PEMUDA Umno hari ini
mencadangkan agar individu yang diisytihar muflis, bankrap dan disenaraihitam
oleh insititusi kewangan diberi peluang kedua keluar dari kemelut kebankrapan
melalui pelepasan automatik selepas tempoh tertentu.
Ketua Pergerakan itu Khairy
Jamaluddin berkata amalan tersebut dilaksanakan di beberapa negara luar bagi
membantu golongan itu agar tidak terus dibebani kepayahan membuat pinjaman dan
disekat untuk ke luar negara umpamanya.
"Pelepasan automatik
perlu diberikan selepas tempoh tertentu. Di luar negara, ada yang menetapkan
diberi pelepasan ini selepas satu hingga tiga tahun (diisytihar bankrap).
"Cadangan ini diharap
dapat dimasukkan dalam pindaan Akta Bankrap 1967 yang saya difahamkan sedang
dalam peringkat akhir untuk digubal sebelum dihantar ke Peguam Negara.
"Akta yang ada ketika
ini terlalu ketat kepada mereka yang teraniaya ibarat pesalah yang menerima
hukum mati ekonomi," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum
Muflis@Bankrap di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Pada Perhimpunan Agung Umno
tahun lepas, Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
memberi komitmen bahawa undang-undang kebangkrapan sedia ada akan dikaji dan
dirombak bagi melepaskan individu dari kemelut kebankrapan.
Khairy berkata cadangan itu
bagaimanapun perlu diteliti dan dikaji supaya golongan muflis dan bankrap itu
tidak menyalahgunakannya sehingga wujud unsur penipuan.
Pemuda Umno juga
mencadangkan agar satu insurans perlindungan khas diwujudkan kepada penjamin
dalam pindaan akta tersebut agar tidak lagi teraniaya menanggung beban orang
yang berhutang, katanya.
Katanya ketika ini institusi
kewangan akan membekukan atau menyita aset dan harta penjamin demi melunaskan
hutang pemiutang dan perkara itu menjejaskan ekonomi dan kehidupan penjamin.
"Mereka juga terpaksa
menanggung pelbagai kos termasuk kos guaman," katanya.
"Daripada 2005 hingga
Mac tahun lepas, terdapat 243,823 orang muflis dan jumlah itu menunjukkan
peningkatan 45 peratus dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
"Sehubungan itu Jabatan
Insolvensi dan agensi berkaitan perlu lebih agresif dalam membuat publisiti dan
mendidik orang ramai supaya menguruskan kewangan dengan baik," katanya.
Dalam pada itu, resolusi
mengandungi cadangan dan langkah pencegahan muflis daripada peserta forum yang
pernah muflis akan dihantar kepada Kementerian Kewangan dan juga kepada Perdana
Menteri. (Bernama)
No comments:
Post a Comment