RAMAI yang terlalu emosi
apabila mendapat tahu tentang tindakan kejam para pengganas yang menceroboh
kedaulatan negara di Lahad Datu, Sabah, yang memperlakukan mayat
perwira-perwira negara yang terkorban lebih buruk dari haiwan.
Memang benar. Saya sendiri
marah-marah dengan perlakuan tidak bertamadun oleh para pengganas dari Filipina
itu. Kononnya mereka beragama Islam, tapi akhlaknya lebih buruk dari syaitan.
Pun begitu, Ketua Polis
Daerah Lahad Datu, Supt Shamsuddin Mat, punya pendirian yang tersendiri
berhubung mayat-mayat pengganas yang berjaya ditumpaskan di dalam Ops Daulat di
sana.
Misalnya, mayat-mayat
pengganas Filipinan yang beragama Islam di kawasan di bawah kuasanya baru-baru
ini disempurnakan dengan baik dan disembahyangkan dengan sempurna oleh
Shamsuddin serta para pegawainya.
Begitu murni sungguh akhlak beliau.
Meskipun dihidangkan racun berbisa, beliau dan anak-anak buahnya masih mampu
bertindak sebagai umat Islam yang baik dengan menunaikan kewajipan fardhu
kifayah sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam.
Inilah bayangan Islam
sebenar. Islam tidak mengajar umatnya bertindak secara emosi dan mengikut
perasaan marah.
Sabda Rasulullah SAW di
dalam hadis Baginda yang membawa maksud bahawa sifat amarah itu berasal dari
syaitan dan kita umat Islam diseru supaya tidak terpengaruh dengan sifat
mazmumah tersebut.
Siapa di antara kita yang
mampu mencontohi akhlak yang ditunjukkan oleh Shamsuddin itu? Anda mampu
mengawal emosi anda?
Biar apa pun, kita
sebenarnya tidak dapat lari dari kenyataan bahawa para pengganas yang
menceroboh itu beragama Islam. Sama ada Islamnya dipandang Allah SWT atau
tidak, itu urusan Allah dan hambaNya.
Kita sebagai umat Muhammad
SAW wajar mengawal emosi apabila berdepan dengan ujian sebegini hebat dariNya.
Mungkin ada hikmah dari apa yang berlaku. Namun sama ada kita mengambil iktibar
atau tidak, itu terserah pada diri masing-masing, bukan? (portalharian)
No comments:
Post a Comment