Sunday 19 February 2012

JTU TIDAK IKTIRAF TAMBANUO?

BERSEMANGAT.... Rambilin bersama Peguamnya, Datuk Kong Hong Ming (Peguam Pakar Tanah Adat yang sentiasa membantu/memberikan sinar harapan kepada penduduk kampung) di luar Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Februari lalu.

MUNGKINKAH pandangan Peguam Besar Sabah, Datuk Roderic Fernandez ada benarnya kerana Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) enggan mengiktiraf hak anak Negeri Sabah berketurunan 'Tambanuo' walaupun Mahkamah Tinggi telah memutuskan hak pemilikan tanah NCR kepada Rambilin Ambit?

Pada pagi 16 Febbruari 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Dato' Abdul Rahman Sebli telah menetapkan 22 Mac 2012, untuk menyampaikan keputusan sama ada Rambilin bte Ambit seorang Anak Negeri Sabah layak mendapatkan Tanah Adat (NCR) atau tidak. (Sama ada keputusan JTU untuk tidak memberi kelayakan kepada Rambilin untuk mendapatkan Geran Tanah Adat diterima atau tidak).

Walaupun Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan telah mengiktiraf pemilikanTanah Adat (NCR), namun hak Rambilin untuk mendaftar hak miliknya belum berjaya (setelah dibicarakan selama 12 tahun di mahkamah) kerana Pengarah JTU Sabah dan Kerajaan Negeri tetap 'MENOLAK' untuk memberikan Geran/Hak Milik Tanah Adat kepada Rambilin.

Kes Rambili boleh dirujukan melalui Kes: BKI-25-1/1-2012 (Originating Motion-Rayuan daripada Keputusan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah) Rambilin Ambit vs Magundar Ambit, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dan PPHT Daerah Pitas.

Sehubungan itu, bangkitlah wahai seluruh warga Orang Asal/Anak Negeri Sabah demi masa hadapan Tanah Adat (NCR) kita yang menuju di ambang kegelapan disebabkan karenah birokrasi dan undang-undang warisan penjajah yang mahu kita terus menjadi hamba.

Datanglah beramai-ramai ke kawasan lapang bersebelahan dengan bangunan Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 7 pagi, 22 Mac 2012 untuk memberikan sokongan moral kepada Rambilin dan kes yang menjadi mercutanda Tanah NCR di Sabah.

Sebelum itu pada 13 Mac Mahkamah akan mengumumkan keputusan rayuan syarikat Hap Seng Consolidated mahu mengenepikan kes Darinsuk dan empat yang lain daripada dibicarakan; manakala pada 15 Mac Mahkamah akan membuat keputusan rayuan Pendakwaraya terhadap kes Imahit. Orang Asal dan Anak Negeri Sabah dipelawa memberi sokongan moral kepada dua kes berkenaan.

No comments:

Post a Comment