LAHAD DATU : Mungkin ramai
tertanya-tanya, siapakah antara mereka yang terawal berjaya ‘menghidu’
kehadiran puak pengganas militan Sulu di sini?
Jawapannya ada pada dua
orang anggota polis bantuan FELDA yang ketika itu sedang memancing ikan
kira-kira pukul 4 pagi berhampiran Kampung Tanduo yang terletak tidak jauh dari
Felda Sahabat. Mereka berdua ketika itu sedang bercuti.
Ketika sedang leka
memancing, mereka ternampak sekumpulan lelaki bersenjata itu tiba dengan bot
panjang, lengkap berpakaian celoreng.
Menyedari kehadiran ramai
lelaki yang ‘mencurigakan’ di kawasan tersebut, anggota polis bantuan FELDA
berkenaan berjaya menyusup keluar dari situ dan memaklumkan apa yang mereka
saksikan kepada pihak polis, tanpa langsung disedari oleh pengganas yang
rata-ratanya bersenjata api.
Tindakan berani anggota
berkenaan tidak berakhir di situ, khidmat pasukan polis FELDA juga kemudiannya
terus digunakan untuk menjejaki mereka yang terlibat.
Bagi Ketua Polis Bantuan
FELDA, Datuk Jalaluddin Ibrahim, beliau menghargai tindakan berani pegawai dan
anggotanya walaupun mereka berhadapan dengan risiko yang sangat besar.
”Mereka adalah antara
benteng awal di sini, bahaya yang mereka hadapi bukannya sikit namun keberanian
mereka membantu pihak polis cukup mengkagumkan.
”Bahkan mereka memberitahu
saya, biar apa pun yang terjadi, mereka tidak akan tinggalkan Felda Sahabat
ini, mereka nekad terus melindungi harta kita, nyawa penduduk serta peneroka,”
katanya pada Mynewshub.my di sini, hari ini.
Sementara itu bagi Inspektor
Muhammad Lamin, pengalamannya bertugas selama 11 tahun di Felda Sahabat tidak
sia-sia apabila khdimatnya digunakan pihak polis untuk menjejaki persembunyian
penceroboh yang dimaksudkan.
”Saya berbangga kerana dapat
menyumbang pengalaman saya dalam operasi penjejakan…selama beberapa hari kami
mendekati zon bahaya tanpa disedari langsung oleh pihak pengganas.
”Terus terang, saya dapat
lihat sendiri bagaimana pergerakan mereka, di mana mereka bersembunyi malah
sempat melihat aktiviti seharian pengganas ini seperti lokasi tempat mereka
mandi dan sebagainya.
”Tak banyak sikit, maklumat
ini saya percaya telah membuatkan pasukan keselamatan kita berjaya dalam
beberapa siri pertempuran dari hari pertama serangan hinggalah sekarang,”
katanya yang telah lebih 20 tahun berkhidmat sebagai anggota polis bantuan
FELDA.
Dalam perkembangan yang
sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan baru-baru
ini dipetik sebagai berkata, tahap keselamatan di Felda Sahabat akan
ditingkatkan ekoran kejadian pencerobohan.
Ahmad berkata, beliau akan
mencadangkan kepada pihak atasan supaya polis bantuan Felda dibekalkan senjata
api lebih canggih manakala anggota Rela turut dibekalkan senjata api.
Malah, beliau juga bersetuju
pihak pengurusan Felda sahabat menambah bilangan anggota Rela daripada 200
orang kepada 400 orang.
“Ini membolehkan tahap
keselamatan dapat ditingkatkan supaya insiden pencerobohan terutama yang boleh
mengancam keselamatan keluarga Felda tidak berlaku,” ujarnya.
Selain itu juga, katanya
kerajaan juga sudah bersetuju jeti di Felda Sahabat digunakan sebagai balai
bagi membolehkan anggota agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM)
beroperasi. (Mynewshub.my)
No comments:
Post a Comment