KOTA KINABALU : Persatuan
Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) mendesak permohonan maaf daripada Parti Keadilan
Rakyat (PKR) cabang Ranau dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana
menyentuh sensitiviti dan kesucian adat masyarakat Kadazandusun di Sabah.
Ketika membuat gesaan itu,
Setiausaha Agung KDCA Suman Yasambun berkata gelaran 'Huguan Siou' yang
bermaksud 'Pemimpin Agung' secara eksklusif dikhaskan dan diberi kepada seorang
pemimpin Kadazandusun Murut.
Oleh itu, katanya jika benar
seperti dilaporkan media baru-baru ini bahawa PKR Ranau memberi atau
mengisytiharkan Anwar sebagai Huguan Siou Malaysia, tindakan itu menyalahi
budaya dan tersasar daripada amalan serta tradisi lazim Kadazandusun.
"Ia menghina dan
menyinggung perasaan kaum Kadazandusun. Hakikatnya ini adalah tindakan yang
akan menguatkuasakan hukum ''solupi'', iaitu membawa sumpahan terhadap
seseorang atau mereka yang merampas struktur kepimpinan sedia ada dalam
lingkungan komuniti Kadazandusun, terutamanya dalam hubungan dengan institusi
Huguan Siou," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Suman berkata ''Huguan
Siou'' adalah institusi yang merangkumkan semangat perpaduan, keberanian dan
keazaman KDM.
"Beliau adalah penjaga
adat, norma, artifak dan tradisi KDM yang dirayakan setiap tahun menerusi Hari
Kaamatan," katanya.
KDCA merangkumi dan mewakili
40 kumpulan etnik di Sabah. Sementara itu, Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu
Sabah (USBO) Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata saga Huguan Siou menunjukkan
Anwar jahil tentang budaya pelbagai kumpulan etnik di Sabah.
"Beliau (Anwar) hanya
berminat dengan kuasa politik dan menghina masyarakat Sabah. Bagaimana
masyarakat Sabah mahu mempercayai beliau?," katanya. Dalam hubungan ini,
Salleh berkata Anwar perlu memohon maaf secara terbuka kepada kaum Kadazandusun
di negeri ini.
Menteri Pelancongan,
Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun berpendapat gelaran
Huguan Siou dianggap ''suci'' oleh komuniti KDM dan hanya boleh diberi kepada
kalangan komuniti berkenaan.
Beliau berkata Malaysia
sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, agama serta budaya dan rakyatnya
perlu saling menghormati sensitiviti adat dan budaya satu sama lain.
"Orang yang memberi
gelaran ini mungkin cuba meraih kepentingan politik tetapi orang yang
menerimanya pula sama ada jahil atau memang tidak sensitif.
Bagaimanapun perkara ini
tidak dapat diterima daripada seseorang yang berpengalaman dalam politik dan
kerajaan seperti beliau," katanya.
Beliau berkata gelaran
Huguan Siou tidak seharusnya digunakan sebagai alat politik untuk memenuhi
agenda seseorang.
"Tanpa mengira
perbezaan hubungan politik dan perselisihan dalam banyak perkara, masyarakat
Sabah mesti bersatu dalam mengiktiraf serta menghormati warisan dan adat budaya
kita," katanya.
Masidi, yang berasal dari
Ranau, berkata sebarang tindakan yang dianggap memperkecilkan institusi Huguan
Siou adalah satu tindakan memperkecilkan warisan budaya Sabah, dan menambah
agenda politik perlu sentiasa memberi laluan dengan mengutamakan kepentingan
masyarakat Sabah.
Presiden Parti Liberal
Demokratik (LDP) Datuk VK Liew berkata hanya ada seorang sahaja Huguan Siou di
Sabah iaitu Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Beliau berkata
pengisytiharan Anwar sebagai Huguan Siou adalah penghinaan kepada komuniti KDM
di Sabah.
No comments:
Post a Comment