Saturday 13 November 2010

SISTEM AMARAN BANJIR TENOM KURANG EFEKTIF



LAWAT…. Raime melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Kg.Kalasasan Inubai Tenom.

Oleh : HASSAN DALIMPOS

TENOM memerlukan sistem amaran banjir yang lebih efektif bagi menangani bencana banjir pada masa kini yang kian mengancam kesejahteraan penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan pinggiran sungai Padas.

Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi menggesa pihak kerajaan khususnya agensi yang berkenaan memastikan Sistem Amaran Banjir sentiasa berfungsi supaya langkah awal yang lebih efektif mengelak kejadian yang tidak diingini dapat dilakukan ketika banjir melanda.

Raime berkata demikian dalam sesi temuramah dengan RTM ketika melawat Pusat Pemindahan mangsa banjir Kg.Kalasasan Inubai pada jumaat, ketika ini daerah Tenom mempunyai tiga pos Sistem Amaran Banjir iaitu di Kemabong, Gumisi dan Kg.Saga.

Namun difahamkan sistem Amaran Banjir di Kg.Saga telah rosak. Justeru itu, tindakan proaktif perlu dilakukan memastikan semua pos sistem amaran banjir di daerah ini dapat berfungsi dengan berkesan, katanya.

Dalam kejadian banjir di daerah ini bermula pada pagi rabu lalu, paras air sungai Padas mencecah kira-kira 176.70 meter dan meningkat kepada paras 177.50 meter pada keesokan harinya (11 November 2010) .

Sebanyak 38 buah kampung di daerah Tenom terlibat dalam banjir.Manakala 10 Pusat Pemindahan sementara telah disediakan untuk lebih 100 keluarga mangsa banjir secara keseluruhannya.

Terdahulu, Raime menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana daerah Tenom di Urusetia Daerah Tenom sebelum berkesempatan meninjau beberapa buah kampung yang terlibat banjir seperti Kg.Inubai, Kg.Ponontomon, Kg.Kalasasan, Kg.Mandalom, Kg.Tumantalik, Kg.Binsilon dan Kg.Binai.

Raime yang bersimpati dengan mangsa yang terlibat dalam banjir berharap agar bersabar sementara proses pengumpulan data untuk penyelarasan bantuan sedang giat dijalankan bagi tindakan yang sewajarnya.

Beliau juga meminta pihak kerajaan mengambil tindakan efektif terhadap mana-mana kerosakan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan sebagainya akibat kejadian banjir yang melanda di daerah ini.

Raime mengingatkan penduduk yang berada dalam zon banjir mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada ekoran cuaca yang tidak menentu memungkinkan banjir akan melanda sekali lagi.

Raime juga merakam penghargaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan pasukan penyelamat daerah yang mengambil tindakan proaktif dengan melakukan pengawasan dan tinjauan bagi mengelak sebarang kesulitan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir.

Turut mengiringi bersama Raime meninjau kawasan banjir iaitu Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah Tenom Gan En Siong; Pemimpin Kemajuan Rakyat kawasan N.36 Kemabong Sukimin Rukini; Setiausaha UMNO Bahagian Tenom Hj.Dzulkifli Empin; Ajk UMNO Bahagian dan pegawai-pegawai pejabat perhubungan parlimen Tenom.

No comments:

Post a Comment