HENTAKAN….Absober yang dipasang di enam lokasi jambatan berkenaan dikhuatiri tidak berfungsi dikenalpasti menyebabkan hentakan kuat. Gambar sisipan, Datuk Teo Ming Chung.
Oleh: MAIL MATHEW
PENGERUSI Dewan Perniagaan Cina (DPC) Tenom, Datuk Teo Ming Chung menggesa kerajaan, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) agar menjalankan pemeriksaan terhadap tahap ketahanan fizikal jambatan Tun Mustapha atau lebih dikenali jambatan Tenom Lama yang berusia lebih 30 tahun, sama ada masih selamat digunakan pengguna atau sebaliknya.
Katanya, beliau bimbang keadaan keselamatan pengguna yang berulang alik menggunakan jambatan itu akan tergugat kerana ia bukan sahaja dilalui kenderaan kecil malah kenderaan berat seperti lori balak dari arah daerah Kemabong.
“Kita tidak mahu akan berlaku satu lagi trajedi hitam seperti yang pernah berlaku di jambatan Mandahan Papar beberapa tahun lalu yang turut mengorbankan nyawa pengguna. Kalau sudah berlaku seperti itu apa gunanya lagi/ Lebih baik berawas-awas sebelum berlaku,” tegas Teo dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Kenyataan Datuk Teo itu tercetus ekoran beberapa rungutan pengguna jalanraya yang tinggal di kawasan Sapong dan daerah Kemabong yang sering menggunakan jambatan itu setiap hari merasa bimbang keupayaan fizikal jambatan itu yang didakwa penduduk di situ tidak pernah diselenggarakan sejak ia dibina lebih 30 tahun lalu.
“Saya sendiri yang selalu menggunakan jambatan itu setiap hari merasakan agak sedikit keganjilannya kerana 20 tahun lalu jambatan itu bagaikan ada dipasang ‘absorber’ sehingga kenderaan yang melaluinya merasa selesa, tetapi sekarang terdapat hentakan yang kuat bila terkena kawasan berbonggol, bermakna ‘absorbernya’ sudah tidak berfungsi lagi,” tegas Teo.
Selain daripada itu, Teo turut meminta kerajaan agar melaksanakan rancangan mereka yang tergendala sebelum ini iaitu untuk mengorek dan memperdalamkan sungai Padas dan Pegalan kerana kemungkinan paras kedalaman kedua dua batang sungai sudah cetek disebabkan hakisan tanah dan banjir lumpur akibat kesan pembalakan yang serius di sekitar tahun 1990-an dahulu.
“Saya ada menerima nota daripada para pekebun kecil masyarakat Tiong Hua yang tinggal di kawasan tebing kedua-dua batang sungai meminta kerajaan melaksanakan cadangan yang tergendala itu dalam masa terdekat kerana mereka sudah tidak tahan lagi dengan bencana banjir yang meranapkan harta dan hasil pertanian mereka bernilai ratusan ribu ringgit,” kata Teo sambil mengharapkan agar janji kerajaan sebelum ini dapat dikotakan.
Sementara itu, Jurutera JKR Cawangan Jambatan K.K, Ir. Baharom tidak dapat dihubungi kerana menyertai Larian Merdeka. Bagaimanapun jurucakap Cawangan Jambatan JKR Pusat ketika dihubungi memaklumkan, bahawa tahap ketahanan fizikal jambatan yang merangkumi tindakan pembaikan bergantung kepada laporan pemeriksaan JKR daerah selepas pemeriksaan rutinnya.
“Kita akan lakukan pembaikan jika terdapat laporan yang memerlukan tindakan. Bagaimanapun kami kena tunggu laporan JKR Tenom dalam soal sebegini,” jelas kakitangan cawangan jambatan JKR Pusat.
Namun, Jurutera Daerah JKR Tenom tidak dapat dihubungi kerana beliau difahamkan menghadiri satu mesyuarat penting di luar daerah. Bagaimanapun mengikut rekod JKR Tenom, jambatan tersebut sudah mengalami satu pemeriksaan rutin pada tahun lepas (2009) dan hasilnya masih selamat untuk digunakan.
No comments:
Post a Comment