Friday, 12 November 2010

KABINET LULUS RM5 JUTA UNTUK ICU HKL



KABINET hari ini meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membaiki keadaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini agar dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

Peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjalani rawatan di unit tersebut sejak 4 November lalu akibat komplikasi demam cacar air yang dihidapi hujung bulan lepas.

Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat Kabinet apabila memulakan tugasnya Jumaat berkata, beliau melihat sendiri keadaan yang daif di wad berkenaan semasa menerima rawatan di situ.

Katanya Kementerian Kesihatan juga diminta membeli peralatan menaik taraf unit itu secepat mungkin supaya boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat selaras slogan ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.

Najib berkata demikian pada majlis jamuan kesyukuran dan doa selamat yang diadakan di Wad DiRaja Hospital Kuala Lumpur di sini.

Dalam ucapannya, Najib mengingatkan rakyat supaya jangan mengambil mudah terhadap nikmat yang dikecapi hasil keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.

Perdana Menteri berkata dalam banyak perkara, manusia mengambil mudah perkara tertentu dan hanya akan merasakan ia sangat bernilai sekiranya ia tiada lagi di sisi mereka.

"Ini satu peringatan yang saya ambil iktibar daripada pengalaman (saya di hospital) bahawa banyak perkara dalam kehidupan kita yang kita anggap perkara biasa. Tetapi sebenarnya apabila Tuhan menarik balik nikmat itu daripada kita, pada masa itulah kita rasa perkara itu bernilai," katanya, sambil menjelaskan bahawa analogi berkenaan diperolehi hasil pengalaman dirawat dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.

Ujian endoskopi dilakukan ke atas Najib menunjukkan ada tanda-tanda ulser dan gastritis ringan.

"Inilah berkat pengajaran yang saya dapat (sejak) 4 November lepas. Tetapi ia jadi pengajaran dan pengalamann bagi diri saya. Ini boleh jadi ingatan kepada kita. Kita anggap ia (kesihatan) perkara biasa.

"Tetapi apabila kesihatan terganggu ataupun tidak ada lagi, maka pada ketika itu kita dapat merasai kehilangan besar pada diri kita. Kata pepatah pencegahan lebih baik daripada mengubat," katanya.

Hasil pengalamannya dirawat itu juga, Najib menasihati rakyat supaya tidak mengambil mudah kesihatan diri, mengamalkan gaya hidup sihat dan menerima nasihat doktor dan juga isteri untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sihat serta dapat mengelak diri daripada dirawat.

Najib juga menceritakan detik cemas pada malam 4 November lepas apabila beliau mula diserang komplikasi akibat penyakit cacar di kediamannya dan pada masa sama, gembira menerima berita mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Galas di Kelantan dan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sandakan, Sabah.

Pada masa itu beliau yang berada di bilik air diselamatkan, dan dibantu isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dibawa ke katil sebelum dirawat dengan lebih lanjut.

"Doktor kemudian memberitahu saya tiada pilihan lain dan masukkan saya ke dalam wad ICU (Unit Rawatan Rapi). Pengalaman di ICU bukanlah sesuatu pengalaman yang kita hendak sangat (pun)," katanya lagi.

Perdana Menteri kemudian dibenarkan keluar dari wad orang kenamaan Hospital Kuala Lumpur pada Ahad lepas.

Najib yang menyifatkan pengalaman di wad berkenaan sebagai pengalaman manis turut mengucapkan setinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua warga Kementerian Kesihatan yang membantu merawatnya sehingga dapat pulih dan mula bertugas dengan mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri.

Perdana Menteri juga berbangga dengan keharmonian pasukan "1Malaysia" yang merawatnya tanpa mengira sempadan kaum dan agama dengan bersikap profesional merawat dan membantu.

Najib berkata kumpulan doktor, doktor pakar, pembantu dan juga jururawat ini bukan hanya merawat dirinya seorang, malah ribuan warga Malaysia, dan mereka turut terhutang budi kepada jasa kumpulan ini.

"Adalah lebih baik ia diterjemahkan di peringkat nasional. Bayangkan kita bekerjasama (sebegitu) tentu sekali hasrat menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi akan dapat dicapai," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment