Thursday, 2 February 2012

KENAPA ANWAR DIBIARKAN KESEORANGAN?



Oleh : AZMAN ARIFFIN

PENULIS lihat Datuk Seri Anwar Ibrahim keseorangan dalam mempertahankan isu berkaitan dengan melindungi keselamatan Israel yang disebut dalam temuramahnya dengan The Wall Street Journal pada 26 Januari.

Komponen-komponen dalam Pakatan Rakyat sama ada membisu atau mengambil jalan selamat dari mengulas lebih lanjut tentang isu ini. Paling mengecewakan ialah PAS yang bukan setakat tidak menyokong malah membiarkan jentera pemudanya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang langsung tidak membantu malah memburukkan lagi keadaan.

Penulis dimaklumkan dalam satu mesyuarat tertutup yang diadakan baru-baru ini, Anwar secara terbuka telah mengkritik pemuda PAS atas kelantangan mereka mengulas isu tembual beliau tersebut, jauh dari konteks sebenar.

Kepimpinan PAS perlu berbuat sesuatu dengan sayap pemudanya yang masih terikat dengan perjuangan PAS yang ‘lama’. Mentaliti pemuda PAS hari ini tidak berbeza langsung dengan dahulu walaupun banyak yang telah berubah dengan penyertaan PAS ke dalam Pakatan Rakyat.

Penulis tidak mahu menyebutkan siapa, tapi percayalah kalau keadaan ini tidak dikawal dalam pemuda PAS, ia boleh menjurus kepada berulangnya tragedi yang dicetuskan Hasan Ali sehingga membawa kepada pemecatannya.

Tapi sikap Angkatan Pemuda Keadilan (AMK) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang berterusan mendiamkan diri juga tidak boleh diterima akal.

Kalau pun ada yang menjawab, kebanyakannya lebih banyak menumpu kepada respon Anwar ke atas kenyataan mantan Perdana Menteri Mahathir Mohammad yang menuduh Anwar ‘rapat’ dengan yahudi. Tidak kurang juga yang memainkan kembali isu berkaitan dengan surat yang konon dihantar oleh Mahathir kepada bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Barak pada 1999.

Sedangkan seingat penulis isu tersebut telah dijawab Mahathir dalam blognya pada 2008 di sini. Pendek kata, kalau pun ada yang menjawab, ianya terkeluar dari isu sebenar yang sedang menjadi perdebatan hangat di Internet, terutama blog-blog pro UMNO dan laman media sosial lain seperti Facebook dan Twitter.

Yang sebetulnya, kenyataan rasmi Anwar berhubung isu tersebut sudah cukup bagus untuk menjawab segala kekeliruan yang ditimbulkan oleh UMNO dan blogger upahan mereka. Transkrip penuh (berkaitan Israel) temubual Anwar dengan TWSJ:-

“Some refuse to recognize the state of Israel,” he said, “but I think our policy should be clear, protect the security [of Israel] but you must be as firm in protecting the legitimate interests of the Palestinians.”

Penulis akui, ramai juga yang memetik kenyataan tersebut untuk menjawab tapi kenapa ia dibiarkan tanpa kupasan lanjut?

Harapan untuk melihat kepimpinan PKR dan DAP membela Anwar dalam isu ini juga nampaknya hanya tinggal harapan. Kelihatannya tidak ramai yang mahu bercakap mengenainya seolah-olah bersetuju dengan propaganda mainan media UMNO.

Keadaan ini menyebabkan Pakatan Rakyat ketinggalan di belakang dan Anwar terus menerus dituduh sebagai pensimpati yahudi tanpa mendapat pembelaan sewajarnya dari kita sendiri.

Pada pendapat penulis, isu ini sangat besar untuk Datuk Seri Anwar mengendalikannya bersendirian. Kalau ada yang fikir isu ini dengan cepat dilupakan seperti mana kebanyakan isu lain, mereka sebenarnya membuat kesilapan besar.

Dalam konteks Malaysia, hubungan dengan yahudi ini sangat kritikal apatah lagi bila Anwar digambarkan akan ‘melindungi keselamatan Israel’ oleh UMNO jika mengambil alih Putrajaya dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Justeru sesuatu perlu dibuat bagi mengelakkan perkara ini terus menerus mengurangkan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN di negara ini.

No comments:

Post a Comment