Oleh: GONOD SUNDA
WALAUPUN PRK Batu Sapi sudah beberapa minggu berlalu, namun pergeseran politik antara mantan calon SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee dengan mantan Timbalan Presiden SAPP, Datuk Tham Nyip Shen semakin rancak, berlaku cabar mencabar; diiringi pelbagai tuduhan salahlaku dan penyelewengan ketika menduduki jawatan masing-masing.
Bagaimanapun, Tham dijangka menghadapi tugas berat untuk mengelak tindakan undang-undang bertali arus ke atasnya jika beliau gagal membuat laporan Polis atau SPRM dalam tempoh 24 jam selepas Yong memberikan altimatum petang kelmarin.
Dalam serangan balasnya, Yong mendakwa Tham mengetahui jumlah wang telah dibayar bagi mendapat kelulusan lesen Unit Pengurusan Hutan (FMU) ketika Tham menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Dakwaan Tham merupakan suatu perkara yang serius dan meletakkan dirinya sebagai orang yang bertanggung jawab mengetahui sejumlah wang telah dibayar untuk mendapatkan lesen FMU namun Tham gagal memberi alasan kenapa tindakan tidak diambil dan sekaligus menyembunyikan kesalahan rasuah.
Yong mendakwa, berdasarkan tindak tanduk Tham, menunjukkan beliau bersubahat melindungi salah laku rasuah sehingga Yong mencabar Tham membuat laporan kepada dua agensi itu dalam tempoh 24 jam.
"Jika dia gagal melakukannya, maka saya akan membuat laporan bahawa Tham telah melakukan satu kesalahan berdasarkan Undang-Undang Pencegahan Rasuah kerana menyembunyikan maklumat," kata Yong dalam satu sidang akhbar di Ibupejabat SAPP di Bornion, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Yong mengulas kenyataan Tham yang mendakwa bahawa, "dia telah diberitahu beberapa kali bahawa ada segelintir individu menerima sejumlah besar wang selepas menjanjikan urusan FMU kepada beberapa orang di Sandakan."
Senario ini membuatkan Tham seolah-olah terperangkap dengan jerat buatannya sendiri dan terpaksa melalui jalan sukar untuk melepaskan diri daripada cengkaman jeratnya itu kerana mempersendakan undang-undang.
Ramai pemerhati politik menyifatkan Tham sebagai ‘keterlaluan dan di luar pertimbangan sebagai seorang pemimpin politik’ kerana didorong oleh sifat ‘dendam kesumat’ terhadap Yong, malah dengan niat sengaja memporak porandakan para pengundi Cina dengan dakyah kosong supaya beralih sokongan kepada calon BN.
Kesimpulannya, Tham yang pernah digelar sebagai pemimpin ‘Baby Face’ suatu ketika dahulu tidak akan ke mana kerana sehingga kini Tham terpaksa meminta suaka politik dari parti komponen BN daripada Semenanjung Malaysia bagi menyambung talian hayat politiknya yang semakin genting.
No comments:
Post a Comment