Saturday 4 February 2012

HADI AKAN TEWAS DI MARANG?

Oleh : AZMAN ARIFFIN

MENGEJUTKAN? Ya, itulah maklum balas yang baru penulis terima dari rakan-rakan penulis yang ‘meninjau’ program lawatan sehari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Marang, Terengganu sebentar tadi.

Marang adalah kawasan parlimen yang dikuasai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Penulis dimaklumkan, daripada beberapa siri bertemu rakyat yang dibuat oleh Perdana Menteri setakat ini, jumlah kehadiran rakyat di Marang ini adalah yang tertinggi sekali dilihat dari lautan manusia yang hadir ke majlis tersebut.

Menurut Bernama, ketibaan Najib di lapangan terbang sahaja disambut lebih 1,000 orang yang menunggu sejak dari pagi.

Walaupun penulis sedar, jumlah kehadiran dalam acara-acara sebegini bukanlah petanda sebenar sokongan rakyat tapi dalam hal di Marang ini, penulis dikhabarkan ia adalah manifestasi sebenar sokongan rakyat kepada Najib dan Barisan Nasional (BN).

Kenyataan ini adalah sama sekali berlawanan dengan tanggapan kita selama ini bahawa Marang adalah kawasan selamat untuk PAS dan Haji Hadi sendiri.

Kebetulan pula, Haji Hadi baru sahaja beberapa hari lepas memberikan gambaran tidak akan bertanding mempertahankan kawasan Parlimen Marang dalam pilihanraya akan datang, hanya akan bertanding di DUN Rhu Rendang kalau benar-benar diperlukan parti.

Adakah Haji Hadi sudah dapat membaca penolakan rakyat terhadapnya sehingga membuat keputusan demikian?

Pada pendapat penulis, kalau pun benar Haji Hadi akan tewas di Marang, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Pada yang tidak tahu, Haji Hadi pernah tewas 2 kali di Parlimen Marang iaitu dalam pilihanraya umum 1986 dan pilihanraya umum 2004. Pada 1990 pula, beliau merampas kawasan tersebut dengan majoriti tipis, 350 undi sahaja.

Dalam kedua-dua kekalahan itu, beliau tewas kepada orang yang sama, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia yang kini dilantik sebagai Senator.

Tapi daripada analisa yang pernah dijalankan, dua kekalahan tersebut banyak disumbangkan oleh faktor politik semasa, bukan sangat ada kena mengena dengan prestasi Haji Hadi sebagai Ahli Parlimen.

Pada 1986, BN memperolehi momentum kuat apabila Gerakan (asal pembangkang yang menguasai Pulau Pinang) menyertai BN, manakala pada 2004 pula disebabkan oleh faktor peralihan pucuk kepimpinan negara dari tangan Tun Mahathir kepada Tun Abdullah.

Berbeza dengan kali ini, penulis dimaklumkan bahawa peluang Haji Hadi untuk mengekalkan kerusi Marang agak sukar kerana beliau dikatakan kurang memberikan khidmat kepada rakyat di kawasan ini akibat kesibukan tugas sebagai Presiden PAS, terutama sejak PAS menganggotai Pakatan Rakyat.

Haji Hadi dikatakan menghabiskan banyak masa di Kuala Lumpur membantu gerak kerja Pakatan Rakyat, antaranya perhimpunan Bersih dan sebagainya. Pegawai yang ditugaskan pula gagal berfungsi dengan baik akibat dari kengkangan kewangan yang terhad.

Ini adalah antara beberapa maklumat yang penulis terima. Sejauh mana ianya benar, hanya masa yang akan menentukan.

Yang penting belum terlambat untuk Haji Hadi dan pasukannya meneliti perkembangan semasa ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Terengganu adalah antara beberapa negeri yang menjadi sasaran Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang disamping mengekalkan penguasaan di negeri-negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

No comments:

Post a Comment