Oleh: JACKSON LU
MASALAH BANJIR di kawasan Tenom dan Kemabong nampaknya tidak dapat dibendung lagi meskipun sebelum ini terdapat suara suara pemimpin BN yang berminat untuk mencari jalan penyelesaiannya supaya 3,000 penduduk yang tinggal di kawasan tebing kedua-dua batang sungai tidak akan terus terseksa oleh masalah banjir yang berlaku setiap tahun.
Malahan, Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Haji Aman sendiri pernah mengumumkan semasa lawatan beliau ke Beaufort sekitar tahun 2008 bahawa beliau telah menemui kaedah yang terbaik untuk mengatasi banjir dengan bantuan Konsultan dari luar Negara namun persoalannya bilakah cadangan itu diimplementasikan atau rakyat terpaksa mengharungi beberapa siri banjir lagi.
Rakyat sudah muak dengan karenah banjir yang telah banyak mengukir seribu janji termasuk cadangan mengorek dan mendalamkan sungai Padas dan Pegalan namun cadangan itu bagaikan tenggelam ke dasar sungai bersama lumpur mengharapkan ia akan timbul menjadi emas sebagai simbolik keyakinan namun harapan itu menjadi sia- sia belaka.
Daerah Tenom yang sudah kaku dan lesu dari aspek ekonominya kini sudah tidak punya apa apa untuk ditonjolkan lagi kerana pelancong asing sudah termaklum menerusi ICT yang mencatat pelbagai kemundurannya termasuk destinasi pelancongan dan pusat riadah yang tiada perubahan yang lebih sinonim dengan perkataan ‘statik’.
Sesiapa pun pelancong yang ingin menikmati suatu suasana kedamaian, keindahan alam semulajadi pasti memilih kategori itu sebagai keutamaan kunjungan mereka dan sudah tentulah daerah yang memiliki ciri ciri itu seperti kawasan pedalaman khususnya Tenom dan Kemabong sepatutnya lebih bersedia kearah itu untuk menyambut tetamu yang datangnya daripada luar.
Sebaliknya bukanlah membawa mereka (pelancong) meredah banjir yang berbau lumpur sambil dihiasai nyamuk dan agas disepanjang perjalanan. Manakala perjalanan keretapi kira-kira 40 minit ke Pangi-Rayoh untuk ke destinasi riadah ‘white water rafting’ selepas itu masing-masing mengalami sakit badan dan pinggang kerana landasan keretapi belum siap-siap selepas kerja-kerja menaiktaraf yang kini sudah memakan masa lebih tiga tahun. Di manakah letaknya NKRA dalam soal itu?
Mungkin juga ada kebenaran laporan sebuah media yang memaparkan kononnya Sabah salah sebuah negeri yang termiskin di dunia berdasarkan fakta sebenar sepertimana apa yang berlaku di Tenom dan Kemabong setakat ini. Agak bernasib baik jika pelapor media itu sekadar melakukan andaian mengikut pandangan mata dan bukan melakukan ‘research’ secara total yang benar-benar mengesahkan kedudukan yang sebenarnya.
Siapa yang harus dipersalahkan? Tepuk dada tanya selera! Pemimpin, Kerajaan dan Rakyat mempunyai tanggungjawab bersama dalam menentukan mundur atau majunya sesebuah kerajaan yang disokong dan dimandatkan Rakyat menerusi proses Demokrasi.
No comments:
Post a Comment