TAMPARULI : Parti Maju Sabah
(SAPP) berkata rakyat harus sedar bahawa mereka tidak boleh bersandar harapan
kepada orang luar untuk memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah.
Timbalan Presiden SAPP,
Datuk Eric Majimbun berkata masanya sudah tiba bagi rakyat Sabah sedar dan
sekaligus bangun untuk menentukan masa depan negeri ini yang ditindas Kuala
Lumpur sejak 50 tahun lalu.
“Masalah utama di Sabah
sejak sekian lama ialah terlalu ramai pendatang asing menjadi rakyat Sabah
segera. Pembentukan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) hanya memperlihatkan
penafian pemimpin seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed,
bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain lagi.
“Objektif utama RCI
sepatutnya menyelesaikan masalah itu tetapi sudah terpesong. Bagaimanapun, SAPP
ada cara untuk menyelesaikan masalah itu iaitu dengan mengeluarkan Kad
Pengenalan Sabah (IC Sabah),” katanya di sini.
Eric selaku Ahli Parlimen
Sepanggar, berkata Kuala Lumpur beranggapan bahawa hanya mereka sahaja dapat
menyelesaikan masalah di Sabah.
“Ini merupakan satu
penghinaan kepada rakyat Sabah. Adakah orang Sabah tidak mempunyai pendidikan
dan tidak boleh berdikari. Anggapan seperti ini harus kita hentikan.
“Orang Sabah juga mempunyai
maruah dan lebih mengetahui masalah orang Sabah. Oleh sebab itu rakyat harus
mengundi SAPP dalam pilihanraya akan datang kerana hanya parti tempatan yang
memahami masalah tempatan,” katanya.
Sementara itu, Penasihat
SAPP Datuk Mohd Noor Mansur berkata, rakyat Sabah harus menolak parti Malaya
kerana mereka tidak akan memperjuangkan hak-hak Sabah.
Katanya, pilihanraya umum
kali ke-13 akan datang merupakan peluang keemasan untuk menukar kerajaan demi
generasi akan datang.
Terdahulu, Ahli Majlis
Tertinggi SAPP Stephen Gaimin berkata, penindasan Kuala Lumpur terhadap Sabah
sudah lama berlaku dan salah satu contoh ialah perbezaan ketara harga getah di antara
Semenanjung Malaysia dengan Sabah.
Katanya, lebih menyedihkan
ialah apabila Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang bertanggungjawab
terhadap sektor getah di negeri ini tenggelam akibat kehadiran agensi dari
Semenanjung seperti RISDA dan FELCRA.
Katanya, apa yang merisaukan
ialah satu hari nanti LIGS dan agensi-agensi tempatan akan pupus dan digantikan
dengan agensi dari Semenanjung.
No comments:
Post a Comment