Saturday, 9 February 2013

NEGARA BERKEBAJIKAN, NEGARA SEJAHTERA






Saudara Pengarang,

BAGI pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS Sabah), saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan selamat menyambut Perayaan Tahun Baru Cina kerpada seluruh masyarakat Tionghua di negeri Sabah.

PAS percaya bahawa masyarakat Tionghua di Sabah  tetap konsisten dan mempunyai keazaman dan semangat jitu ke arah melaksanakan perubahan bersama dalam negara kita ini. Perubahan ini tidak boleh berlaku tanpa persefahaman dan hubungan baik antara kaum-kaum yang ada dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Kami percaya bahawa masyarakat Tionghua dalam negara kita mampu untuk memainkan peranan yang lebih aktif dan berkesan,  terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi yang menjadi asas penting dalam struktur ekonomi negara.

PAS juga berkeyakinan bahawa asas untuk mewujudkan keharmonian yang lebih kukuh di Sabah khususnya dan Malaysia secara umum  mesti berteraskan kepada keadilan sejagat terhadap semua kaum, terutamanya kepada kelompok masyarakat yang tertinggal akibat dari ketidakadilan yang berlaku sepanjang 55 tahun ini.

Peranan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) juga turut membantu dalam menjayakan misi mencapai kejayaan untuk melihat negeri Sabah dan Negara Malaysia berada dalam keadaan yang harmoni dan bakal menikmati kesejahteraan ‘’Negara Berkebajikan’’ tawaran PAS.

Akhir kata, semoga tahun baru ini akan membawa kesejahteraan dan  keamanan kepada semua, dan mudah-mudahan ia menjadi tahun yang baik, malah lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya khususnyanya dari segi ekonomi dan politik buat negara kita yang tercinta dan seluruh dunia amnya.

"Gong Xi Fa Cai. Xin Nian Kuai Le".

Salam Hormat,

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah

No comments:

Post a Comment