Oleh : AL-AZHARRI SIDDIQ
HAJI KAMUNRI
DI SABAH, masyarakat Bugis
masih tidak diiktiraf sebagai Bumiputera, atau lebih tepat Bumiputera Islam
Sabah. Jika di Semenanjung Malaysia, sama ada orang Bugis, Jawa, Banjar, Arab
dan seumpamanya semuanya dikategori sebagai Melayu. Mereka dikategorikan juga
sebagai Bumiputera.
Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak, adalah keturunan Bugis dari Wilayah Goa, Sulawesi Selatan.
Apakah bezanya dengan keturunan Bugis dari Wilayah Goa juga yang kini sudah
bermastautin beratus tahun di Sabah, tetapi masih tidak diiktiraf sebagai
Bumiputera Sabah?
Jika Kerajaan Negeri tidak
hendak mengiktiraf masyarakat Bugis Sabah sebagai Bumiputera Sabah, apakah
bermakna mereka juga mahu mempersoalkan keturunan Bugis Perdana Menteri kita?
Mari kita buka buku Sejarah.
Seorang Sarjana Belanda, telah menulis di dalam Thesisnya mengenai Pentadbiran
Awal Beland a di Borneo, menulis, bahawa wilayah-wilayah Tawau hingga ke
Semporna pernah diperintah dan ditadbir oleh dua bangsa yang utama iaitu suku
Bajau di kawasan Semporna dan suku Bugis di wilayah Tawau.
Katanya, kerajaan Penjajah
Belanda terpaksa memohon izin Penggawa Bugis di Tawau sebelum mereka bertapak, berniaga
dan berurusan. Peristiwa ini berlaku sebelum British menjajah North Borneo
lagi.
Seorang lagi Sarjana Cina
dari Singapura, dalam Thesis Sarjananya "The North Borneo" menulis
bahawa pendatang-pendatang China telah datang ke Pantai Barat Sabah membuka
tanah untuk membuat ladang-ladang sayur.
Akhirnya anak cucu mereka
menjadi rakyat Sabah yang tidak pernah dikaji oleh SAPP yang asyik mempersoal
orang lain?
Semasa UMNO Sabah mula-mula
bertapak di Sabah, penulis yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kg
Pertama Bombalai, Tawau, Sabah telah memasukkan usul dalam Mesyuarat Cawangan
dan Bahagian supaya masyarakat Bugis, Banjar, Tidung, Suluk, Bajau dan sebagainya
yang beragama Islam, yang bertutur dalam bahasa Melayu dan berbudaya Melayu
supaya diiktiraf sebagai Melayu dan digazetkan oleh Kerajaan Sabah sebagai
Bumiputera.
Sengaja Disalah Faham
Istilah pendatang asing atau
pekerja asing atau warga asing memang wujud di mana-mana negara di dalam dunia.
Di Sabah orang Cina yang sudah menjadi Warganegara Malaysia memanglah berbeza
dengan orang Cina yang baru sampai dari Taiwan, Hongkong, China ataupun dari
Cina Indonesia.
Samalah juga bahawa orang
India yang sudah menjadi Warganegara Malaysia sudah tentulah berbeza dengan
orang India yang baru sampai dari Chennai, Malbari, Mumbai dan Kalikat.
Begitu juga orang Sulu yang
sudah lama menetap di Sabah menjadi warga Sabah memanglah bervbeza dengan orang
Filipina yang baru setahun dua sampai di Sabah. Samalah juga orang Jawa, Banjar
atau Bugis yang sudah hidup menetap di Sabah (Pantai Timur Sabah) sebelum
British dan sebelum Belanda samapai di Sabah, tentulah berbeza dengan orang
Jawa, Banjar atau Bugis yang baru sehari dua sampai di Sabah.
Walaupun dari bangsa yang
sama, tetapi negara mereka berbeza. Samalah juga dengan orang Melayu Patani dengan
orang Melayu Kelantan, sama bangsanya, sama agamanya, sama bahasanya tetapi
berlainan kerakyatan.
UMNO Sabah mesti selesaikan
masalah ini kerana berlaku penindasan yang tidak sepatutnya berlaku. Kita ambil
contoh dalam aspek pekerjaan, terdapat ramai pegawai-pegawai tinggi kerajaan
berketurunan Bugis di Sabah tidak dapat berkhidmat di Sabah kerana kekeliruan
persepsi yang disengajakan ini.
Dato' Osman Jamal, Pengarah
Tanah Negeri Sabah yang juga Presiden Komunuti Bugis Sabah (PKBS), Datuk Dr.
Patawari Patawe Mantan Pembantu Menteri Kerajaan Negeri Sabah seorang pakar perubatan
terkenal di Asia Tenggara; Samsul Alang Hamsah Timbalan Ketua UMNO Bahagian
Kalabakan; sebelum itu lagi mantan Pembantu Menteri Belia Sabah zaman Perikatan
PBS-USNO YB Tuan Hj Said Senang; mantan YB Kunak Datuk Salim Bacho, atau lebih
jauh lagi OKK di Tawau Datuk Zainal Kerahu; Datuk Muis Picho YB Pulau Sebatik
dan ramai lagi individu Bugis Sabah yang memberi perkhidmatan kepada negeri Sabah
dalam bidang politik, swasta, sosial dan sebagainya.
Mengapa UMNO Sabah yang
menjadi tulang belakang Kerajaan BN Sabah tidak mengiktiraf mereka sebagai
Bumiputera Sabah! Orang Bugis yang bukan lahir di Sabah, mereka datang dari Indonesia
kerana diambil sebagai pekerja memang sahlah bukan warganegeri Sabah, itu sudah
jelas samalah kesnya dengan orang Cina yang baru sampai dari negara asalnya.
Apakah Bung Mokhtar boleh
disamakan dengan suku kaumnya yang baru sampai dari Indonesia? Sudah tentu
berlainan bukan. Bagaimana dengan Datuk Yong Teck Lee, Presiden SAPP.
Penulis berharap Kerajaan
Negeri Sabah lebih terbuka dan profesional di dalam isu ini. Data dan kajian
yang lebih telus mesti dibuat untuk mengkategori hal-hal ini.
Jika Kerajaan Persekutuan mengiktiraf
masyarakat Bugis Sabah sebagai entiti Melayu, mengapa Kerajaan Negeri tidak seiringan
dengan dasar Kerajaan Persekutuan ini?
Penulis menulis perkara ini
kerana penulis juga menyokong RCI di Sabah dengan syarat yang sememangnya layak
janganlah dipersoalkan, sebaliknya akui dan menerima yang layak itu. Yang
sememangnya tidak layak dan bukan warganegeri Sabah, sememangnya tidak layaklah
walaupun satu rumpun.
Dengan cara ini sahajalah
barulah isu-isu berbangkit boleh diselesaikan dan seterusnya kita membangunkan
negeri Sabah dengan lebih hebat.
Anda mungkin ada pendapat
yang berbeza. Yang jelas Sejarah tidak akan menipu! Sabah hanya merdeka pada 16
September 1963 sahaja. Bagaimana sejarah Sabah sebelum merdeka, 100 tahun
sebelum merdeka.
Bacalah Thesis Lee 'The
North Borneo' dari Universiti Singapura, yang menerangkan dengan panjang lebar
Demografi, Sosiopolitik dan Sosio ekonomi Sabah sebelum tahun 1800 Masehi.
Beliau menyebut orang Bugis sudah
menjadi Penggawa (Ketua Daerah) di Tawau pada tahun 1770-an! Selamat Membaca.
Buku itu ada di Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan di Arkib Negara Kuala
Lumpur.
Mantan Ahli Tertinggi UMNO yang
juga Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Lajim Okin, dalam perjumpaan dengan
penulis sangat mengiktiraf Bugis Sabah, malah dalam wawancara beliau dengan
akhbar Utusan Malaysia setahun yang lalu, beliau juga menyebut sumbangan orang
Bugis Sabah.
Bilakah Kerajaan Negeri
Sabah hendak mengiktiraf Bugis Sabah sebagai Bumiputera Sabah sedangkan Murut yang
dianggap sebagai Anak negeri Sabah juga dari Kalimantan, Indonesia?
No comments:
Post a Comment