Sunday, 19 February 2012

JANGAN BIARKAN KAMI MATI KEBULURAN!



Oleh: SHAIMON S JUMADI

SIKAP tidak prihatin Wakil Rakyat Gum Gum dan Libaran meletakkan nasib peniaga di Pasar Tamu Batu 32, Jalan Sandakan-Kota Kinabalu sebagai golongan miskin tegar kerana bukan sahaja menyusahkan mereka, malah menyebabkan perniagaan terjejas teruk.

"Kami bukan anti pembangunan atau anti kemajuan, tetapi bertimbang rasalah sebelum melaksanakan sesuatu yang boleh memusnahkan masa hadapan kami. Pandangan dan rayuan kami langsung tidak didengar. Nah sekarang apa jadi?," tanya Irwan Asri (kanan), 41, salah seorang daripada 60 peniaga yang menjadi mangsa kesombongan Majlis Perbandaran Sandakan dan ketidak prihatinan Wakil Rakyat.

Tegas Irwan, walaupun FAMA telah membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk membina tapak dan gerai baru, namun umpama menjual intan berlian di dalam hutan rimba yang tidak berpenghun kerana lokasi baru tidak strategik.

"Namanya sedap, Agro Bazaar tetapi hasil yang kami terima setiap hari lebih teruk dari peminta sedekah. Sejak 15 hari lalu barangan jualan kami hanya dibuang sahaja kerana tiada pembeli," ujar Irwan yang merungut kerana pengunjung boleh dikira dengan jari, sedangkan mereka terpaksa mengeluarkan modal membeli barang mentah setiap hari.

Menurut Irwan, transformasi yang dikehendaki Perdana Menteri gagal dicapai oleh MPS dan Wakil Rakyat mereka sehingga nasib mereka semakin bertambah buruk dan mula kehabisan modal simpanan, bakal gulung tidak jika senario tidak berubah.

“Dengan pendapatan sehari antara RM10 hingga RM50, kami umpama memelihara babi yang kami tidak boleh makan. Semua sayur dan jualan kami terpaksa dibuang. Sedangkan di tempat lama kami boleh mendapat RM300 hingga RM500 sehari," kata Irwan yang memohon maaf kerana terpaksa membuat tamsilan demikian.

Irwan menarik perhatian, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirul dan ADUN Gum Gum tidak pernah turut padang melihat kesengsaraan kami walaupun sudah beberapa kali dimaklumkan secara rasmi dan lisan.

“Batang hidung merekapun tidak nampak sejak 2008 dan kami tidak lagi mampu bertahan sehingga terpaksa mengadu kepada Sabahkini.net," ujar Irwan yang memaklumkan mereka membuat keputusan sebulat suara untuk menarik perhatian Ketua Menteri Sabah berhubung nasib mereka.

Kata Irwan, walaupun dilayan sebegitu buruk, namun Irwan tetap menyokong Kerajaan Barisan Nasional, namun tidak dapat menjamin arah sokong 60 peniaga lain yang kehilangan punca pendapatan melalui program transformasi kerajaan.

BECAK.....Jalan masuk yang becak menyebabkan tidak ada pengunjung yang mahu datang.

HANTU....Mungkinkah pelanggan mereka ini hantu atau kawasan ini memang berhantu kerana tiada pelanggan.

KENANGAN....Kawasan ini dahulu adalah lubuk rezeki 60 peniaga kini dibiarkan kosong.

"Mereka amat berdendam dan kita bimbang dendam mereka dibuktikan di peti undi. Jadi sebaiknya atasilah masalah Bazaar FAMA ini agar jika menjadi Tanah Perkuburan kami," kata Irwan dengan madah penuh bermakna.

Sementara itu, seorang ibu tunggal yang menyara tiga orang anak hasil daripada menjaja di tapak lama, Suriwati Leso, menyifatkan mereka diberikan sebuah rumah bungalow tetapi hakikatnya terpaksa tidur di mangkuk tandas.

“Kelmarin tiga bakul besar plastik langsat seberat 30 kilo dan rambutan 30 kilo terpaksa dibuang begitu saja. Begitu juga cempedak. Saya rugi lebih RM350. Modal saya sudah hampir habis," kata Suriwati yang kecewa dengan layanan buruk MPS, FAMA dan Wakil Rakyat.

Jika senario berterusan kata Suriwati, bagaimana mereka mahu membayar pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) RM140 setiap minggu jika pendapatannya sejak 12 hari lalu hanya RM70?

"Demi anak-anak saya, benarlah kami kembali berniaga di tapak lama sebelum kami mati kebuluran. Kami bukan minta sedekah, tetapi mohon perikemanusiaan agar benarkan kami berniaga kembali di sana. Lagipun masih lama lagi jalanraya berkenaan mahu dibina," rayu Suriwati sambil dipersetujui oleh Irwan dan rakannya.

No comments:

Post a Comment