KERAJAAN Malaysia akan
melakukan yang terbaik, termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu
pencerobohan sekumpulan warga Filipina di perairan negara di Lahad Datu, Sabah.
Sambil menegaskan keadaan di
Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah terkawal, Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata tindakan itu penting bagi memastikan kumpulan yang
berjumlah antara 80 dan 100 anggota itu "keluar dengan selamat ke Selatan
Filipina", sekaligus mengelak pertumpahan darah.
"Ini yang kita nak kerana
mereka ada juga saudara mara di sini...jadi kita tidak mahu ada nyawa yang
terkorban dan sebab itu kita minta mereka balik dengan cara yang baik,"
katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Padang
Pekan Papar, di sini hari ini.
Najib berkata demikian
ketika ditanya perkembangan terkini di Lahad Datu berikutan laporan yang
memetik Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata
pasukan keselamatan menahan sekumpulan warga asing menyamar sebagai anggota tentera
cuba menceroboh perairan negara di Lahad Datu.
Ahmad Zahid berkata beliau
mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama dengan polis mengambil
tindakan segera berhubung perkara itu.
Dalam menghadapi situasi
genting itu, Najib, yang dimaklumkan tentang kejadian itu oleh Ketua Polis
Negara Tan Sri Ismail Omar semalam dan
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pagi ini, berkata:
"Anggota polis kini bertindak atau merupakan
bulatan pertama mengepung kawasan tersebut dan bulatan kedua terdiri dari
pasukan anggota tentera.
"Dari segi kekuatan,
kuasa tempur kita adalah lebih dari cukup untuk memberkas mereka, tetapi
kerajaan memilih jalan untuk buat perundingan dengan mereka supaya mereka
keluar dengan aman balik ke Selatan Filipina," katanya.
Ditanya sama ada pihak
berkuasa keselamatan Malaysia sudah mengenal pasti kumpulan itu, Najib berkata:
"Lebih kurang kita sudah kenal pasti ".
"Tapi biarlah polis
melakukan rundingan dengan mereka dan mudah-mudahan mencapai hasil dan
kejayaan. Sebab mereka tak boleh ke mana, mereka dikepung...mereka tidak ada
pilihan dan perlu cari jalan penyelesaian," katanya.
Apabila ditanya sama ada
kumpulan itu bersenjata atau sebaliknya, Perdana Menteri berkata perkara itu
dalam makluman polis dan "jangan buat spekulasi".
"Kita bukan mendedahkan
maklumat dalaman...biar polis jalankan kerja mereka tanpa diganggu mana-mana
pihak. Apa yang penting keberhasilan yang selesai tanpa pertumpahan
darah," katanya.
Mengenai tahap keselamatan dan
kawalan di perairan negara terutama pantai timur Sabah, Najib berkata perairan
Malaysia amat luas tetapi apa yang penting ialah "kita dapat maklumat
cepat".
"Kita mengepung mereka,
bila dapat mengepung mereka, mereka tidak boleh ke mana. Kita mesti sedar
lautan kita luas dan kita tidak boleh berada di setiap masa sentiasa 24
jam," katanya sambil menambah pihak berkuasa kerajaan Malaysia sudah
memaklumkan kejadian itu kepada kerajaan Filipina. (Bernama)
No comments:
Post a Comment