Thursday 26 August 2010

PANTAU AKTIVITI BERMAIN MERCUN





Oleh: KREW SABAHKINI.NET

IBUBAPA diminta agar memantau pergerakan anak-anak mereka terutama yang ketika ini dilihat lebih suka bermain mercun atau meriam buluh ketika sambutan Ramadan dan Hari Raya akan datang.

Setiausaha Rukun Tetangga (RT) Kg.Wawasan Simpang Empa, Kunak, Ibrahim Tabir berkata, hasil tinjauan yang dijalankan beliau mendapati, masih ada di kalangan kanak-kanak yang suka bermain mercun dan meriam buluh atau meriam tin terutama pada waktu malam dan siang hari di bulan Ramadan, tanpa kawalan atau pemantauan ibubapa mereka.

"Ada kalanya, kanak-kanak ini bermain mercun dan meriam tin di kawasan kelapa sawit dan berhampiran rumah," kata beliau sambil menambah, kekadang kumpulan kanak-kanak akan mengalihkan pandangan awam mengenai aktiviti bermain meriam tin apabila didekati. Selepas itu, mereka akan melakukannya semula apabila mendapati tidak ada pihak yang melihat perlakuan mereka.

Menurutnya, baru-baru ini beliau menemui bekas tin yang disambung serta berbau belerang ditemui dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran kampung berkenaan pada siang hari.

"Kanak-kanak suka bermain meriam tin atau meriam buluh itu pada waktu malam", ujarnya.

Bagaimanapun, tidak dipastikan bekalan belerang yang mereka peroleh dari mana dan sudah tentu bahan tersebut ada dijual di tempat tertentu.
"Saya menasihatkan ibubapa supaya mengawasi anak-anak mereka bagi mengelak insiden yang tidak diingini daripada berlaku", katanya lanjut.

Walaupun belum ada kejadian kecederaan dilaporkan berlaku akibat aktiviti pembakaran mercun dan meriam buluh di sini, namun langkah pencegahan awal perlu dilakukan.

Semalam, media melaporkan kejadian ngeri seorang kanak-kanak maut selepas terhumban ke atas dahan pokok yang berlaku di Kuala Terengganu dipercayai akibat bahana letupan mercun.

Satu lagi kes dilaporkan di Alor Setar, Kedah yang mana kanak-kanak mengalami kecederaan ditangan ketika membakar mercun.

No comments:

Post a Comment