Oleh : CLARA CHOOI
KUALA LUMPUR : Parti
Progresif Sabah (SAPP) bertegas kepada Pakatan Rakyat (PR) bahawa parti dari
negeri Sabah mesti bertanding di majoriti kerusi dalam dewan undangan negeri,
dengan mengatakan ini adalah untuk melindungi autonomi negeri tersebut mengkut
perjanjian Malaysia 1963.
Mengulangi pendiriannya,
Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, berkata partinya sanggup untuk bekerjasama dengan
PR dengan memberi kerusi Parlimen, membenarkan pakatan pembangkang itu
memenangi Putrajaya.
Akan tetapi pentadbiran
negeri haruslah kekal di tangan parti yang berakar umbi di Sabah, kata bekas
ketua menteri itu, dan untuk mencapai perkara ini, berdasarkan nisbah kerusi
parlimen-negeri perlulah mengikut formula partinya.
Terdapat 60 kerusi dewan
undangan negeri dan 25 kerusi parlimen di negeri Sabah, yang sering dikatakan
sebagai deposit tetap Barisan Nasional (BN) bersama jirannya Sarawak.
“Kita telah mengatakan PRU13
adalah tentang mengembalikan semula autonomi Sabah (dan Sarawak) seperti yang
dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan mengembalikan semangat penubuhan
Malaysia.
“Deklarasi Kuching yang
mengatakan Sabah, Sarawak mempunyai status yang sama dengan Malaya adalah
relevan,” kata Yong melalui emel yang dikirimkan kepada The Malaysian Insider.
Ahli politik lantang itu
merujuk kepada deklarasi yang diumumkan dan diadaptasi oleh DAP, PKR dan PAS
semasa sambutan Hari Malaysia 16 September di Chonglin Park, di Kuching,
Sarawak.
Antara kunci kepada tujuh
deklarasi itu adalah untuk mengembalikan semangat Perjanjian Malaysia serta
kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan yang sama rata dalam Malaysia,
“dengan mengembalikan autonomi Sabah dan Sarawak dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan”.
“Jika konsisten dengan janji
dan prinsip ini, parti peringkat negeri harus bertanding secara majoriti di
peringkat negeri, dan PR boleh bertanding secara majoriti di kerusi Parlimen,”
kata Yong lagi.
Terdapat banyak pembangkang
di Sabah, dan menjelang pilihan raya umum ke-13 ini , mereka berebut jumlah
kerusi dari 60 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan.
PR, pakatan pembangkang yang
ditubuhkan di Semenanjung selepas kekalahan teruk BN dalam Pilihan Raya 2008,
melihat ini adalah peluang untuk menjatuhkan gabungan pemerintah itu dari kubu
mereka di Sabah.
Tetapi penduduk Sabah mula
bersifat kenegerian apabila pembangkang di negeri itu mula menggunakan slogan
“Sabah untuk Sabah”, yang menyebabkan rasa benci ke atas Malaya oleh penduduk
tempatan.
Seperti SAPP, Parti
Pembaharuan Negeri (STAR), yang diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata
pentadbiran negeri harus dikuasai parti Sabah.
Kedua-dua PR dan SAPP masih
belum berbincang dengan Jeffrey yang mahu meletakkan calon di majoriti kerusi
atau semua 60 kerusi negeri.
Tetapi dengan SAPP yang
masih mahu bertanding di sebahagian besar kerusi, dan PR masih tidak mahu
berganjak, ia dilihat bakal menjadi pembangkang yang rapuh dalam menghadapi
gergasi BN untuk merebut Sabah pada pilihan raya akan datang.
The Malaysian Insider
melaporkan semalam perbincangan kerusi antara PR dan SAPP dihentikan buat
sementara waktu, menurut rakan PR Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing.
Yong tidak menolak bahawa
partinya menunggu PR membuat keputusan bagi menentukan formula kerusinya untuk
tiga parti, Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang diketuai Bumburing dan
Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) yang diketuai Datuk Seri Lajim Ukin.
Kedua-dua Bumburing dan
Lajim merupakan bekas orang kuat BN di Sabah tetapi meninggalkan parti
masing-masing UPKO dan Umno untuk menubuhkan dua pergerakan politik pro-PR.
“Kita menunggu PR atau PKR
untuk mereka menentukan formula rasmi dan kita akan umumkan kerana kita tidak
hanya bertanggungjawab dengan parti tetapi dengan rakyat,” kata Yong lagi.
“Kita juga mahu tahu formula
untuk Sarawak dan Malaya.”
Beliau enggan memberitahu
jumlah kerusi yang SAPP mahu untuk berunding dengan PR, dan berkata “ini
bergantung dengan formula PR”.
Yong juga tidak mengesahkan
atau menafikan tentang kemungkinan partinya akan menentang calon PR dengan
bekerjasama dengan STAR dalam pilihan raya akan datang.
“Jawapan bergantung kepada
formula PR. Terima kasih,” katanya lagi.
Jika SAPP bertanding menentang
PR, ini adalah kali kedua sejak 2008 sejak kedua-dua pihak berlawan sesama
sendiri.
Pada November 2010, Yong
sendiri bertarung dalam pertarungan tiga penjuru antara Ansari Abdullah dari
PKR dan Datin Linda Yong Tsen Lin dari BN dalam pilihan raya Batu Sapi.
Yong, walaupun dalam
kempennya menyeru rakyat Sabah untuk menyokong parti tempatan, mendapat tempat
terakhir dalam pertandingan tersebut.
Pada ketika itu, bekas ketua
menteri Sabah itu mengingatkan pengundi mengenai isu autonomi di Sabah yang
menjadi salah satu faktor dalam perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963.
Beliau berulang kali merujuk
kepada salah satu perkara dibuat oleh Suruhanjaya Cobbold atau Suruhanjaya
Inkuiri yang diketuai oleh Gabenor Bank of England Lord Cobbold pada 1962.
Suruhanjaya itu ditubuhkan
bagi mengenalpasti rakyat Sabah, pada ketika itu itu dikenali sebagai Borneo
Utara, dan Sarawak untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu dan
Singapura bagi membentuk Malaysia.
Suruhanjaya itu
bertanggungjawab menulis Perlembagaan Malaysia menjelang pembentukan Malaysia
pada 16 September 1963.
Dalam laporan suruhanjaya
tersebut, Lord Cobbold menerangkan suruhanjaya tersebut menyokong pembentukan
Malaysia dan beliau “menyokong kuat” kerana ia adalah projek “yang boleh
dijalankan” yang terbaik untuk kepentingan wilayah Borneo dan juga Persekutuan
Malaya.
Pada Pilihan Raya 2008, BN
kehilangan majoriti tradisi dua pertiga sebahagian besarnya kerana kalah
semenanjung, dimana mereka hanya menang 85 kerusi dan pembangkang merampas 80
kerusi.
Penyelamat BN adalah Sabah,
Sarawak dan Labuan dimana parti pemerintah itu mengalahkan pembangkang dimana
mereka memenangi 55 kerusi parlimen manakala pembangkang hanya menang dua
kerusi. (TMI)
No comments:
Post a Comment