makannya
bagaimana? Tetapi mereka tidak merungut dan sanggup pertahankan kedaulatan
negara kerana itu amanah yang digalas di bahu.
MINGGUAN
: Apa yang mendorong masyarakat Suluk menyatakan ikrar setia kepada Yang
di-Pertuan Agong dan negara dalam pertemuan bersama Perdana Menteri?
MOHD. ZAKI: Dalam media maya
khasnya Facebook, sudah wujud satu sentimen membenci orang Suluk. Malah ada
yang mewujudkan kumpulan Facebook mengecam kami. Kita tengah kenal pasti
individu belakang tabir kumpulan ini untuk tindakan perundangan. Masalahnya
kami ini disamaratakan. Dia tidak ambil kira Suluk tempatan atau Suluk
pendatang, yang disebut ialah Suluk. Walaupun niatnya untuk merujuk Suluk di
selatan Filipina, tetapi kami di sini Suluk juga. Kita terasa apabila ada yang
sebut Suluk sahaja, dikaitkan dengan penjahat. Jadi kita mahu membetulkan
persepsi ini. Kami terhutang budi dan berterima kasih kepada Perdana Menteri
yang amat memahami. Dalam pertemuan itu ditegaskan bahawa beliau tidak pernah
ragui kesetiaan orang Suluk warganegara Malaysia di Sabah, beliau tahu kami
taat dan setia kepada negara.
benar Zaki....SULUK SABAHANS bukan SULU PHILIPINO..mereka kena faham tu...seperti juga Jawa Sabah bukan Java Indonesian...
ReplyDelete