Friday, 8 March 2013

KOMUNITI SULUK BANTAH SERANGAN PENGGANAS SULU







BANTAH....Datuk Samsudin turut serta dalam perhimpunan Aman bersama masyarakat Suluk tempatan bagi mengutuk pencerobohan tersebut.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

SANDAKAN : Ekoran tindakan  kejam Sultan 'Poker' Jamalul Kiram III yang menceroboh dan menyebabkan kematian 8 orang anggota Polis;  maka seramai lebih 100 orang masyarakat Suluk tempatan di daerah ini berkumpul di Dataran Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), petang kelmarin bagi mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya insiden pencerobohan di Kampung Tanduo, Tungku di Lahad Datu.

Sambil membawa poster dengan memaparkan tulisan dalam bahasa Suluk itu, cukup membuktikan betapa masyarakat Suluk amat mengutuk keras tindakan yang dilakukan kumpulan penceroboh yang menggelarkan diri sebagai 'Tentera Diraja Kesultanan Sulu'.

Malahan, kebanyakan mereka yang hadir terdiri kalangan pemimpin masyarakat Suluk dari Kampung Bahagia di Batu Sapi dan beberapa perkampungan sekitar yang turut mengibar bendera Jalur Gemilang dan Negeri Sabah berlatarbelakangkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Lebih menarik sokongan sepenuh hati dan tanda kecintaan terhadap kedaulatan negara ini apabila majlis serba ringkas yang diketuai oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekong, Datuk Samsudin Yahya turut disertai belia-belia Suluk dari setiap perkampungan.

Bercakap kepada media semasa ditemui, Samsudin berkata masyarakat Suluk tempatan mengecam dan menolak sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan dilakukan pengikut Sultan Jamalul Kiram III yang telah mengakibatkan beberapa perwira terkorban.

"Tindakan pencerobohan ini dikutuk keras masyarakat Suluk tempatan di Sandakan yang cintakan keharmonian dan kemakmuran hidup; sebahagian besar daripada mereka sangat kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini.

"Masyarakat Suluk memberitahu saya bahawa mereka akan menyokong dan berdiri teguh di belakang kerajaan," katanya.

Malah, tegas beliau, komuniti masyarakat suku kaum Suluk tempatan menyifatkan perbuatan menceroboh Sabah sebagai tindakan biadap dan mencemarkan nama baik masyarakat dari kaum komuniti itu di negeri ini.

Justeru, katanya, komuniti masyarakat itu di Sandakan memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengkhianati Sabah; sebaliknya memberi sokongan penuh kepada keputusan kepimpinan negara dalam isu pencerobohan di Lahad Datu.

"Saya selaku wakil rakyat yang berbangsa Suluk, mengutuk tindakan penceroboh ini dan tindakan mereka adalah tidak wajar," tegasnya.

Pada masa yang sama, hasil perjumpaan komuniti itu berjaya mengutip sebanyak RM5,000 sementara RM5,000 lagi dari beliau selaku Ketua Umno Batu Sapi.

Sumbangan sebanyak sejumlah RM10,000 untuk mengisi Tabung Wira Lahad Datu yang sampaikan oleh Samsudin kepada Ketua Polis Daerah, ACP Rowell Marong.

Samsudin berkata pihaknya telah membuat perjumpaan dengan semua pemimpin kampung di Batu Sapi yang sebahagiannya didiami masyarakat dari kaum Suluk tempatan.

Sambil melahirkan jaminan kepada komuniti itu agar bertindak tegas terhadap orang asing yang mendiami penempatan mereka.

Beliau memberi jaminan keamanan akan terus kekal di Sabah khasnya Sandakan dan orang ramai tidak perlu berasa bimbang berikutan masyarakat Suluk tempatan pun mengecam tindakan pencerobohan tersebut.

Menurut beliau, tindakan pengikut yang mendakwa sebagai Tentera Diraja Kesultanan Suluk sebagai sia-sia saja memandangkan ia dibuat tidak mengikut saluran yang betul.

Bahkan, katanya lagi, tindakan mereka akan membawa kemudaratan kepada diri sendiri serta tidak mustahil boleh berdepan dengan tindakan undang-undang negara ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Suluk Bersatu Sabah (PSBS), Hajah Dayang Aisyah Datu Bachtiyal mengecam tindakan pencerobohan itu.

Menurutnya, tindakan tidak dibuat mengikut saluran betul yang akhirnya mengundang masalah kepada pihak penceroboh.

"Kita kesal dengan tindakan ini .. apa pun kita harap akan ada jalan penyelesaiannya demi keamanan kita di bumi Sabah yang tercinta ini," katanya.

Bagi, Presiden Persatuan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Suluk Sandakan Sabah, Hatta Yunus @ Sawabi memberitahu tindakan menceroboh ternyata sia-sia.

Katanya, masyarakat Suluk tempatan akan berdiri teguh di belakang kerajaan Malaysia dalam membanteras sebarang usaha menggugat kedaulatan negara.

Seorang belia, Wali Ayung @ Isni pula memberitahu tindakan penceroboh mencemar nama baik bukan saja kepada masyarakat Suluk namun kepada agama Islam.

"Saya kesal dengan tindakan mereka ... kami akan sokong kerajaan negara ini," kata Isni, 43, dari Kg Bakau.

Seorang lagi belia, Datu Maharuddin Datu Bensali turut mengajak para belia Suluk agar bersatu hati di bawah kerajaan pimpinan Najib.

No comments:

Post a Comment