KOTA KINABALU : Ketua Polis
Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga
Filipina yang mendarat di persisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris
berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina. Beliau berkata kumpulan
terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan
mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.
"Kita telah hantar
pasukan untuk berunding dengan mereka dan perbincangan berjalan baik dan kita
beritahu mereka bahawa mereka kena tinggal (Sabah) secara baik dan kita tidak
mahu apa-apa keadaan yang boleh menggugatkan keselamatan rakyat di negeri
ini," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota
Kinabalu di sini hari ini.
Ismail berkata kumpulan itu
yang kini berada di Kampung Tandau, Labian di Lahad Datu memberi jaminan akan
meninggalkan tempat itu (Sabah) secepat mungkin dengan syarat tuntutan mereka
dipenuhi.
Beliau berharap anggota
kumpulan berkenaan akan meninggalkan negeri ini secepat mungkin dan menegaskan
tuntutan seharusnya dibuat secara diplomatik, bukan secara mengejut seperti
yang dilakukan itu.
"Kita lihat
perbincangan dalam keadaan terkawal dan pasukan keselamatan telah mengambil
tindakan awal dengan mengepung kampung itu sejak semalam dan saya percaya
perkara ini dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata pihaknya
mengganggarkan kumpulan itu melebihi 100 orang dan tidak menolak kemungkinan
mereka bersenjata, namun demikian polis mengambil pendekatan 'berhati-hati'
bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Setakat ini keadaan
tidak tegang dan mereka kelihatan berkelakuan baik. Kita percaya kumpulan itu
mempunyai sahabat di kampung itu tetapi tidak mempunyai rumah di situ. Mereka
pergi duduk di surau dan menumpang rumah-rumah di kampung," katanya sambil
menambah kumpulan itu tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kumpulan militan di
Filipina.
Pada peringkat ini, katanya,
rundingan sedang berjalan dan beliau menasihati penduduk di sekitar Lahad Datu
supaya tidak percaya pada khabar angin.
Beliau turut memberi jaminan
bahawa keadaan adalah baik serta selamat dan polis Sabah akan melakukan yang
terbaik untuk menangani kemelut itu segera. Katanya kumpulan itu difahamkan
menggunakan bot pancung dan pihaknya akan menyiasat bagaimana mereka berjaya
memasuki negara ini. (Bernama)
No comments:
Post a Comment