KEPALA BATAS : Bekas Perdana
Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyangkal dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim
bahawa beliau turut terbabit dalam Projek IC, iaitu memberikan kad pengenalan
biru kepada pendatang di Sabah.
Abdullah berkata tindakan
Ketua Pembangkang itu menuduhnya terbabit dalam Projek IC itu adalah
semata-mata mahu menutup kesalahan sendiri.
"Mana ada saya
terlibat... bohong. Saya dah kata tak terlibat, habislah... noktah. Saya memang
tidak terlibat dengan perkara itu (Projek IC).
"Dia (Anwar) selalu
menyalahkan orang lain, dia tuduh lepas itu dia cuci tangan. Saya kenal dia
sangat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M 2.0) di sini, kelmarin.
Abdullah, yang juga Ahli
Parlimen Kepala Batas, berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Anwar
dalam laporan sebuah akhbar bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sepatutnya
turut menyiasat Abdullah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana
terbabit dengan projek berkenaan.
Anwar juga mendakwa projek
memberikan kad pengenalan biru kepada pendatang tidak berakhir pada tahun
1990-an dan ia berterusan semasa pentadbiran Abdullah dan berlanjutan sehingga
tahun lepas meliputi pentadbiran Najib.
Sebelum itu, Abdullah
menyerahkan BR1M 2.0 fasa pertama kepada 262 masyarakat Cina di kawasan
Parlimennya di Dewan Tokong Tau Bo Keong, di sini.
Sebelum ini, bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed mendakwa Anwar terbabit secara langsung dalam
projek memberi kewarganegaraan dan kad pengenalan kepada pendatang yang tidak
layak di Sabah pada tahun 1990-an.
Anwar, pemimpin umum Parti
Keadilan Rakyat (PKR) yang pernah menjadi timbalan perdana menteri di bawah
pentadbiran Dr Mahathir, menafikan sebarang peranan dalam Projek IC di Sabah
dan bersedia memberi keterangan kepada RCI jika dipanggil untuk berbuat
demikian. (Bernama)
No comments:
Post a Comment