Saturday 28 August 2010

LDS DERMA 150 KERUSI RODA



APA KHABAR........Bill menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan salah orang OKU yang menerima kerusi roda.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

COUNTRY Director, Malaysia Representative, Latter Day Saints (LDS) Charities, Bill Davis berkata pihaknya setakat ini sudahpun menyumbang sebanyak 150 buah kerusi roda (Wheelchair) kepada tiga buah rumah amal di Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu.

Sementara di daerah Sandakan, sumbangan kerusi roda tersebut yang di dermakan oleh pihak LDS telah disalurkan kepada Persatuan Rumah Amal Sabah (Cheshire Home Sabah-Sandakan) untuk diageh-agehkan kepada golongan OKU yang tinggal bersama keluarga mereka.

Bill berkata demikian ketika berucap di majlis penyampaian bantuan tersebut di Bilik Mesyuarat Cheshire Home Sabah di sini kelmarin.

“Kami memang prihatin kepada golongan ini ianya harus mendapat bantuan daripada mana-mana badan NGO ini demi meringankan beban kepada kedua-dua orang tua mereka, dan bantuan mahupun sumbangan sebegini tidak hanya setakat ini saja malahan ianya berterusan,” jelasnya.

Majlis menyampaian kerusi roda tersebut telah dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Elopura yang juga selaku penasihat kepada Cheshire Home Sabah-Sandakan, Au Kam Wah.

Dalam ucapan ringkasnya, Au antara lain mengucapkan terima kasih kepada pihak Latter Day Saints Charities khususnya kepada Bill and Ellen Davis kerana begitu prihatin kepada golongan OKU ini dan diharap agar badan-badan NGO lainnya mengikut jejak yang telah dilakukan oleh pihak LDS.

“Sehubungan itu, saya merayu kepada masyarakat agar tidak meminggirkan golongan OKU kerana mereka juga sebahagian daripada manusia, cuma tidak sempurna sifatnya, kerana ini adalah sudah suratan takdir daripada Tuhan,” ujar Au lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat dan ketua-ketua NGO.

No comments:

Post a Comment