Monday, 18 February 2013

SIASAT SIAPA DALANG PENCEROBOHAN?






BERUCAP..... Roger semasa berucap di hadapan kira-kira 100 orang hadirin di Kg Makakagas, Tenom.

 Oleh: JACOB BALANG

TENOM: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Maju Sabah (SAPP) Roger Stimin menggesa Wisma Putra agar mengadakan kerjasama dua hala untuk membuka kertas siasatan bagaimana penceroboh masuk ke negara ini melalui Kg Tanduo di Lahad Datu pada Selasa lalu, di mana pihak Manila juga tidak tahu menahu berhubung tujuan dan matlamat mereka.

Malahan katanya, mereka mendakwa kononnya mereka itu adalah penyokong Kesultanan Sulu dan mahu diiktiraf sebagai Tentera Kesultanan DiRaja Sulu dengan harapan warga Sulu yang kini berada di Sabah tidak diusir kembali ke Filipina.

“Apakah motif mereka sebenarnya?...Mungkinkah ada dalang di sebaliknya yang bertujuan untuk menakut nakutkan rakyat Sabah di kala Negara akan menghadapi pilihanraya umum kali ke-13 (PRU-13) dalam masa terdekat.

“Itu sebab kita mahu Wisma Putra bersama Manila adakan siasatan siapa penganjurnya yang mahu menimbulkan kekerohan di kedua-dua buah negara berjiran ini,” kata beliau ketika majlis perasmian cawangan SAPP Kg Makakagas dekat sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, berhubung dengan perjuangan SAPP untuk menghadapi PRU-13, beliau menegaskan bahawa siapa juga yang dicalonkan oleh pucuk pimpinan bukan faktornya tetapi apa yang lebih penting ialah kesepakatan ahli dan penyokongnya untuk mengumpul kekuatannya bagi memenangi PRU-13 dengan selesa.

“Kita tiada pilihan lain, kecuali menukarkan kerajaan yang ada sekarang UMNO-BN untuk mengembalikan hak-hak asasi kita termasuk kuasa autonomi yang kini sudah terhakis (kerana) untuk mendapatkan sesuatu pembangunan untuk Sabah kita terpaksa mendapat kelulusan Kuala Lumpur.

“50 tahun kita sudah bersama dalam Malaysia selepas pembentukannya tahun 1963, dan kita juga sudah berada dalam kerajaan BN selama hampir 20 tahun tetapi perbezaan pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah sangat jauh sekali; sama ada dari aspek ekonomi dan pendidikan ternyata dengan jelas jauh bezanya,” tegasnya.

Roger yang juga merupakan Naib Ketua CLC Melalap berkata, pemimpin pemimpin BN dikawasan disini sudah gagal menunaikan janji mereka yang pernah ditaburkan mereka kepada rakyat sejak tahun 2008 seperti pembangunan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di mana Pekan Melalap salah satu daripadanya menikmati limpahan pembangunannya namun sehingga ke hari ini ia sekadar janji kosong.

Malahan katanya, mereka membina rumah mesra rakyat tidak dilengkapi dengan bekalan elektrik, air dan pendawaian sebelum diserahkan kepada penerimanya yang boleh disifatkan sebagai pemberian 'separuh hati' kerana tidak ikhlas membantu rakyat.

Baru-baru ini tegasnya, beliau terkejut apabila terbaca laporan akhbar seorang Ketua Kampung yang ditakrifkan sebagai pemimpin masyarakat mengeluarkan kenyataan keras dalam akhbar kerana sudah bosan dengan janji-janji kerajaan malah ia juga turut dinyata oleh seorang 'Menteri' kononnya landasan keretapi dan jentera Lokomotif akan dinaik taraf, tetapi sebaliknya janji itu hanyalah janji kosong.

“Janji pembangunan Pekan Kecil Melalap, jambatan merentasi Sungai Pegalan di Inalisan Pulong ke Taman Pertanian tidak perlulah kita ungkit lagi. Kita semua telah tahu segala-galanya kerana ia sudah menjadi perbualan pokok di kedai-kedai kopi dan di mana sahaja di sini,” tambahnya.

Hadir sama di majlis itu, Naib Presiden SAPP yang juga Ketua CLC Melalap Jimmy Jawatah, Naib CLC Melalap Ken Ken Foh, Naib Ketua Pemuda SAPP Pusat Rudy Sulaiman Mairi.

No comments:

Post a Comment