Oleh : MOHD HISHAM ABDUL
RAFAR
KUALA LUMPUR : Selepas
pemecatan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali daripada PAS tahun lepas kerana
memperjuangkan Islam, episod sama kini berulang dalam sejarah PAS dan politik
Malaysia.
Nasharudin Mat Isa, yang
merupakan bekas timbalan presiden PAS, dipecat keanggotaannya dalam Majlis
Syura PAS Pusat pada 13 Jan lepas, atas alasan beliau kerap tidak hadir
mesyuarat serta sering membuat kenyataan tidak selari dengan pendirian dan
ketetapan majlis berkenaan.
Hasan, yang merupakan bekas
Pesuruhjaya PAS Selangor, dipecat daripada PAS ketika masih memegang jawatan
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastrukur
dan Kemudahan Awam Selangor. Nasharudin, meskipun dipecat, keanggotaannya dalam
PAS kekal.
Bagi pemerhati politik,
seperti mana Hasan, Nasharudin juga dianggap 'duri dalam daging' oleh partinya
sendiri yang menerima tekanan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
untuk memecatnya.
Pemerhati berpendapat
pemecatan Nasharudin berikutan tindak tanduknya selama ini tidak mendatangkan
keuntungan malah mencalarkan imej PAS mahupun pakatan pembangkang.
Persoalannya, apakah
Nasharudin tidak berpeluang untuk membela diri dan apakah tidak ada tolak ansur
lagi seperti dikenakan tindakan tatatertib jika orang kuat PAS itu sememangnya
melanggar adab berjemaah?
Nasharudin mula tidak
disenangi rakan separti, DAP dan PKR sejak tercetusnya idea muzakarah dan
mewujudkan kerajaan perpaduan bersama Umno yang dipelopori Anggota Parlimen
Bachok itu.
Kemunculan beliau, sebanyak
dua kali, bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Makkah, Arab
Saudi dan Gaza, Palestin baru-baru ini, selain kehadiran Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke majlis perkahwinan anaknya pada Mei tahun
lepas turut menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemimpin pakatan
pembangkang.
Daripada sudut politik,
pemerhati berpendapat kemunculan Nasharudin di Gaza baru-baru ini bersama Najib
menyusahkan PAS dalam usaha parti itu memulihkan imej sebagai sebuah parti
Islam untuk meraih sokongan rakyat sebelum menghadapi pilihan raya umum ke-13
akan datang.
PAS sebelum ini terpalit
dengan pelbagai isu dan kontroversi termasuk isu siapa yang bakal menjadi
perdana menteri, kalimah Allah, doa kehancuran Umno dan Barisan Nasional, hukum
hudud dan isu kedai gunting rambut.
Dalam sudut kemanusiaan,
pemerhati berkata keputusan Nasharudin menyertai lawatan Perdana Menteri ke
Gaza baru-baru ini mencerminkan sikap keterbukaan pemimpin itu yang sanggup
mengetepikan ideologi politik semata-mata mahu membantu rakyat Palestin.
Prof Dr Ahmad Tarmizi Talib
daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata pemecatan Nasharudin daripada
Majlis Syura tidak memberi kesan langsung kepada PAS namun memberi kesan besar
kepada pengundi di luar parti khususnya atas pagar.
"Nasharudin bukanlah
pemimpin yang terlibat dengan PAS daripada bawah dan pada saya, dia tidak ada
sokongan daripada akar umbi. Cumanya daripada segi pengundi atas pagar,
pemecatan Nasharudin dan sebelum ini Dr Hasan Ali banyak memberi kesan kepada
mereka.
"Pengundi atas pagar
ini, mereka akan melihat seolah-olah ada yang tidak kena di dalam PAS,"
kata Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi
Manusia itu kepada Bernama.
Ada juga pandangan
menyatakan tindakan memecat Nasharudin daripada Majlis Syura PAS sebenarnya
sebagai satu langkah memperbetulkan kesilapan kesan daripada tindak-tanduk
beliau selama ini.
Mengulas mengenai pandangan
itu, penganalisis politik Che Hamdan Che Mohd Razali berkata PAS sebenarnya
telah terlewat untuk memecat anggota Parlimen Bachok itu dalam ketika parti
sibuk bersiap sedia untuk 'berperang' dalam pilihan raya umum akan datang.
"Ini akan memberi kesan
terhadap komitmen ahli yang menyokong Nasharudin di samping pengaruh besar yang
dimiliki bekas timbalan presiden itu untuk mengubah haluan penyokongnya,"
kata ketika dihubungi Bernama.
Mengulas lanjut, pensyarah
Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu itu berkata
Nasharudin mempunyai peluang terbaik untuk mempengaruhi sokongan sekumpulan
akar umbi dengan mengambil kesempatan kes pemecatannya daripada Majlis Syura
PAS.
"Impaknya menjadi lebih
besar jika Nasharudin memainkan isu beliau dipecat seperti mana yang dilakukan
Dr Hasan Ali dan jika dia berdiam diri sahaja, maka tiadalah impak.
"Bezanya sekarang,
Nasharudin masih lagi ahli manakala Hasan telah dipecat daripada PAS.
Kepimpinan dia pada saya berjaya membuka pemikiran anggota akar umbi supaya
lebih terbuka dan tidak berpolitik kepartian," katanya.
Dalam pada itu, pemerhati
politik juga berpendapat bahawa disebabkan tarikan menawan Putrajaya itu amat
kuat, seperti mana Hasan, Nasharudin juga dilihat menjadi penghalang bagi
pakatan pembangkang merealisasikan cita-cita berkenaan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment