Friday 12 November 2010

SABAH, LAND OF TAPIOCA?



Oleh: SARINA ABDUL GANIH (USM)

NENEK moyang kami makan ubi kayu, tidak bermakna kami miskin kerana seluruh khazanah di laut adalah ‘hak mutlak’ kami, masyarakat Bajau. Ubi kayu sinonim dengan suku kaum Bajau di negeri Sabah.

Sebagai masyarakat berstatus ‘anak negeri’, Bajau merupakan salah satu etnik yang terbesar di negeri Sabah dan bertebaran di seluruh pelusuk negara ini. Pelbagai teori kemungkinan kebarangkalian asal usul Masyarakat Bajau di Sabah, namun tidak ada sebarang kajian ilmiah dijalankan, melainkan melalui sejarah lisan.

Kajian membuktikan bahawa terdapat lebih 40 juta masyarakat Bajau di Indonesia, tidak termasuk Malaysia dan Filipina, namun jumlah sebenar sukar diramalkan kerana mereka suka berpindah randah; melainkan Bajau Darat yang menetap di sesuatu kawasan.

Sebagai masyarakat yang mendominasi lautan dan berkebolehan dalam bidang pertanian di daratan, Bajau terkenal dalam dunia pelayaran, pendakwah agama dan pedagang pada awal kemunculan mereka.

Sejarah silam memaparkan bahawa mereka berlayar merentasi pulau dan benua di seluruh dunia dan dikenali sebagai ‘Pahlawan Lautan’ yang tidak takut kepada lanun dan bajak laut.

Ramai masyarakat Malaysia tersalah mentafsir maksud perkataan Bajau dengan melemparkan tohmahan bahawa masyarakat Bajau berasal daripada Filipina; namun mereka tidak sedar bahawa Filipina berasal daripada orang Bajau, tetapi Filipina bukan Bajau kerana sifat mereka yang suka berhijrah atau nomad.

Saya tertarik dengan teori yang dikemukakan Oppenhiemer, seorang pengkaji bangsa membuat lapangan kajiannya terhadap bangsa Melayu melalui teori saintifik genetik (DNA) bahawa :

“Hujah utama saya ialah genetik, bukan linguistik. Tetapi saya mahu memberikan gambaran sebenar. Bukti genetik menafikan hal ini. Sebahagian besar daripada penduduk Asia Tenggara ialah ‘Orang Melayu’, Borneo, Sumatra, Jawa dan Filipina. Saya menegaskan di sini bahawa asas kajian asal usul orang Polynesia-Kromosom Y. Para penyelidik dari Cincinnati, Houston, Stanford, Rhode Island dan Universiti Oxford membuat kesimpulan Asia Tenggara menjadi pusat genetik untuk dua penghijrahan di dalam sejarah, satu ke Taiwan dan satu lagi ke Polynesia. Para penyelidik mendapati Motif Polynesia (petanda material) 19 penanda ‘bialelic’ pada kromosom Y (satu sistem penanda daripada bapa) di kalangan 551 orang daripada 36 rumpun penduduk Asia Tenggara, Taiwan, Micronesia, Melanesia dan Polynesia. Yang mengejutkan, hampir tiada langsung kromosom Y haplotype dari Taiwan yang terdapat di Polynesia. Sebaliknya semua haplotype yang terdapat di kalangan orang Polynesia, Micronesia dan Taiwan terdapat pada penduduk Asia Tenggara”.

Kebanyakkan pengkaji antropologi dan sosiologi yang mengkaji rumpun, etnik sesuatu bangsa lebih suka mengkaji sesuatu berdasarkan teori penggunaan bahasa (lingua franca), budaya dan fizikal.

Masyarakat Bajau di Sabah kental dengan budaya tradisi yang dipaparkan melalui tarian igal-igal dan mencakupi adat istiadat perkahwinan yang berteraskan budaya Islam yang diasimilasi melalui proses pertamaddunan sedunia.

Bajau turut memainkan peranan penting dalam perjuangan politik tanah air sejak zaman penjajahan, pasca kemerdekaan dan pemodenan sehingga melahirkan ramai tokoh dan budayawan politik.

Kesibukan berpolitik tidak menghalang mereka mencipta kejayaan dalam perniagaan kerana budaya berniaga dan berdagang telah diterapkan sejak masih dalam buaian. Tidak hairan jika kerajaan sukar untuk mencari ‘Bajau PPRT’ kerana semuanya berusaha dengan gigih melainkan ‘spesis’ yang dicipta melalui ‘X-Files’.

Bajau yang sinonim dengan ‘Ubi Kayu’ atau Tapioka setanding dengan penjajah yang terkenal dengan ‘Bread and Butter’ kerana semangat kental mereka yang lahir daripada zat ubikayu lebih membuka minda mereka agar menjadi bangsa yang gemilang dan terbilang.

Pengaruh globalisasi belum mengekang masyarakat Bajau dan masyarakat dunia masih curiga identiti Bajau dan dinista sebagai ‘Pemakan Ubi Kayu’ dan tidak bertamaddun, sedangkan hakikatnya Bajau telah melalui semua proses peradaban manusia.

Jika orang China sering kali dikaitkan dengan Ginseng atau herba; India dengan ‘Land of Spices’, namun orang Bajau masih belum mengkomersialkan identiti mereka semata-mata masih curiga dengan penaklukan ekonomi seperti Jepun yang mengamalkan amalan makan ‘Sushi’ dan minum teh yang diadaptasi daripada negara yang mereka pernah jajah.

Ubi kayu mempunyai nilai komersil dan zat pemakanan yang tidak ada tolok bandingnya dengan mana-mana unsur makanan di dunia dan pernah menjadi penyambung nyawa ketika negara kita dijajah Jepun.

Dengan kebijaksanaan Jepun, mereka telah mencuri resepi penting iaitu pati ubikayu yang menjadi asas kepada ‘Ajinomoto’ yang menjadi ‘Raja Perisa’ di seluruh dunia; sedangkan pada hakikatnya mereka masih belum dapat menilai erti sebenar ‘Ubi kayu’.

Kepelbagaian makanan daripada ubikayu telah dipasarkan sebagai makanan harian, namun tidak kesemuanya mencerminkan makanan sebenar masyarakat Bajau kerana dibuat oleh masyarakat Bajau Filipina; sehingga menghilangkan zat dan aroma sebenar ubikayu.

Belum ada sebarang usaha untuk mengkomersilkan ubi kayu di pasaran dunia sebagaimana produk dingin beku (seperti roti canai dan nasi lemak) kerana dikhuatiri akan menurunkan nilai dan mutu makanan tersebut; terutama bahan asas yang dimakan bersama ubi kayu yang telah dijadikan ‘Putu, Tompek, Aggang dan Sanglag’ dan ikan tuna yang dipanggang, digulai atau digoreng sebagai pelengkap kepada resepi ubi kayu.

Namun amatlah dikesali sehingga ke hari tiada sesiapa pihak yang bertanggungjawab mengkomersialkan ubi kayu ini sebagai ‘trademark’ masyarakat Bajau yang merupakan penduduk majoriti di pantai timur Sabah. Malah berdasarkan statistik daftar pemilih, majoriti pengundi di negeri Sabah adalah terdiri daripada masyarakat Bajau.

Lebih dikesalkan Pejabat Daerah seperti rabun sejarah kerana sibuk mencari ‘trademark’ di setiap daerah masing-masing untuk diketengahkan sebagai identiti daerah berkenaan.

Daerah Lahad Datu cuba memperkenalkan ‘buah mangga’ sebagai identiti daerah, walhal buah mangga tersebut adalah identiti beberapa wilayah di Filipina. Bagi daerah Kunak pula sibuk memperkenalkan ‘udang’, sedangkan seluruh dunia mempunyai udang di laut.

Dari segi berpersatuan, terlalu ramai masyarakat Bajau menubuh pelbagai persatuan untuk memperjuangkan budaya dan tradisi mereka, termasuklah USBO yang kelihatan menjadi pertubuhan separa politik namun masih bercelaru mencari arah untuk menentukan hala tuju perjuangan memartabatkan Bajau.

Amat tidak wajar jika Kerajaan Sabah malu untuk menukarkan ‘Sabah, Land Below The Wind’ kepada Sabah, ‘Land of Tapioca’ kerana Sabah telah dilanda badai Greg tetapi majoriti penduduknya tetap makan ubikayu; sedangkan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi membudayakan sarapan ubikayu rebus dicecah kelapa parut sebagai menu harian.

Kesimpulannya, kekuatan sesuatu negara adalah daripada kegagahan, persepakatan pelbagai bangsanya kerana negara ialah bangsa. Negara Israel yang begitu kecil tetapi sangat berkuasa dan berpengaruh di persada dunia kerana kekuatan bangsa mereka sendiri. Walaupun negara kita mempunyai beratus-ratus etnik dan bangsa namun kita semua tetap dikenali sebagai satu bangsa satu negara. Jika negara kita lemah maka negara kita menjadi ‘Pak Turut’ dan ‘Khadam’ kepada negara lain di dunia yang maju dan pesat membangun.

No comments:

Post a Comment