Friday 24 February 2012

PUISI : BINTANG BERSINAR

Karya : DANIEL JEBON JANAUN

SUARA Tunku kedengaran bergema di mana-mana

Gemanya tertanam di sanubari kita sekian lama

Bukankah Sabah, Sarawak, dan Malaya

tarafnya rakan kongsi sama rata

Dalam membentuk Persekutuan Malaysia?

Bertahun lamanya kita ditipu diperdaya

Kita merintih merana namun kita tetap dipandang rendah

Anak-anak generasi hari esok tak berani lagi berdiri gagah

Kerana pemimpin kini kehilangan arah

Dalam membela dan memperjuangkan nasib nusa dan bangsa

Sabah tanah tumpah darah kita

Tanahnya subur dan makmur dicari penjajah

Walau kita telah merdeka, namun kita bagai dijajah

Berdekad lamanya kita diperhamba

Usah dipersalah Bank Dunia

Pabila kita miskin papa

Walau kaya tetapi tak berguna

Rakyat kita terus menangis menderita

Berpuluh bilion setiap tahun

Hasil bumi Sabah rakus dibaham Malaya

Kita kehilangan kuasa dek pecah dan perintah

Regim ini tetap kukuh bermaharaja lela

Orang kita berbalah dan berlaga

Dan mereka pun mendabik dada

Kerana kuasa di tangan mereka

Mari berjuang menuntut hak

Mari bergerak bersama dengan bijak

Mari membina kuasa kita

Di negara ini yang tercinta

Bintang baru telah bersinar

Menjulang harapan jadi kenyataan

Sepakat kita junjung kemenangan

Pembela dan pejuang membentuk kerajaan pilihan

Kerajaan rakyat, untuk rakyat, dan oleh rakyat

Bagi masa depan kita yang lebih berberkat.

No comments:

Post a Comment