Sunday 14 October 2012

BN TIDAK PERNAH RAMPAS HAK RAKYAT SABAH





PENAMPANG : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Persekutuan tidak pernah merampas hak rakyat Sabah, tetapi sebaliknya telah memberi banyak kemudahan kepada negeri itu.

Oleh itu, beliau meminta rakyat Sabah supaya tidak perpengaruh dengan hasutan pembangkang kononya kerajaan Persekutuan merampas hak rakyat negeri itu.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan komited untuk membela nasib rakyat di negeri Sabah termasuk memelihara keharmonian dan kepelbagaian budaya.

Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat supaya jangan mudah termakan janji manis pembangkang yang ternyata gagal mentadbir negeri-negeri yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri dan perasmian jambatan Inobong di Padang Pagansakan, Inobong, dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata senjata utama pembangkang hanya berpaksi kepada tiga perkara iaitu 'kutuk, hasut dan janji'.

"Contohnya mereka kutuk saya dan isteri, dalam lawatan ke Sabah baru-baru ini, menari Sumazau. Pembangkang kutuk padahal kita menghormati kebudayaan (masyarakat Kadazandusun).

"Mungkin saya tidak sepakar dengan Tan Sri Pairin (Tan Sri Joseph Pairin Kitingan) and Tan Sri Dompok (Tan Sri Bernard Dompok) menari Sumazau....yang penting hati saya ini menghormati kebudayaan (suku kaum) Sabah," katanya.

Najib juga menolak tanggapan pembangkang bahawa lawatannya yang kerap ke Sabah iaitu sebanyak lima kali tahun ini mempunyai kaitan dengan kerisauan keadaan politik di negeri ini.

Katanya kunjungannya ke Sabah adalah untuk menepati janji dan memperkukuhkan komitmen bagi membela nasib rakyat dan negeri itu.

"Seorang pemimpin tahu merasai denyutan dan nadi rakyat dan kita mesti tahu apa aspriasi rakyat. Kita tidak boleh jadi pemimpin besar kalau hanya petah bercakap seperti orang jual ubat di tepi jalan," katanya.

"Ini sebab bila kita umum BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) rakyat yakin kita akan bayar tahun depan. Kita boleh buat pilihan raya bila-bila masa sahaja kerana rakyat dah yakin janji kita tunai...kadang-kadang lambat sedikit tetapi lambat laun kita akan laksanakannya," jelasnya.

Beliau turut menyarankan agar satu kajian komprehensif dibuat bagi menentukan masa depan sistem kehakiman anak negeri Sabah.

"Kita mahu sistem ini dibangunkan dan diolah dengan baik supaya sistem mahkamah anak negeri ini tidak dilihat sebagai 'ala kampung' sebaliknya kita mahu tingkatkan asas keilmuan dan kedudukan.

"Jadi saya minta yang pakar dalam bidang ini memberi pandangan dan cadangan agar sistem anak negeri terus relevan pada masa akan datang," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kelulusan projek pembinaan Sekolah Menengah Kivoupo, pembinaan Dewan Serbaguna Kampung Pagansakan dan penubuhan Pusat Permata di Penampang. (Bernama)


No comments:

Post a Comment