Saturday 14 August 2010

MAYOR ‘BADOT’ DIGESA LETAK JAWATAN!


BOY.... Tidakkah mereka sedar, perut mereka sudah mem'boy'ot seperti terkena kelulut atau santet kerana memakan bukan hak mereka. Bilakah mereka akan insaf dengan kesilapan mereka dan kembali ke pangkal jalan?

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

SEORANG Anak Negeri Tulen Sabah, Puan Rosinah Bte Hj Nasry menyeru Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Ilyas Ibrahim supaya bertindak profesional dalam melaksanakan tugas hariannya dan jangan pilih kasih ketika melayani urusan rakyat; atau meletakkan jawatan jika mengamalkan pentadbiran ‘Ala-Yahudi’ di Mahkamah Rayuan Anak Negeri Kota Kinabalu.

“Nampaknya Mayor amat cekap jalankan tugas apabila ada acara bergambar di merata tempat seperti ‘Badot Sarkas’, sebaliknya berpura-pura tidak tahu tugas lain yang turut menjadi tanggungjawabnya sebagai Mayor,” demikian kata Rosinah dengan nada jengkel terhadap tindakan kakitangan Pejabat Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang gagal menjalankan tugas.

Kata Rosnah, mereka langsung tidak mahu menerima permohonan yang hendak difailkannya untuk tindakan Mayor sebagai Hakim dalam Mahkamah Rayuan Anak Negeri Daerah, Kota Kinabalu.

Rosinah mmeberitahu Krew Sabahkini.net, bahawa pada 11 Ogos 2010, beliau telah menghantar seorang wakil ke Pejabat Datuk Bandar, di Tingkat 7, Centre Point, Kota Kinabalu untuk memfailkan permohonan penyemakannya mengenai pemberian Sijil Anak Negeri kepada seorang wanita berbangsa Cina, bernama Rose Lee Lie Mie.

Seorang kakitangan, dipercayai Setiausaha kepada Mayor, tidak mahu menerima dokumen yang diserahkan. Setiausaha itu arahkan petugas yang diamanahkan supaya menghantar dokumen yang hendak difaikan kepada Mahkamah Anak Negeri di Sembulan.

Siasatan Krew Sabahkini.net mendapati dokumen yang hendak difailkan oleh Rosinah dialamatkan kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu adalah berasaskan kepada peruntukan dalam Ordinan Mahkamah Anak Negeri.

Dalam Enakmen Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Bandar @ Mayor yang dilantik bertanggungjawab ke atas semua urusan yang dahulunya terletak di bawah urusan Pegawai Daerah.

Setelah Dewan Bandaraya diperbadankan, semua urusan di bawah tanggungjawab Pegawai Daerah secara automatik menjadi tanggungjawab Datuk Bandar.

“Nampaknya, Mayor amat aktif sekali jalankan tugas jika ada acara bergambar melibatkan dirinya saja. Urusan lain yang turut menjadi tanggungjawabnya langsung tidak hendak dilaksanakan dan diambil tindakan,” ujar Rosinah lagi.

Dalam Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992, semua penghakiman dibuat oleh Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri di semua Mahkamah Anak Negeri terletak di bawah pengawasan Pegawai Daerah dan bagi daerah Kota Kinabalu, sebarang rayuan, dahulunya di bawah tanggungjawab Pegawai Daerah telah beralih menjadi tanggungjawab Datuk Bandar.

Enakmen Bandaraya Kota Kinabalu (NO 15 Tahun 1996) dibaca bersama Local Government Ordinance 1961 (Sabah No. 11 Tahun 1961) memperuntukkan semua urusan yang dahulunya dikendali oleh Pejabat Daerah diambil alih oleh Dewan Bandaraya setelah sistem Pejabat Daerah dimansuhkan.

“Apa yang berlaku, menampakkan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu cuba beri perlindungan kepada penjenayah yang menggunakan Sijil Anak Negeri Palsu atau mereka yang perolehi Sijil Anak Negeri melalui jalan yang menyalahi Undang Undang,” kata Rosinah yang mendesak penjelasan daripada Mayor berhubung keengganan Setiausahanya menerima notis yang ingin difailkannya.



Tegas Rosinah, sebagai bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, tindakan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu itu sekarang seolah-oleh menjadi ‘Don’ yang melindungi mereka yang melakukan kesalahan, sekaligus menafikan hak rakyat yang menjadi mangsa. Rosinah berikrar akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kelakuan tidak beretika Mayor Kota Kinabalu itu.

Rekod Sabahkini.net menunjukkan sebelum Rosinah, mantan Ketua Daerah Sandakan, OKK Hassnar Hj Ebrahim merupakan mangsa pertama tindakan tidak professional Mayor Kota Kinabalu .

Daripada sumber berita yang telah disiarkan melalui portal pujaan ramai ini, terdapat tangan-tangan ghaib dalam pentadbiran Perundangan di Mahkamah Anak Negeri di Kota Kinabalu berusaha ‘menghalalkan’ apa yang dahulunya salah, menyebabkan pengeluaran Sijil Anak Negeri dibekukan sehingga sekarang.

Mengikut maklumat yang diterima daripada sumber yang boleh dipercayai, ramai individu yang tidak berhak diiktiraf sebagai Anak Negeri Sabah, tetapi memiliki Sijil Anak Negeri dikeluarkan sebelum pembekuan dibuat pada tahun 1982 telah diberi layanan dengan penuh mesra dan cepat kilat oleh Ketua Daerah sekarang, OKK William Majimbon,.

Sementara itu pihak yang dizalimi oleh pengguna Sijil Anak Negeri yang kesahihannya diragui, telah cuba sedaya upaya disenyapkan.

Semakan Sabahkini.net mendapati, selain permohonan Rosinah yang tidak diberi layanan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu; terdapat permohonan penyemakan yang telah difailkan, walau telah menjangkau usia lebih dua tahun, masih tidak hendak didengar dan diambil tindakan oleh Mayor.

Di saat permohonan penyemakan oleh OKK Hassnar cuba di senyap dan nafikan, OKK William Majimbon pula, selaku Ketua Daerah yang bertugas di Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu, terbukti telah memainkan peranan di belakang tabir dengan memainkan peranan sebagai ‘Orang Tengah’ dan bertindak seolah-olah dia adalah peguam mewakili dua individu yang dokumen peribadi mereka membuktikan mereka bukan Anak Negeri Sabah.

Krew Sabahkini.net yang turut hadir dan menyaksikan apa yang ‘kononnya’ perbicaraan Mahkamah Rayuan Anak Negeri Daerah Kota Kinabalu, kehairanan dengan sikap OKK William Majimbon yang mendakwa penyemakan oleh OKK Hassnar Hj Ebrahim tidak boleh didengar kerana menurutnya, tidak ada peruntukan dalam Ordinan Mahkamah Anak Negeri yang penyemakan boleh dibuat oleh Mahkamah Rayuan Daerah.

Apabila OKK Hassnar Hj. Ebrahim menyoal dan meminta autoriti yang digunapakai untuk menyokong hujahnya, OKK William Majimbon hanya mampu menjawab, “ialah memang tidak ada autoriti.”

Lebih menghairankan Krew Sabahkini.net ialah tingkah laku para pengadil yang kononnya diamanahkan oleh Mayor Bandaraya Kota Kinabalu. Ternyata ketiga ‘Three Stoogies’ yang beria-ia hendak menjadi hakim, tidak tahu mengendali perbicaraan.

Bukan saja orang yang kena dakwa tidak dimaklumkan supaya hadir perbicaraan yang ditetapkan; sebaliknya pula para pengadil berkenaan menjemput OKK William Majimbon untuk memberi ceramah yang agendanya mahu pihak penuntut penyemakan tidak diberi layanan.



Sebilangan orang ramai yang menghubungi Sabahkini.net memberi gelaran Mahkamah Rayuan Anak Negeri Daerah Kota Kinabalu bukan saja sebagai ‘Kangaroo Court Kepada Orang Kaya’ tetapi kini diberi jenama baru sebagai ‘Mahkamah Wang Ringgit’!

Sama ada penjenamaan ini benar atau tidak, pastinya orang ramai amat berharap Mayor Bandaraya Kota Kinabalu akan dapat menjernihkan suasana di bulan Ramadan yang mulia ini dengan memberi penjelasan agenda sebenar di sebalik keengganannya menerima permohonan penyemakan oleh Rosinah Bte Nasry.

Dalam masa yang sama, mereka berharap agar SPRM dan Ketua Polis Negara (Pesuruhjaya Polis Sabah turut bersekongkol) tidak tutup mata melihat kejalangan ini berterusan dan menghakis integriti Kerajaan 1Malaysia, ibarat kata pepatah, “Hina besi kerana karat, hina manusia kerana bersubahat dengan mereka yang keparat!”

No comments:

Post a Comment