Oleh : GEGAR
GABUNGAN NGO Menuntut
Hak Rakyat Sabah (GEGAR) tampil ke SUHAKAM bagi membela nasib seorang ibu
tunggal kepada tiga orang anak, Puan Ollivia Julius @ Mastura Anizan yang
dinafikan hak anaknya untuk mendapat My Kad.
Anaknya, Nurul
Hamizah Yasmin kini berusia 15 tahun menerima tekanan yang begitu hebat apabila
tidak memperolehi kad pengenalan.
Nurul Hamizah telah
dilahirkan pada 27 November 1998. 8 bulan selepas itu Nurul Hamizah memperolehi
sijil kelahiran dengan cop 'Pendaftaran Lewat'.
Nurul Hamizah
terpaksa membawa sijil lahirnya ke mana sahaja dan seringkali berasa malu untuk
keluar rumah. Ketika Nurul Hamizah berusia 12 tahun, Puan Ollivia telah
mengemukakan permohonan Mykad daripada Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Kota
Kinabalu untuk anaknya.
Namun, permohonan
tersebut ditolak oleh pihak JPN atas alasan Sijil Kelahiran tersebut perlu
dibawa ke mahkamah terlebih dahulu untuk pengesahan.
Kemudian, pada 2 September
2010, Puan Ollivia telah membawa perihal ini kepada Mahkamah Rendah Kota
Kinabalu sebagaimana disarankan oleh pihak JPN.
Pihak Mahkamah Rendah
menerima permohonan Puan Ollivia dan memintanya menunggu sehingga pihak
mahkamah menghubunginya.
Bagaimanapun,
semenjak 2010 sehingga sekarang (2013) pihak mahkamah belum menghubungi Puan
Ollivia. Pihak mahkamah berulang kali memberikan alasan yang sama iaitu “masih
banyak kes yang hendak diselesaikan semenjak 2009, nanti kami hubungi”.
Untuk itu, Puan Ollivia
telah mengajukan permasalahan ini kepada Ahli Parlimen Sepanggar, Datin Jainab.
Namun, sehingga kini tidak memperolehi sebarang respon.
Begitu juga dengan
Badan Pengaduan Awam, meminta Puan Ollivia terus berhubung dengan pihak
mahkamah, tanpa mengambil sebarang keterangan daripada Puan Ollivia.
Seterusnya, Puan
Ollivia mengajukan perkara ini kepada Sabah Law Association (SLA) untuk tindakan
undang-undang. Respon daripada SLA meminta Puan Ollivia membuat satu surat
kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, surat
tersebut ditolak pihak Mahkamah Tinggi atas alasan kes tersebut perlu
diselesaikan di peringkat Mahkamah Rendah dan menyatakan dokumen permohonan
Puan Ollivia telah dihantar ke Putrajaya.
Tempoh masa menunggu
yang terlalu lama dan kesukaran memperolehi Mykad, memberikan tekanan kepada
Nurul Hamizah dalam menjalani kehidupan sehariannya.
Beberapa insiden
seperti hampir ditahan pihak Polis kerana tidak memperolehi MyKad dan hanya
membawa sijil kelahiran, kesukaran membuat urusan kewangan di bank menekan
Nurul Hamizah sekaligus membawa kesan trauma dalam dirinya apabial tidak berani
keluar rumah.
Perkara ini bertambah
kritikal apabila Nurul Hamizah bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah
(PMR) pada tahun ini dan memerlukan Mykad bagi menduduki peperiksaan. Begitu
juga dengan Puan Ollivia, terpaksa menghabiskan wang ringgit dalam menguruskan
Mykad anaknya.
Puan Ollivia
merupakan ibu tunggal dengan empat orang anak dan salah seorang anaknya adalah
Orang kurang upaya (OKU). Puan Ollivia hanya bekerja sambilan sebagai mak andam
dan mengajar kelas mengaji.
Pendapatan bulanan
untuk menyara keluarganya pada setiap bulan tidak mencukupi dan ditambah lagi
dengan permasalahan Mykad anaknya.
Maka, GEGAR membawa
perkara ini untuk perhatian SUHAKAM dan media. GEGAR berpendirian, sistem hari
ini begitu menekan rakyat.
Menurut SUHAKAM, kes
sebegini telah banyak berlaku dan seringkali mengundang penafian hak rakyat
Sabah. Persoalannya, mengapa masih wujud masyarakat Sabah yang sukar memperoleh
Mykad? Sedangkan pada masa yang sama MyKad diberikan kepada Pendatang Asing
seperti "menghantar Pizza ke rumah"? Ini menunjukkan kegagalan sistem
kerajaan hari ini dan membebankan rakyat.
Maka, GEGAR
menyarankan reformasi sistem tadbir urusan Daftar Lewat Sijil Lahir dan MyKad
dilakukan meskipun ia melibatkan pertukaran kerajaan. Di peringkat SUHAKAM,
berjanji untuk membawa isu ini kepada pengarah JPN dan Kementerian Dalam Negeri
untuk di selesaikan.
SUHAKAM juga
mengharapkan kerjasama semua pihak terutama anak muda dalam menyebarkan mesej
hak asasi dan mempertahankannya.
No comments:
Post a Comment