Oleh: PERISIK SABAHKINI.NET
DENGAR khabar, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman melenting dan meninggikan nada suaranya apabila mendengar projek luar bandar tidak dapat dilaksanakan kerana ketiadaan dana (bajet belum sampai) di kawasan pedalaman, khususnya di Tenom.
Musa yang menghadiri Taklimat Pembangunan Daerah Pedalaman melibatkan Keningau, Tenom, Nabawan dan Ranau di sebuah hotel di sini kelihatan tidak puas hati.
Lawatan beliau ke Keningau adalah untuk berbuka puasa dengan Bahagian UMNO Zon 4 yang melibatkan ke empat kawasan itu di Nabawan. Turut sama dengan beliau, mantan Ketua Menteri Sabah yang juga Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Salleh Said; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun serta ahli-ahli UMNO Sabah. Turut kelihatan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup dan Timbalannya, Datuk Ellron Angin.
Semasa membentangkan taklimat pembangunan daerah Tenom oleh Penolong Pegawai Daerah, Musa mencelah apabila ADO memberitahu beberapa jalan raya luar bandar yang dipohon masih belum mendapat dana untuk melaksanakan projek tersebut.
“Di mana RM100 juta yang dijanjikan untuk kawasan luar bandar? Kita mendengarnya tetapi tidak melihat,” keluh Musa.
Kemudian beliau menyebut nama Jamawi, mahu bertanya perkembangan projek berkenan. Namun Jamawi, yang bertugas sebagai Pegawai Khas di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu tidak berada di tempat berkenaan.
Cara penyampaian ADO mengenai pembangunan di daerah Tenom itu juga kerap diganggu dan dicelah oleh Musa dan Datuk Rubin Balang. Apatah lagi jumlah kos mengenai projek-projek tertentu tidak dinyatakan.
Rasa tidak puas hati Musa itu juga, seolah-olah ditujukan kepada seseorang yang berkuasa di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kerana gagal menyampaikan peruntukan yang amat diperlukan rakyat.
Musa juga mempersoalkan kenapa jumlah peruntukan yang begitu besar diumumkan tetapi tidak sampai kepada sasarannya, meskipun jumlah kos yang dipohon oleh daerah Tenom hanya sedikit.
“Di mana itu peruntukan yang dijanjikan RM100 juta,” kata Musa.
Spekulasi juga kuat di pedalaman bahawa Datuk Musa bakal bersaing dengan Datuk Shafie Apdal untuk kerusi Ketua Menteri yang akan datang. Mungkin disebabkan oleh tekanan tersebut, tak semena-mena dalam bulan baik ini, Musa melenting semasa taklimat pembangunan apatah lagi ia berkenaan dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
(Nota: Pandangan Perisik Sabahkini.net tidak semestinya pandangan Sabahkini.net)
No comments:
Post a Comment