Thursday 2 February 2012

PUSAT NUKLEAR DAN RADIOTERAPI DISEMBER 2012

PUSAT Perubatan Nuklear dan Radioterapi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah dijangka beroperasi akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pembinaan bangunan pusat yang berharga sekitar RM264 juta kini berjalan lancar dan setakat 31 Disember lepas, projek itu hampir siap 87 peratus.

Dengan siapnya pusat yang dibangunkan bersebelahan Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (Hospital Likas) itu, pesakit barah di negeri ini tidak perlu ke Kuala Lumpur atau Kuching untuk mendapatkan rawatan, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Perkhidmatan Jantung Negeri Sabah di Hospital Ratu Elizabeth II di Luyang, dekat sini.

Rosnah berkata pusat perkhidmatan jantung itu mula beroperasi April lepas, dan tahun lepas sahaja lebih 10,000 orang mendapatkan rawatan di pusat itu, dan 876 daripada pesakit jantung itu dimasukkan ke pusat berkenaan.

Pusat jantung yang diwujudkan dengan kos kira-kira RM50 juta itu mempunyai lima doktor pakar dalam pelbagai bidang termasuk pakar kardiologi dan pakar bedah.

Rosnah berkata sebelum penubuhan perkhidmatan itu, penduduk Sabah yang mengalami masalah jantung terpaksa dihantar ke Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Mengenai rayuan pemimpin negeri agar lebih banyak doktor pakar dihantar untuk bertugas ke hospital daerah lain termasuk di Tawau, Sabah, beliau berkata kementerian komited untuk menempatkan doktor-doktor pakar di Sabah dan Sarawak. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment